Pada 20 Mac 1966, tiga bulan sebelum bermulanya final Piala Dunia yang ditetapkan berlangsung di England buat kali pertama dalam sejarah Piala Dunia, trofi Piala Dunia yang dikenali sebagai Jules Rimet (berbeza dengan yang digunakan sekarang) dipamerkan di dalam kabinet kaca di sebuah pameran yang berlangsung di Methodist Central Hall di Westminster.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebanyak lima orang pengawal telah ditugaskan untuk mengawasi trofi yang dipamerkan untuk tontonan umum itu. Walau bagaimanapun, Pada hari Ahad yang bersejarah itu, salah seorang pengawal yang ditempatkan di sebelah piala itu telah mengambil cuti.
Manakala tiga daripada empat orang pengawal lagi sedang menikmati minuman teh, hanya ada seorang penjaga tunggal sahaja iaitu George Franklin yang mengawasinya. Franklin kemudian menyedari bahawa kabinet kaca itu telah terbuka dan piala Jules Rimet didapati sudah hilang.
Bagi Persatuan Bola Sepak (FA) dan Sir Stanley Rous iaitu presiden FIFA berbangsa Inggeris ketika itu, situasi ini adalah suatu mimpi ngeri yang sangat menakutkan. Dengan pantas, satu pasukan penyiasat telah ditubuhkan untuk menyiasat kes kecurian trofi Piala Dunia itu.
Sekarang, kita yang hidup dalam dunia moden perlu ingat bahawa betapa payahnya kes jenayah ini untuk diselesaikan pada tahun 60-an. Dengan pengawasan CCTV yang terhad, tiada telefon bimbit dan internet untuk mengesan atau media sosial untuk menghebahkan kempen pencarian pencuri itu.
Detektif Penyiasat Bill Litte mula mengambil keterangan daripada Frank Hudson, pengawal kanan yang bertugas ketika itu dan Margeret Coombes, sorang wanita yang menghadiri kelas di bahagian lain dewan pameran itu. Mereka berdua mendakwa telah melihat seorang lelaki yang mencurigakan telah berlari menuju tandas lelaki dengan tergesa-gesa pada hari itu.
Walaupun perincian tentang lelaki yang diberikan mereka berdua itu agak berbeza, tetapi pihak berkuasa percaya bahawa mereka sedang melihat kepada seorang suspek pencuri yang sama.
Ketika kejadian ini mula berlaku, FA cuba menangani krisis itu sendiri. Sebelum berita kecurian itu tersebar pada orang awam, setiausaha FA iaitu Dennis Follows telah melawat seorang tukang emas bernama George Bird di bengkelnya di Fenchurch Street.
Follows telah meminta Bird untuk menghasilkan sebuah piala mirip piala Jules Rimet daripada jenis emas pejal yang sama dengan versi asal. Follows juga memberitahu Bird agar tidak memberi tahu sesiapa pun mengenai hal ini. Hanya beberapa orang penting sahaja yang tahu mengenai pembuatan semual trofi ini termasuk presiden FIFA iaitu Sir Stanley Rous.
Apabila berita itu mula tersebar luas dan menjadi bualan umum, pihak Scotland Yard mula dibanjiri dengan panggilan palsu. Seorang lelaki telah menelefon pihak polis dengan mengatakan bahawa trofi itu kini berada di Wicklow, Ireland. Seorang wanita iaitu Susanna Bell dari Chile pula menelefon dan memberitahu seorang lelaki kulit hitam merupakan dalang di sebalik pencurian itu.
Bukan setakat itu sahaja, seorang lelaki dari Jerman bernama Adolf Hieke pula menghantar foto dari sebuah akhbar Jerman dengan menandakan gambar seorang lelaki dengan tanda "X", yang dipercayainya pencuri trofi itu. Nampaknya, "troll" yang dilakukan sebelum wujudnya internet tidak kurang hebatnya juga.
Pada waktu itu, Polis Metropolitan di London itu menjadi bahan sindiran dan ketawa di peringkat antarabangsa, sehingga menyebabkan detektif Bill Little yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat kecurian trofi itu telah menyerahkan kes ini kepada pakar dalam kumpulan Flying Squad, iaitu Detektif Len Buggy pula untuk mengambil alih.
Buggy mula mendapat petunjuk dalam kes ini ketika Pengerusi FA dan Chelsea FC iaitu Joe Mears telah mendapat panggilan daripada seorang lelaki yang menggelar dirinya Jackson. Dia memberitahu "akan ada satu bungkusan di kelab bola sepak Chelsea esok. Ikut arahan yang diberikan di dalamnya".
Pada hari Rabu selepas kecurian itu, satu bungkusan telah tiba di Chelsea FC. Ia mengandungi nota wang tebusan meminta agar £15,000 disediakan dalam bentuk nota satu dan lima pound. Penghantarnya juga mengugut sekiranya dia tidak mendengar sebarang berita selewat-lewatnya pada hari Jumaat, maka perjanjian itu akan terbatal.
Jackson kemudian menelefon Mears bagi memastikan bahawa pengerusi Chelsea FC itu menerima bungkusan yang dihantarnya. Jackson berkata sekiranya dia menerima wang itu pada hari Jumaat, maka trofi Piala Dunia itu akan dihantar dengan menggunakan teksi pada hari Sabtu.
