Oleh pada 19 Mar 2020 kategori

Kredit foto: Instagram Nazia Mustafar

   

Pelakon Nazia Mustafar mendedahkan keperibadian penyanyi Maya Matahari sebagai seorang wanita yang kuat dalam berdepan penyakit dihidapinya.

Nazia berkata, ketika bertemu dengannya kira-kira dua minggu lalu, arwah memaklumkan perkembangan yang positif selepas baru sahaja mendapatkan rawatan di sebuah hospital di China.

"Kami bertemu dua minggu lalu di kediamannya... semasa itu dia baru balik dari China mendapatkan rawatan kanser tisu.

"Kami berborak panjang, gelak-gelak dan dia pesan supaya saya tak menangis... kita bercerita benda yang happy-happy sahaja. Dia tak mahu sedih-sedih!

"Walaupun badan dia nampak susut, tapi Mya kata keadaan kesihatannya semakin baik dan sangat positif selepas menerima rawatan di sana," katanya kepada portal Mstar.

Maya atau nama sebenarnya, Myanaliza Ruslee, 44, meninggal dunia kira-kira jam 4 petang di pusat perubatan di Sungai Buloh, Selangor, semalam.

Difahamkan, penyanyi popular era 90-an itu menghidap penyakit kanser tisu (sarcoma) yang mana kesihatannya terjejas selepas bertanding di musim kelima Gegar Vaganza 2018.

    

Baca: Biodata Penyanyi Maya Matahari

    

maya matahari meninggal 724

Kredit foto: Instagram Nazia Mustafar

    

"Penyakitnya bertambah teruk selepas menyertai Gegar Vaganza dan dia cuba berubat di hospital termasuklah ke China.

"Sepanjang menjalani rawatan itu dia selalu minta doakan kesihatannya dan tak pernah lagi dia tunjukkan kesakitan atau kesedihan di hadapan kami," katanya.

Sebagai teman rapat, Nazia mengakui terkilan apabila tidak dapat bertemu dengan arwah buat kali yang terakhir kerana mereka terlebih dahulu merancang untuk bersua pada minggu ini.

"Saya ada hubunginya minggu lepas dan berjanji nak jumpa minggu ini tapi hasrat itu tidak dapat ditunaikan.

"Semasa kami berbual menerusi panggilan telefon itu, saya sedang menjalani penggambaran di Kedah dan saya minta dia tunggu... saya akan datang jumpa dia tapi ajal menjemputnya terlebih dahulu.

"Memandangkan usia kami sebaya, hubungan jadi lebih rapat, kami dah berkawan selama 25 tahun. Sejujurnya, saya terkesan dan bersedih dengan pemergiannya," katanya.

    

maya meninggal dunia

Kredit foto: Instagram Nazia Mustafar

    

Dalam pada itu, Nazia turut berkongsi foto momen bersama arwah sambil meluahkan rasa berdukacita atas kehilangannya serta menzahirkan doa agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

    

Sumber berita: 25 tahun bersahabat, Nazia Mustafar kongsi kali terakhir jumpa Maya Matahari - “Dia pesan supaya saya tak menangis...”

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)