Dalam filem, merancang kematian untuk memperdayakan sesuatu pihak merupakan antara kaedah popular yang kerap kali dijadikan jalan cerita..
Sebagai contoh, filem adiwira The Dark Knight Rises yang memaparkan usaha watak utama filem itu mencipta identiti baru selepas dilaporkan selamat dikebumikan. Bolehkah taktik serupa diamalkan dalam dunia nyata?
Adakah ada kemungkinan seseorang mampu menipu kematian dalam era informasi zaman sekarang? Boleh. Itulah yang didakwa dilakukan telah berlaku melibatkan seorang bekas pemain profesional liga bola sepak Jerman - dalam mencari keuntungan mudah.
BESARKAN TEKS A- A+
Berita mengejutkan peminat bola sepak Jerman
Sedang liga-liga bola sepak di Eropah berehat disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda , peminat bola sepak Jerman dikejutkan dengan laporan seorang bekas pemain Bundesliga bernama Hiannick Kamba dilaporkan masih hidup pada 6 Mei 2020.
Apa yang mengejutkan, Kamba sudah pun diisytiharkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di negara asalnya Republik Congo pada tahun 2016! Ketika diketahui masih hidup, Kamba bertugas sebagai seorang juruteknik di sebuah kilang yang terletak di Ruhr Valley, Jerman.
Bekas pemain bek kanan kelab ternama Schalke 04 selama 5 tahun, sebelum kali terakhir beraksi bersama kelab liga bawahan VfB Huls. Semasa mengikat kontrak dengan VfB Huls, Kamba dilaporkan terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya pada tahun 2016.
Laporan tentang penemuan Kamba yang masih hidup mengejutkan semua pihak termasuklah semua rakan sekelabnya yang masih tidak percaya berita yang mereka dengari.
Anak pelarian yang memiliki masa depan cerah
Hiannick Kamba merupakan antara individu pelarian perang yang hadir ke Jerman bersama keluarganya pada tahun 1996 ketika baru berusia 10 tahun, menetap sebagai pelarian perang di kawasan sekitar bandar Ruhr bagi meneruskan hidup.
Pada tahun 2005, ibu bapanya hadir ke pejabat imigresen bagi memohon lanjutan kebenaran untuk mereka terus kekal di situ namun permohonan mereka ditolak. Kesemua ahli keluarga Kamba diminta pulang ke Congo termasuklah Kamba.
Pada ketika itu, Kamba sudahpun menyertai kelab Schalke 04 sebagai salah seorang pemain akademi sejak tahun 1999, sambil bersekolah di sebuah sekolah yang terletak di Berger Feld.
Bagi membolehkan Kamba terus kekal di Jerman, pihak sekolah serta badan pelajar sekolah tersebut bergabung bagi mendapatkan khidmat peguam serta menghantar petisyen yang ditandatangani 1,600 orang pelajar; mendesak kerajaan Jerman mengubah undang-undang pelarian di negara mereka.
Hasrat baik mereka agar Kamba kekal di Jerman, disebabkan bakatnya dalam sukan bola sepak serta mahukan dia berjaya menamatkan pengajian sekolah tinggi.
Kempen itu dianggap berjaya selepas Schalke 04 menawarkan kontrak profesional kepada Kamba pada tahun 2005, memberikan dia kelayakan untuk terus tinggal di Jerman sebagai warga bukan Eropah.
Begitulah serba sedikit latar belakang Kamba di Jerman.
Penemuan semula individu yang diisytiharkan mati
Walaupun kisah penemuan semula Kamba baru dilaporkan pada bulan Mei 2020, Kamba sebenarnya sudah ditemui pada tahun 2018 - dua tahun selepas dia disahkan meninggal dunia.
Hanya selepas siasatan ke atas apa yang berlaku selesai dijalankan semua pihak yang terlibat, barulah pendedahan tentang apa yang berlaku boleh dilakukan.
