Kredit foto: Instagram Amyza Aznan & Instagram Maya Matahari
Pelakon Amyza Aznan kelihatan sebak berkongsi perkembangan terbaharu kematian sahabatnya, penyanyi Maya Matahari di laman Instagram, hari ini.
Dalam perkongsian video yang dimuat naiknya, Amyza dengan suara yang terketar-ketar menceritakan kisah kunjungan bertemu dengan arwah buat kali yang terakhir.
"Assalamulaikum. Kak Kaaia berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Jenazah telah dibawa ke sini.
"Insya-Allah jenazah akan diselesaikan dan diuruskan esok pagi (pagi ini) dan akan dibawa ke Machap, ke kampung Allahyarhamah.
"Syukur Alhamdulillah akhirnya Kak Kaaia dapat juga berjumpa dengan Allahyarhamah.
"Masa tengok jenazah tu memang mata dia terbuka separuh tapi Alhamdulillah selepas Kak Kaaia bisik kat telinga dia, 'Maya, Mija datang', dia tutup rapat mata dia lepas tu," katanya sayu.
Kredit foto: Instagram Amyza Aznan
Maya atau nama sebenarnya, Myanaliza Ruslee, 44, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Sungai Buloh, Selangor, semalam akibat menghidap kanser tisu (sarcoma).
Selaku teman rapat, Amyza merupakan antara individu yang banyak menyimpan rahsia arwah daripada pengetahuan umum.
Selepas 13 tahun tidak berjumpa, Amyza bersyukur menerima peluang walaupun hanya bersua dengan jasad yang terbujur tanpa nyawa.
"Akhirnya dapat jumpa walaupun dia dah tidak bernyawa. Tapi tak apa dapat juga jumpa.. hilang rindu.
"Terima kasih sahabat, kau tunggu aku dan Didie (Didie Alias) orang terakhir sampai. Terubat rindu. Walaupun hanya dapat berbicara dengan jasad," katanya.