Oleh pada 06 Dec 2018 kategori

Seorang lelaki berusia 41 tahun dijumpai mati di sebuah padang yang ditinggalkan di Daerah St. Charles pada 30 Jun 1999. Ricky McCormick mati dibunuh tiga hari sebelum mayatnya dijumpai. Ketika itu, tiada sebarang laporan diterima tentang kehilangannya. Dia mungkin mangsa pembunuhan 'biasa' seperti kes-kes lain, namun dua keping nota telah dijumpai di dalam poketnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setelah diperiksa, pihak polis mendapati dua keping nota itu telah disulitkan (encrypted) menggunakan kod yang tidak diketahui. Sehingga ke hari, tiada seorangpun yang berjaya menyelesaikan kod tersebut dan ia masih menjadi salah satu kes utama yang menemui jalan mati oleh Unit Pemecahan Tulisan Rahsia dan Kegiatan Haram FBI (CRRU).

ricky mccormick kes pembunuhan dari tahun 1999 yang tidak dapat diselesaikan fbi

Mayat Ricky ditemui

Pada tarikh 30 Jun 1999, seorang wanita sedang memandu di sebuah kawasan padang luas melalui Route 367 apabila menemui mayat Ricky di tepi jalan. Ketika polis tiba di tempat kejadian, mereka mendapati tubuh mayat tersebut sudahpun mula mereput. Kesan cap jari yang diambil membawa kepada pengesanan identiti Ricky McCormick.

Ricky ketika itu berusia 41 tahun, tidak bekerja dan tidak pernah berkahwin namun mempunyai sekurang-kurangnya empat orang anak. Dia tidak pernah menghabiskan persekolahan dan mempunyai rekod jenayah serta pernah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahan memperkosa gadis bawah umur namun hanya berada di penjara selama 11 bulan. 

Mayatnya yang mula mereput mendedahkan yang dia telah mati tiga hari sebelum dijumpai. Kali terakhir dia dilihat masih hidup adalah pada 25 Jun 1999 semasa mendapatkan rawatan di Hospital St. Louis Forest Park. Menurut teman wanitanya, dia telah berbual di telefon dengan Ricky pada 26 Jun sekitar jam 11:30 pagi namun selepas itu tiada siapa mendapat khabar berita mengenainya sehingga 30 Jun. Apa yang menarik, tiada sesiapapun - sama ada teman wanita mahupun ahli keluarganya yang melaporkan berita kehilangan Ricky kepada pihak berkuasa.

jalan di mana jasad ricky mccormick ditemui

Walau bagaimanapun, perkara yang lebih mengelirukan pihak polis semasa kejadian dan masih menjadi sebuah misteri sehingga kini adalah kewujudan nota rahsia yang dijumpai dalam poket Ricky. Dua nota yang dilaporkan sebagai kod rahsia itu mengandungi huruf serta nombor yang bercampur aduk dan sesekali diserlahkan menggunakan tanda kurung.

Kematian yang menimbulkan tanda tanya

Pada tahun 1999, kematian Ricky telah disahkan sebagai "tidak dapat dipastikan" kerana mayatnya sudah agak reput untuk dipastikan sama ada ia merupakan sebuah kes homisid atau sebaliknya. Lagipun tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ada sesiapa mempunyai motif untuk membunuh Ricky. Ketika itu, laporan berita tentang kematiannya juga tidak memberitahu sebarang maklumat mengenai mesej rahsia tersebut.

Namun demikian, 12 tahun kemudian, pihak FBI memulakan kembali penyiasatan dan memaklumkan bahawa Ricky mati akibat dibunuh selain mula memohon bantuan orang ramai untuk menyahkod mesej rahsia daripada nota yang dijumpai. Mereka merasakan mesej itu mungkin boleh membawa kumpulan penyiasat kepada saspek yang terlibat dalam pembunuhan Ricky. Pihak FBI berharap agar mereka dapat menyelesaikan kes pembunuhan Ricky dan akhirnya boleh menutup fail kes.

