Ahli sains seringkali dijulang berikutan sumbangan mereka dalam menambahbaik kehidupan manusia sejagat. 

Di sebalik kisah-kisah ketokohan ahli-ahli sains meneroka bidang masing-masing, wujud cerita-cerita konspirasi kurang enak berkenaan pertelagahan di antara saintis yang berbeza pendapat. Anda pernah dengar nama Profesor John Yudkin?

Pasti ramai yang menggelengkan kepala. Ini kerana sepanjang karier beliau, Yudkin melawan arus pandangan perdana saintis lain mendedahkan risiko dan bahaya penggunaan gula dalam diet kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malangnya, usaha beliau gagal walaupun apa yang dia perjuangkan sendirian, mampu menyelamatkan kita semua.

Masalah obesiti - berpunca dari lemak atau gula? 

energy drink sugar guka

Pada dekad 1950-an, pakar-pakar sains sedunia khasnya dalam bidang pemakanan berpecah kepada dua kumpulan pendapat. 

Majoriti penyelidik berpandangan masalah kesihatan yang berpunca dari tabiat pemakanan seperti obesiti dan koronari jantung, berlaku disebabkan oleh pengambilan lemak berlebihan dalam makanan.

Walaupun begitu, satu kumpulan kecil lagi berpandangan bahawa lemak bukanlah bahan yang patut dipersalahkan - sebaliknya gula.

Antara saintis paling lantang menyuarakanpendapat ini adalah Profesor John Yudkin, seorang ahli perubatan pemakanan yang banyak mengeluarkan kajian berkenaan diet dan khasiat pemakanan seimbang.

Yudkin adalah seorang Yahudi Ortodoks, berhijrah mengikut keluarganya ke London terpaksa melarikan diri dari menjadi mangsa penghapusan etnik di Russia. Nasib beliau baik dia dapat belajar dengan sempurna sejak usia muda.

Yudkin mula serius menceburi bidang perubatan semasa belajar peringkat doktor di Cambridge University. Selepas tamat pendidikan, Yudkin bekerja sebagai pengajar dan pengarah fakulti perubatan universitinya, serta mula menjalankan kajian berkenaan kesan vitamin dalam diet.

Hasil daripada kajian itulah Yudkin menyedari kebanyakan dapatan kajian sains berkenaan tabiat pemakanan zaman tersebut, gagal benar-benar mengambil kira faktor-faktor luaran kepada seorang individu seperti pengaruh masyarakat, dalam membentuk tabiat pemakanan sihat yang berkesan.

Nama beliau mula disebut selepas Yudkin giat mempromosikan diet rendah karbohidrat bagi membantu mengawal berat badan seseorang; gula menjadi sasaran utama serangan beliau. 

Bagaimanapun pendapat itu ditentang keras kumpulan penyelidik arus perdana lain serta pengeluar-pengeluar produk makanan yang mula popular pada zaman tersebut. 

Nama Yudkin mula disebut sebagai pengkritik sains 

john yudkin bahaya risiko gula

Dalam jurnal tulisannya berjudul 'Diet and Coronary Thrombosis', Prof. John Yudkin membentangkan pendapatnya yang menyanggah pandangan popular bahawa majoriti kematian disebabkan masalah koronari jantung berpunca daripada lemak.

Yudkin juga secara terbuka menghentam penyelidik lain dalam jurnalnya, mendakwa bahawa kebanyakan saintis era tersebut hanya menggunakan data yang selari dengan hipotesis mereka, untuk membuktikan mereka benar.

Berdasarkan data kajiannya daripada tahun 1928 sehinggalah yang terbaru ketika itu dalam tahun 1952, Yudkin membuktikan wujud hubungan besar antara tabiat pengambilan gula yang pada ketika itu agak bernilai hanya mampu dimiliki golongan berkemampuan, dengan kadar pertambahan kes koronari trombosis pada bahagian jantung seseorang.

Namun begitu pendapat Yudkin ini yang jelas membantah hasil dapatan popular penyelidik lain sezamannya. Mereka ini terus berpegang bahawa pengambilan bahan berlemak hasil tenusu seperti mentega, susu dan keju adalah punca banyak masalah kesihatan ahli masyarakat mereka.

Pertembungan pendapat berbeza mula menyebabkan Yudkin disisihkan daripada perbincangan melibatkan sains pemakanan, walaupun jelas dari segi kredibiliti Yudkin cukup arif dalam bidangnya.

Dikritik hebat saintis lain dan pakar industri

ancel keys penyelidik sains

Populariti gula sebagai bahan perasa makanan dan minuman menampakkan peningkatan ketara tahun ke tahun, menimbulkan kegusaran kepada Yudkin. Tabiat makanan masyarakat dunia juga semakin lama semakin meletakkan gula sebagai salah satu kepentingan dalam menu.

Pendapat Yudkin dikritik banyak pihak yang mendakwa kajian Yudkin tiada asas serta dakwaan tanpa bukti kukuh.

Seteru utamanya adalah seorang penyelidik bereputasi tinggi bernama Ancel Keys yang mula mengeluarkan kritikan balas, memperlekehkan pandangan utama Yudkin serta terus menggiatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya pengambilan lemak, berbeza berbanding amaran Yudkin.

