Kisah mengenai misteri Dyatlov Pass (Laluan Dyatlov) ini kedengaran seperti sebuah filem seram. Ia mengenai sembilan pendaki Soviet yang menemui ajal dalam satu malam di pergunungan Ural dan sering menjadi subjek kepada banyak teori konspirasi serta imaginasi. Ini kerana tiada siapa yang benar-benar pasti apakah yang berlaku pada malam antara 1 dan 2 Februari tahun 1959.
BESARKAN TEKS A- A+
Ia bermula apabila sekumpulan pelajar dari Institut Politeknik Ural yang berpusat di Sverdlovsk (kini Yakaterinburg), ingin melakukan pengembaraan bersama. Mereka semua mempunyai minat yang sama dalam bermain ski dan mendaki di kawasan pergunungan Ural di Rusia.
Pada 27 Januari, kumpulan yang terdiri daripada 10 orang (lapan lelaki dan dua wanita) itu sedang bersedia untuk mendaki Gunung Otorten yang terletak di bahagian utara Ural. Salah seorang daripada mereka, Igor Dyatlov, telah dilantik sebagai ketua ekspedisi.
Tidak mengendahkan amaran
Kaum Mansi
Wilayah ini kebanyakannya dihuni oleh etnik minoriti kecil yang dikenali sebagai kaum Mansi. Apa yang menariknya, Otorten dalam bahasa Mansi ialah "jangan pergi ke sana". Ia berbunyi seperti suatu amaran tetapi para pelajar ini tetap nekad untuk menakluk Gunung Otorten itu.
Kumpulan itu menaiki trak dari bandar Ivdel sehingga mereka tiba di sebuah perkampungan kecil Vizhai iaitu penempatan terakhir yang dihuni oleh manusia di tepi hutan belantara.
Di Vizhai, kaum Mansi telah menceritakan kepada kumpulan itu tentang kisah mengenai pemburu dari kaum mereka yang terbunuh secara misteri ketika melewati Gunung Otorten. Mereka juga menggelarkan gunung itu sebagai Gunung Kematian.
Yuri Yudin
Keesokan harinya, seorang anggota kumpulan pendaki, Yuri Yudin, jatuh sakit dan terpaksa ditinggalkan di Vizhai. Manakala ahli kumpulannya yang lain tetap meneruskan rancangan mereka. Kini tinggal sembilan orang dalam kumpulan pendaki itu.
Lebih menyeramkan, kisah yang diceritakan oleh kaum Mansi itu melibatkan sembilan orang pemburu dari kaum mereka. Petanda buruk ini sekali lagi diabaikan kumpulan itu dan menganggapnya sebagai kisah dongeng sahaja. Mereka memulakan perjalanan ke Puncak Otorten yang akan membawa mereka ke Gunung Kematian itu.
Peristiwa paling aneh dalam sejarah Soviet
Pada 1 Februari, ribut salji telah melanda dan kumpulan itu memutuskan untuk berhenti dan berkhemah sementara menanti keadaan menjadi reda. Apa yang berlaku selepas itu telah menjadi peristiwa paling aneh dalam sejarah Soviet.
Kumpulan itu dijadualkan kembali dari pengembaraan mereka pada 12 Februari dan memaklumkan kelab sukan mereka bahawa mereka selamat. Disebabkan cuaca buruk, semua orang menganggap kumpulan itu mungkin sedikit lewat daripada jadual dan ia tidak menimbulkan sebarang syak.
Beberapa hari kemudian, Yuri Yudin yang berada di Vizhai mula risau dengan rakan-rakannya. Pada 20 Februari, keluarga para pelajar yang hilang telah menuntut agar pihak berkuasa melakukan operasi pencarian.
Tapak perkhemahan pasukan pendaki yang hilang
Pada mulanya, pihak Institut Politeknik Ural telah menghantar satu pasukan sukarelawan untuk mencari kumpulan itu tetapi gagal menemui mereka. Pencarian diteruskan pula oleh pihak polis dan tentera dengan menggunakan helikopter dan pesawat ringan.
