Dinobatkan sebagai lukisan paling terkenal di dunia, Mona Lisa telah menarik lebih daripada enam juta pengunjung ke The Louvre setiap tahun. Apakah sebenarnya misteri keunikan yang terdapat pada lukisan yang dihasilkan oleh Leonardo da Vinci ini? Berikut adalah beberapa misteri yang sering menjadi tanda tanya sejak dari dahulu lagi.

1. Identiti sebenar Mona Lisa

BESARKAN TEKS     A-  A+

identiti mona lisa

Sepanjang lebih dari seabad yang lalu, ramai yang telah membuat andaian bahawa Mona Lisa adalah seorang wanita bangsawan. Namun, beberapa nama telah dikaitkan dengan tuan empunya badan antaranya adalah Isabella d'Este, Marquise of Mantua, atau Costanza d'Avalos, Duchess of Francavilla.

Sebahagian yang lain pula mengatakan Mona Lisa adalah berdasarkan seorang lelaki iaitu Leonardo da Vinci sendiri atau lelaki yang menjadi pembantunya selama 20 tahun iaitu Gian Giacomo Caprotti. Bahkan, ada yang mengatakan ia adalah lukisan permandangan indah yang lama-kelamaan ditukar menjadi lukisan seorang wanita.

Hari ini, ramai pakar berpendapat bahawa potret Mona Lisa adalah Lisa Gherardini del Giocondo, isteri kepada seorang saudagar sutera Florentine bernama Francesco del Giocondo. Pada tahun 1503, Lisa Gherardini berusia sekitar 24 tahun ketika wajahnya dilukis Leonardo da Vinci. Walaupun begitu, watak sebenar lukisan ini masih belum dapat dibuktikan secara rasmi.

2. Tandatangan tersembunyi

tanda tangan tersembunyi

Pada tahun 2010, pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Warisan Kebudayaan Itali iaitu Silvano Vinceti telah mendakwa melihat beberapa tandatangan tersembunyi yang ditulis dengan teliti dan halus pada mata Mona Lisa. Dia mendakwa pada mata kanan lukisan itu terdapat huruf L dan V yang dikatakan tandantangan Leonardo da Vinci.

Pada mata kiri Mona Lisa pula terdapat huruf seakan C, E atau B. Walau bagaimanapun, pihak pengurusan The Louvre mengatakan bahawa tandatangan tersembunyi yang didakwa dikesan oleh Vinceti itu mungkin disebabkan rekahan yang sangat kecil pada cat lukisan terkenal itu.

3. Latar belakang yang aneh

latar belakang tidak serasi

Pada latar belakang yang terdapat pada lukisan Mona Lisa itu, bahagian sebelah kanan adalah sedikit lebih tinggi berbanding di sebelah kiri. Beberapa andaian mengatakan ia adalah dua latar belakang yang berbeza dan sukar digabungkan. Disebabkan latar belakang yang tidak serasi ini, ia membuatkan Mona Lisa kelihatan sedikit lebih tinggi dan lebih tegak posisi tubuhnya.

4. Senyuman penuh misteri

senyuman misteri mona lisa

Pada tahun 2000, para saintis di Harvard University telah mencadangkan penjelasan di sebalik kajian saraf mengenai senyuman Mona Lisa yang sukar difahami. Ketika anda sedang melihat matanya, mulutnya berada dalam keadaan periferal yang kelihatan hitam dan putih.

Ini menonjolkan bayang-bayang di sudut mulutnya membuatkan senyuman Mona Lisa kelihatan lebih luas. Namun begitu, pandangan itu akan berkurangan sekiranya anda melihat terus pada mulutnya.

Ini adalah salah satu kepelbagaian ciri senyuman Mona Lisa yang sering diperdebatkan. Ia sering berubah-ubah jika dilihat pada sudut berlainan dan membuatkannya kelihatan seakan hidup dan penuh misteri.

5. Jambatan yang menjadi tanda tanya

latar belakang jambatan mona lisa 732

Landskap pada latar belakang lukisan Mona Lisa kelihatan seakan suatu imaginasi tetapi mungkin juga jambatan yang dilukis pada bahagian belakang di sebelah kanan itu diketahui oleh Leonardo.

Ramai orang mengatakan jambatan itu adalah Jambatan Ponte Buriano yang terletak di Tuscany. Akan tetapi, pada tahun 2011 seorang penyelidik telah mendakwa lukisan jambatan itu adalah berdasarkan Jambatan Bobbio yang terletak di Trebbia yang telah rosak dihanyutkan banjir yang berlaku pada tahun 1472.

6. Obsesi Da Vinci

obsesi da vinci

Leonardo da Vinci telah mengusahakan lukisan ini selama beberapa tahun lamanya. Dia terlalu obses dengan lukisan Mona Lisa dan selalu membawa lukisan ini bersamanya ke mana sahaja dia mengembara, walaupun sehingga dia berpindah ke Perancis pada penghujung hayatnya.

Lukisan itu akhirnya dijual kepada penaja terakhirnya iaitu Raja Francois I dan kekal berada dalam koleksi diraja selama hampir 200 tahun lamanya. Pada tahun 1799, Napoleon telah terjumpa lukisan Mona Lisa dan mengarahkan agar ianya ditempatkan di bilik tidurnya. Pada tahun 1804 barulah lukisan ini dipamerkan untuk tontonan umum di The Louvre.

Namun, pada masa ia dipamerkan, lukisan ini tidaklah begitu menarik perhatian sehinggalah pada pertengahan kurun ke-19, nama Leonardo sebagai seorang artis mula dikenali. Dia dilihat sebagai seorang yang sama hebat seperti Michelangelo dan Raphael. Tidak lama selepas itu beberapa karya da Vinci yang lain mula dikenali dan namanya menjadi begitu terkenal sehingga hari ini.

7. Adakah Mona Lisa tidak sihat?

kesihatan mona lisa

Lukisan Mona Lisa ini juga sering diteliti oleh pakar perubatan. Pada tahun 2010, seorang doktor dari Itali telah perasan bengkak di sekeliling matanya dan mendiagnosis bahawa Mona Lisa mempunyai kandungan kolesterol berlebihan dalam pengambilan makanannya.

Malah, beberapa doktor juga berpendapat Mona Lisa mungkin mempunyai beberapa masalah kesihatan yang lain seperti kelumpuhan muka, pekak dan juga sifilis. Selain itu, melalui wajahnya juga doktor mengatakan Mona Lisa sedang hamil.

leornardo da vinci monalisa forensic xray

Doktor gigi pula berpendapat bahawa lakaran mulut Mona Lisa menggambarkan bahawa dia mungkin mempunyai bentuk gigi yang kompulsif dan bibir atasnya menunjukkan Mona Lisa tiada beberapa batang gigi pada bahagian hadapan.

Berdasarkan bibirnya yang pucat pula, doktor berpendapat Mona Lisa mungkin dikasari atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Sehingga kini keadaan kesihatan berdasarkan lukisan itu sering diperdebatkan.

Rujukan:

1. Reader's Digest

2. Independent

3. Express

4. What Culture




Hakcipta iluminasi.com (2017)