Keys adalah nama besar setelah dia menjadi pakar utama rujukan kerajaan Amerika Syarikat, yang mencari solusi kepada masalah jantung dihadapi (bekas) Presiden Amerika Syarikat, Dwight Eisenhower. Eisenhower mengalami serangan jantung pada tahun 1955, membolehkan Keys dilantik sebagai penasihat kesihatan rasmi. 

Cadangan utama Keys berdasarkan kajian beliau, adalah untuk Eisenhower menjaga pengambilan lemak dalam makanan. Keys juga dipanggil membentangkan hasil kajiannya ke serata dunia, memulakan kempen pemakanan rendah lemak kepada masyarakat awam.

Yudkin memilih untuk tidak menghiraukan apa yang berlaku sebaliknya meneruskan kajiannya. Sehinggalah tahun 1972 apabila buku tulisannya yang berjudul "Pure, White and Deadly' diterbitkan.

Di sinilah serangan terhadap Yudkin mula bernada lebih lantang.

Buku kisah benar yang sengaja didiamkan

john yudkin bahaya risiko gula diet jfif

Buku tulisan Yudkin (juga diberikan judul 'Sweet and Dangerous') memperjelaskan tentang bahaya pengambilan gula dalam diri manusia dan ini adalah satu pandangan yang mendahului zaman.

Lebih memeranjatkan, Yudkin dalam tulisannya turut mendedahkan secara terbuka penglibatan saintis-saintis lain dan serta syarikat-syarikat pengeluar produk yang mahu menyogoknya, mahu dia mendiamkan diri. 

Tindakan mencipta musuh melalui buku ini mula menyebabkan fokus sasaran pada Yudkin menjadi lebih besar. Saintis-saintis pemakanan dengan kerjasama syarikat pengeluar makanan mula mengeluarkan belanja lebih besar, menjalankan kajian baru semata-mata untuk menutup semua 'tohmahan' yang dibuat Yudkin.

Kajian serta pendapat Yudkin berjaya dimatikan sebarannya melalui media dan media cetak, dengan pihak-pihak berkepentingan terus menyebarkan mesej tentang bahaya lemak tanpa mahu menuding jari kepada pengambilan gula sebagai punca sebenar, dek takut hilang kredibiliti masing-masing.

Namun lama-kelamaan tahap kesedaran orang ramai timbul sedikit demi sedikit.

Hasil daripada amaran awal Yudkin yang telah dibunyikan sejak tahun 1957 lagi, masyarakat dunia mengambil masa lebih daripada 3 dekad sebelum menyedari secara khusus kesan negatif gula yang menyumbang kepada masalah obesiti serta pengaruh buruknya kepada jantung.

Badan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya pada tahun 2003 mula mengeluarkan garis panduan pengambilan gula bagi membantu seseorang mengekalkan tahap kesihatan optimum.

Enam tahun selepas itu, sebuah video tular di Youtube kembali mempopularkan nama mendiang Yudkin yang ketika itu telah meninggal dunia kepada orang ramai.

Tular di media sosial selepas meninggal dunia

lutig yudkin ceramah

Seorang pakar kanak-kanak bernama Robert Lustig menjadikan kajian berkenaan masalah obesiti di kalangan individu awal usia sebagai fokus kerjaya.

Beliau mendapati punca utama kebanyakan kanak-kanak zaman sekarang mudah mendapat penyakit adalah disebabkan pengambilan gula yang tinggi.

Dalam ceramahnya yang tular, Lustig memperjelaskan risiko berkenaan tabiat pengambilan gula serta semua dapatan kajian yang diperolehi, menamakan dua rujukan utama yang beliau sifatkan sangat mendahului zaman sebagai rujukan utama membantu beliau; kajian terawal John Yudkin yang diterbitkan pada tahun 1957 serta buku tulisannya.

Lustig memberikan kredit besar kepada buku tulisan Yudkin kerana bagi beliau, Yudkin telah nampak isu dan masalah yang bakal timbul berdekad-dekad lamanya serta telah berusaha memberikan amaran kepada dunia.

Namun pada waktu itu, pandangannya yang berbeza diketepikan.

Lustiq memuji semua usaha Yudkin dalam menyedarkan orang ramai berkenaan bahaya gula, tetapi sayangnya sehingga ke hari ini gula kekal menjadi antara ramuan utama dalam diet orang ramai - kekal menjadi punca masalah jantung yang semakin kerap dihadapi masyarakat moden.

Profesor John Yudkin menjalani persaraan setahun sebelum bukunya diterbitkan dan berhenti daripada mengajar pada tahun 1974. Dia meninggal dunia pada tahun 1995 di London, dilupakan sumbangannya kerana pada ketika itu dianggap tiada bernilai. 

Hanya dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini penyelidik sains mula mempelajari tentang amaran yang sudah dibunyikan lebih awal oleh Yudkin. Kini sudah semakin banyak usaha pengeluar produk makanan dan minuman untuk mengehadkan jumlah gula dalam produk mereka. 

Persoalannya - adakah usaha itu memadai atau hanya sekadar usaha ibarat melepaskan batuk di tangga, asalkan produk terus terjual seperti biasa?

Inilah kisah konspirasi di antara saintis, bagaimana kita diajar untuk peka tentang lemak berbanding gula.

Rujukan

The sugar conspiracy




Hakcipta iluminasi.com (2017)