Mesej rahsia itu telah menerima ribuan respon daripada orang awam sehinggakan pihak FBI terpaksa memohon supaya mereka tidak membuat sebarang panggilan ke pejabat dan hanya menghantar respon melalui e-mel. Malah, mereka telah membuat sebuah laman web baru yang khusus bagi sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berkaitan kod tersebut, cara menyahkod dan teori pembuktiannya.

mesej rahsia nota kod misteri ricky mccormick yang tidak dapat diselesaikan fbi

Penafian ahli keluarga

Keluarga Ricky tidak mengetahui mengenai nota rahsia itu dan hanya mendapat tahu setelah pihak FBI membuat kenyataan awam. Dalam satu temu bual bersama Riverfront Times pada tahun 2012, ibu Ricky mendakwa bahawa anaknya tidak mungkin berkemampuan untuk menulis kod tersebut kerana dia tidak tahu membaca mahupun menulis serta melabelnya sebagai "terencat." Ayahnya juga turut menyokong kenyataan tersebut dengan menceritakan yang Ricky tidak pandai mengeja walau sepatah perkataan namun dia memang sering membuat contengan di atas kertas sejak kecil lagi.

Selain kenyataan kedua-dua orang tua Ricky, salah seorang sepupunya juga pernah memberitahu bahawa Ricky mungkin menderita masalah mental akibat skizofrenia atau gangguan bipolar. Dia sering berbicara seolah-olah dia sedang berada dalam 'alam' yang berbeza. Selain itu, dia juga diketahui banyak menghabiskan masa bersama pengedar dadah. Sebelum kes kematiannya, Ricky baru sahaja pulang dari Florida dengan membawa pulang marijuana yang dibeli daripada pengedar dadah di sana.

antara teori berkaitan mesej yang ditulis ricky mccormick 805

Teori berkaitan kes kematian Ricky

Disebabkan kenyataan-kenyataan yang berlainan mengenai personaliti Ricky, beberapa teori berkaitan mesej rahsia itu telah muncul. Ada beberapa teori yang menyatakan nota itu memberikan maklumat mengenai pembunuh sebenar Ricky dan ada teori lain yang mendakwa Ricky tidak mungkin boleh menulis mesej tersebut kerana dia tidak menamatkan persekolahan.

Ada juga teori yang dibuat berdasarkan kenyataan sepupu Ricky. Dilaporkan pesakit skizofrenia mempunyai kecenderungan untuk menulis setiap buah fikiran dan perasaan mereka. Jadi, mengikut teori ini, mesej rahsia itu mungkin dihasilkan oleh seorang penghidap skizofrenia.

Adapun begitu, terlalu banyak teori yang terhasil berkaitan kes pembunuhan Ricky McCormick serta makna sebenar di sebalik dua keping nota mengandungi mesej rahsia ini. Namun, sehingga kini, masih belum ada mana-mana teori yang berjaya membuktikan punca sebenar kematian, saspek pembunuh dan juga erti kod yang tertulis.

pihak fbi tidak dapat menyelesaikan kod yang ditulis ricky mccormick

Nyawa Ricky McCormick sudah lama melayang. Dirinya mungkin sudah dilupakan ramai orang jika tidak disebabkan dua keping kertas ini. Mesej yang disulitkan ini telah menjadi sumber teka-teki pelbagai pihak termasuklah CRRU FBI dan juga Persatuan Kriptogram Amerika. Adakah ia sekadar suatu contengan 'entah apa-apa' seperti didakwa ayahnya atau ia benar-benar mengandungi maklumat sulit? Tiada siapa yang tahu.

Tidak kira apa pun makna mesej tersebut, kes kematian Ricky McCormick masih kekal menjadi antara kes terulung CRRU yang masih belum diselesaikan.

Anda juga boleh cuba membantu pihak FBI melalui pautan yang kami kongsikan di bawah. Menurut FBI, tiada ganjaran yang ditawarkan sekiranya anda berjaya menyelesaikan teka-teki ini namun ia sudah pasti akan berjaya memuaskan hati anda. Selamat mencuba!

Rujukan:

1. FBI

2. DailyMail UK




Hakcipta iluminasi.com (2017)