Kamba sebenarnya telah hadir ke pejabat kedutaan Jerman yang terletak di Kinsasha, ibu negara Congo pada tahun 2018 bagi menafikan dakwaan dia telah meninggal dunia dalam kemalangan yang dilaporkan.
Menceritakan apa yang berlaku, Kamba memberitahu beberapa pihak yang beliau kenali telah pun bertindak membawa beliau ke satu tempat yang sangat terpencil semasa dia pulang ke Congo.
Dia kemudiannya ditinggalkan di situ dalam hutan, tanpa pengenalan diri, duit dan alat komunikasi.
Ini baru 'intro', belum masuk isi cerita dia.
Kemalangan, kehilangan atau satu 'scam'?
Selepas 'kemalangan' yang dilaporkan berlaku mengorbankan dirinya, isteri beliau (yang tidak didedahkan namanya) dilaporkan hadir ke Jerman lengkap dengan sijil kematian yang dikeluarkan kerajaan Congo serta pengumuman obituari kematian Kamba; bagi menuntut pampasan insurans berjumlah enam digit.
Dari sinilah kenalan Kamba serta media Jerman mengetahui tentang kematian Kamba, mengejutkan semua yang mengenali beliau.
Ucapan takziah mula dikongsikan teman-teman sepasukannya. Peranan beliau sebagai salah seorang ikon integrasi masyarakat Jerman semasa kes penghantaran semula beliau yang berlaku ketika dia masih bergelar pelajar, mula menjadi bualan kembali.
Tiada siapa menyangka, semua air mata yang mengalir menangisi kematian yang palsu belaka.
Kemunculan semula Kamba di kedutaan Jerman pada tahun 2018 mengejutkan banyak pihak, membuka lebih banyak persoalan tentang apa sebenarnya telah berlaku.
Kamba menafikan berita kematiannya, lalu memohon kebenaran untuk pulang ke Ruhr. Permohonannya dibenarkan untuk pulang ke Jerman disebabkan oleh taraf penduduk yang telah diperolehinya.
Kamba kembali ke negara angkatnya dan meneruskan kerjaya sebagai juruteknik bagi menampung hidup, serta diminta merahsiakan kemunculan semula beliau bagi membolehkan siasatan dimulakan ke atas apa yang terjadi.
Pihak berkuasa Jerman menjalankan siasatan ke atas kes unik ini, kerana ada kemungkinan penipuan insurans telah berjaya dilakukan.
Siapakah dalang penipuan ini - Kamba atau isterinya?
Kisah Kamba mengakui dirinya ditinggalkan jauh berbeza dengan cerita yang dijaja isterinya yang mati-mati mengakui suaminya telah meninggal dunia, lengkap dengan semua dokumen yang diperlukan dua tahun lalu.
Kamba mendakwa bekas isterinya telah bertindak merancang kematiannya bagi membolehkan wang insurans dituntut.
Bekas isterinya menafikan semua dakwaan itu.
Salah satu isu yang paling membingungkan penyiasat ketika menjalankan siasatan, adalah untuk mengesahkan apa yang berlaku kepada Kamba sepanjang 2 tahun tempoh dia disahkan meninggal dunia tanpa dapat dikesan.
Setakat ini, media Jerman melaporkan andaian berkemungkinan besar semua itu didalangi oleh isterinya sendiri yang mahu 'mengorbankan' suaminya demi keuntungan mudah, sependapat dengan kisah yang dikongsikan Kamba.
Dalam masa yang sama, pihak penyiasat turut sama perlu mengenalpasti adakah Kamba terlibat dalam perancangan itu. Kamba akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan - bagi menjelaskan apa berlaku selepas dia ditinggalkan di kawasan terpencil di Congo.
Pasti menarik kisah yang akan dikongsikan oleh individu yang pernah diisytiharkan mati, tetapi kini muncul semula secara tiba-tiba.
Rujukan
Former Soccer Player Hiannick Kamba Is Alive After Being Presumed Dead in 2016 Car Crash