Pada 26 Februari, tapak perkhemahan kumpulan pendaki itu berjaya ditemui. Pasukan penyelamat mendapati khemah pasukan pendaki itu telah dipotong dari dalam dan mereka seolah-olah keluar dalam keadaan tergesa-gesa.
Ini kerana semua peralatan seperti peralatan ski, makanan dan beberapa pakaian sejuk masih lagi berada dalam khemah. Khemah itu pula hampir separuh telah diselaputi salji. Pada waktu ini, pihak penyelamat telah bersedia untuk sebarang kemungkinan paling buruk.
Penemuan yang menimbulkan persoalan
Pasukan penyelamat juga menemui kesan tapak kaki kepunyaan lapan atau sembilan orang berhampiran tapak perkhemahan. Ini menunjukkan bahawa kumpulan itu melarikan diri, berkemungkinan besar berkaki ayam atau hanya memakai sarung kaki. Tapak kaki pasukan pendaki itu dikesan sehingga sejauh 500 meter dari khemah mereka.
Tidak lama kemudian, mayat dua pendaki lelaki telah ditemui di pinggir hutan berhampiran. Mereka yang hanya berpakaian biasa tanpa baju sejuk telah mati akibat hipotermia. Berhampiran mayat juga terdapat satu unggun api kecil, menandakan mereka cuba untuk bertahan tetapi tidak berjaya.
Kemudian, tiga lagi mayat termasuk Dyatlov, seorang lelaki dan seorang wanita pula ditemui. Mereka bertiga seolah-olah dalam perjalanan untuk kembali ke tapak perkhemahan tetapi tewas juga akibat hipotermia.
Kumpulan pendaki Institusi Politeknik Ural
Penemuan ini membingungkan ramai pihak. Apakah yang mendorong kumpulan pendaki yang berpengalaman ini untuk keluar dari khemah tanpa sebarang kelengkapan sehingga mati akibat hipotermia? Di manakah empat lagi pendaki yang masih hilang? Adakah mereka terselamat?
Soalan-soalan ini akhirnya terjawab dua bulan kemudian apabila salji mula cair pada bulan Mei. Empat lagi mayat pendaki, tiga lelaki dan seorang wanita ditemui dengan kecederaan fizikal yang teruk. Kecederaan itu dipercayai punca utama kematian mereka.
Misteri demi misteri
Buku mengenai misteri Dyatlov Pass
Empat mayat pendaki itu ditemui dengan berpakaian lengkap dengan baju sejuk. Siasatan telah menyimpulkan bahawa mereka berada di luar khemah ketika diserang oleh penyerang misteri.
Bedah siasat pula mendapati terdapat kesan radiasi pada pakaian empat mayat pendaki ini. Tahap radiasi itu adalah dua kali ganda daripada paras normal tetapi pihak berkuasa enggan mengulas lanjut tentang penemuan ini.
Walaupun banyak persoalan yang belum terjawab, siasatan telah dihentikan pada Mei 1959. Kesimpulan rasmi yang dikeluarkan ialah pasukan pendaki itu terkorban akibat cuaca buruk. Kawasan pekhemahan itu pula ditutup untuk tempoh tiga tahun dan kes Dyatlov ini dilabelkan sebagai kes sulit.
Filem mengenai misteri Dyatlov Pass
Kes ini dibincangkan semula pada tahun 1993 apabila banyak teori konspirasi dan andaian tersebar. Ada yang mendakwa ia melibatkan perkara mistik seperti serangan Menk (makhluk seperti Yeti). Ada juga berpendapat ia berkaitan eksperimen rahsia kerajaan kerana kehadiran kesan radioaktif yang tidak normal. Namun, tiada siapa yang dapat menampilkan bukti kukuh atas dakwaan mereka.
Pihak kerajaan pula mencadangkan teori-teori seperti serangan beruang liar, runtuhan salji atau dirompak oleh kaum Mansi tetapi mereka juga gagal mengemukakan bukti yang cukup untuk menyokong penjelasan itu. Sehingga kini, ia masih menjadi misteri yang belum terungkai.