Pada Ogos 1923, seekor anak anjing berusia 2 tahun bernama Bobbie bersama-sama pemiliknya iaitu keluarga Brazier dalam perjalanan musim panas dari rumah mereka di Silverton, Oregon, ke Wolcott, Indiana untuk melawat saudara-mara.

Ketika sedang mengisi minyak di Wolcott, Indiana, Bobbie telah dikejar oleh beberapa ekor anjing jalanan. Keluarga Brazier kemudiannya menunggu Bobbie untuk pulang ke stesen minyak tersebut, namun anjing malang ini tidak kunjung tiba.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mereka kemudiannya mengiklankan tentang kehilangan Bobbie di akhbar dan selepas seminggu mencari yang dengan begitu bersungguh-sungguh, keluarga Brazier akhirnya berputus asa.

anjing bobbie mengembara jauh untuk pulang ke rumah

Dengan hati yang remuk, mereka meneruskan perjalanan pulang ke Oregon dengan tiada harapan untuk bertemu dengan anjing mereka lagi.

Namun satu perkara yang sangat mengejutkan berlaku apabila Bobbie akhirnya pulang ke Oregon selepas hilang selama 6 bulan.

Bobbie kelihatan berjalan pulang dalam keadaan menyedihkan pada bulan Februari 1924, dengan bulu compang-camping, kotor dan kurus dengan kuku kakinya yang seperti tiada lagi.

Walaupun agak sukar untuk dipercayai, anak anjing ini telah berjalan kaki bersendirian sekitar 4,103 kilometer untuk pulang ke rumah tuannya.

Untuk lebih memahami, jarak ini adalah dari Johor Bharu ke Padang Besar sebanyak hampir 5 kali.

perjalanan bobbie anjing hebat

Tidak lama kemudian, berita ini tersebar ke seluruh Amerika Syarikat dan keluarga Brazier dihujani dengan surat peminat serta ditujukan kepada Bobbie sendiri.

Malah, sesetengah orang mendakwa bahawa mereka terlihat Bobbie di pelbagai tempat dan dapat mengenal pasti anjing ini melalui ciri-ciri uniknya.

Pihak berkuasa Persatuan Kemanusiaan Oregon pada mulanya ragu-ragu dengan berita dahsyat ini dan melancarkan penyiasatan terhadap dakwaan keluarga Brazier.

Setelah menghubungi orang-orang yang mendakwa bahawa mereka memberi makan dan memberi perlindungan tempat tidur kepada Bobbie dalam perjalanannya, akhirnya pihak berkuasa mengesahkan kisah Bobbie mengembara lebih 4,103 kilometer merentasi sungai di musim sejuk serta padang pasir untuk pulang ke rumah. 

kisah anjing bobbie 684

Malah, Persatuan Kemanusiaan Oregon juga berjaya mengumpulkan penerangan yang agak tepat tentang laluan yang dilalui oleh Bobbie.

Laporan Oregon:

"Selepas kembali ke Wolcott dan mendapati bahawa keluarga Brazier tiada lagi di situ, Bobbie bermula dengan mengikuti mereka ke timur laut, menghala lebih jauh ke Indiana.

Kemudian Bobbie mencuba beberapa jalan lain, mungkin cuba menghidu bau yang diketahuinya untuk memberinya rasa arah yang perlu diambil.

Akhirnya, Bobbie menemui apa yang dicarinya dan meneruskan perjalanan ke Pantai Barat menghala ke Oregon.

kisah bobbie anjing hebat

Dalam perjalanan mereka, keluarga Brazier meninggalkan kereta mereka di stesen servis setiap malam.

Bobbie melawat setiap satu daripada stesen ini dalam perjalanan, bersama-sama dengan beberapa rumah persendirian. Bobbie juga menghabiskan masa di kem gelandangan.

Di Portland, Bobbie tinggal sementara bersama seorang wanita Ireland, yang merawatnya hingga kembali sihat selepas anjing ini mengalami beberapa kemalangan yang menyebabkan kaki dan tapak kakinya luka.

Kira-kira dua minggu kemudian, Bobbie kembali ke Silverton."

Bobbie mati pada tahun 1927 di usia 6 tahun. Para doktor mencadangkan bahawa Bobbie mati di awal usia akibat daripada kesan pengembaraan dahsyat itu.

Bobbie ditanam di kawasan perkuburan haiwan peliharaan Persatuan Kemanusiaan Oregon.

patung bobbie

Beberapa dekad kemudian, mural tentang kehidupan Bobbie sepanjang 21 meter dilukis pada dinding yang menghadap jalan paling sibuk di Silverton.

Patung Bobbie bersaiz sebenar juga dibina di penghujung jalan tersebut dan bersebelahan patung tersebut dibina replika ruma anjing mewah milik Bobbie.

Rujukan:

1. Oregon Encyclopedia

2. I Am Freaking Awesome

3. Amusing Planet




Hakcipta iluminasi.com (2017)