Mears kemudian menurut permintaan Jackson dan menyiarkan satu mesej di dalam akhbar London's Evening edisi Khamis dengan menyatakan "Saya sedia berurusan dengan kamu". Namun begitu, Mears juga telah melaporkan kepada pihak polis tentang ugutan yang diterimanya itu. Kini, pemburuan sedang hangat dijalankan.
Setelah menemui Mears, Len Buggy merancang pula untuk bertemu dengan Jackson. Dengan hanya membawa wang sebanyak £500 sahaja dan selebihnya dipalsukan menggunakan kertas surat khabar, Jackson akhirnya ditangkap oleh pasukan sokongan walaupun berjaya lolos pada mulanya.
Pencuri bernama Jackson itu rupa-rupanya adalah seorang bekas tentera berumur 46 tahun bernama Edward Betchley. Dia pernah berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua di Mesir dan telah tamat perkhidmatan dengan rekod yang baik pada tahun 1946.
Edward Betchley
Dengan hanya satu sabitan dahulu pada tahun 1954 kerana mencuri beberapa tin daging lembu, mereka mengesyaki bahawa Betchley bukanlah dalang sebenar dalam kes ini, sama seperti yang dinyatakan oleh Betchley semasa disoal siasat.
Betchley mengatakan dia hanyalah orang perantara yang dibayar £500 untuk tugasannya oleh seorang lelaki yang dikenalinya dengan nama "The Pole". Namun, sehingga hari ini masih tidak dapat dipastikan sama ada "The Pole" itu wujud atau tidak. Walau bagaimanapun, Betchley tetap dipenjarakan. Sementara itu, kes pencarian trofi dan pemburuan "The Pole" terus dijalankan.
Apa yang terjadi berikutnya adalah salah satu kejadian penting dalam kes ini. Dua hari selepas tertangkapnya Edward Betchley, tujuh hari selepas trofi Jules Rimet dicuri, seorang lelaki bernama David Corbett telah berhenti di sebuah pondok telefon awam untuk membuat panggilan.
David Corbett bersama anjingnya
Bersama Corbett ialah anjingnya Pickles, diberikan oleh abangnya empat tahun dahulu kerana anjing itu mempunyai masalah suka mengunyah dan menggigit barang, terutamanya perabot dan kotak. Corbett telah mengikat Pickles di luar kotak telefon sebelum membuat panggilan telefonnya.
Apabila selesai membuat panggilan, Corbett mendapati Pickles sedang menggigit satu bungkusan yang diikat kemas menggunakan surat khabar. Corbett kemudian memarahi Pickles dan berlari mengambil bungkusan itu daripada Pickles. Alangkah terkejutnya Corbett apabila mendapati sesuatu bersinar-sinar seperti emas di dalam bungkusan yang dipegangnya itu.
Pickles menjadi seekor anjing yang terkenal
Dia kemudian mengoyakkan kertas akhbar itu dan mendapati satu patung wanita sedang memegang sebuah periuk di atas kepalanya dengan tulisan "Germany, Uruguay, Brazil". Corbett kemudian terus berlari pulang ke rumah dan memberitahu isterinya bahawa dia telah menemui trofi Piala Dunia yang hilang itu.
Selepas itu, Corbett membawa pula trofi itu kepada pihak berkuasa dan dia telah disoal siasat sebagai suspek utama sehingga jam 2.30 pagi. Walaupun begitu, Corbett masih berupaya untuk pergi bekerja pada pukul 6 pagi hari yang sama.
Pickles membintangi sebuah filem
Walaupun misteri bagaimana trofi itu boleh berada di tepi pondok telefon itu masih belum selesai, Corbett didapati tidak bersalah dan anjingnya Pickles dianggap sebagai wira dan menjadi terkenal hanya dalam semalaman.
Pickles telah diambil berlakon di dalam filem The Spy With The Cold Nose dan muncul di beberapa siri televisyen seperti Magpie, Blue Peter dan banyak lagi. Pickles juga telah diberikan anugerah "Dog of the Year" dan diberi makanan anjing jenama Spillers selama setahun. Selain itu, Pickles juga mendapat peluang untuk mengembara ke Chile, Czechoslovakia dan Jerman.
Pasukan England memenangi Piala Dunia 1966
Pada malam kemenangan bersejara 4-2 England terhadap Jerman dalam perlawanan akhir Piala Dunia itu, Pickles dan Corbett telah dijemput untuk menghadiri keraian dan bertemu dengan pasukan pemenang di Kensington Hotel. Corbett juga diberi ganjaran sebanyak £3,000, membolehkannya memberi rumah yang dia duduki dengan harga £3,100.
Setelah berpuluh-puluh tahun kejadian itu berlaku barulah terbongkar siapakah dalang atau "The Pole" yang sebenarnya. Dia ialah seorang gangster yang tinggal di London bernama Sidney Cugullere. Dia dibantu oleh abangnya Reg, telah mencuri trofi itu atas dasar menguji keberanian pada awalnya.
Setelah tahu mereka tidak mungkin boleh menjual emas yang dicari di seluruh negara itu, mereka cuba menggunakan Edward Betchley sebagai orang tengah untuk mendapatkan wang tebusan. Namun, apa yang penting ialah trofi Piala Dunia telah ditemui semula, Pickles menjadi seekor anjing terkenal dan hidup mewah, manakala Corbett pula mendapat sebuah rumah miliknya sendiri.
Rujukan:
1. BBC
2. The Times
3. Mirror