Sama ada anda sukakan benda yang manis-manis atau tidak, tidak dinafikan gula memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Boleh dikatakan semua benda yang kita makan mengandungi gula. Daripada coklat, air soda sehinggalah ke makanan sihat seperti tomato dan buah epal.
Tapi anda perlu fahami bahawa setiap gula berlainan dan diproses oleh tubuh dengan cara yang berbeza. Ada gula yang 'baik' dan sangat diperlukan untuk metabolisme badan, manakala ada juga gula 'jahat' yang menyumbang ke arah obesiti, sakit jantung dan barah.
BESARKAN TEKS A- A+
Mengenali jenis-jenis gula bukan sahaja penting, malah ia mampu menyelamatkan nyawa dan juga ukur lilit pinggang anda. Baca lebih lanjut untuk mengenal pasti empat kategori gula yang kita selalu jumpa setiap hari:
Fahami apa itu glukosa
Kategori pertama ini merupakan bentuk gula paling asas dan terdapat dalam setiap sel tubuh badan manusia. Ia juga dijumpai dalam hampir kesemua makanan yang mengandungi unsur karbohidrat seperti roti, cendawan, mi dan susu.
Tubuh manusia akan menguraikan semua jenis gula kepada glukosa yang akan digunakan sebagai tenaga. Glukosa ini merupakan gula ringkas dan lebih dikenali sebagai "gula darah" kerana ia adalah gula yang sentiasa bergerak melalui salur darah anda.
Fahami gula jenis fruktosa
Kategori kedua iaitu fruktosa juga merupakan sejenis gula ringkas yang ditemui dalam kebanyakan sayur-sayuran dan buah. Madu asli juga mengandungi fruktosa.
Walaupun ia merupakan sejenis gula ringkas, ia lebih sukar diuraikan berbanding glukosa kerana ia perlu diproses oleh hati sebelum ditukarkan menjadi tenaga. Ia bersifat lebih cenderung kepada lemak berbanding karbohidrat, tidak merangsang penghasilan insulin dan juga tidak membebaskan hormon ghrelin yang mengawal tenaga dan rasa lapar.
Kombinasi glukosa dan fruktosa membentuk sukrosa
Gula ini merupakan kombinasi antara glukosa dan fruktosa (kategori ketiga), kebiasaannya dalam nisbah 50:50. Ia lebih dikenali sebagai gula pasir yang dihasilkan daripada tebu atau bit gula (sugar beets) yang ditanam di seluruh dunia.
Apabila sukrosa ditambah ke dalam makanan, tubuh manusia perlu memprosesnya menggunakan kedua-dua kaedah. Glukosa akan terus ditukarkan menjadi tenaga manakala fruktosa pula akan diasingkan dan dihantar ke hati untuk diproses sebagai penyimpanan lemak.
Sirap jagung dengan fruktosa tinggi
Kategori keempat inilah gula yang paling popular dewasa kini sehingga menjadi bahan pemanis paling selalu digunakan dalam makanan. High-fructose corn syrup (HFCS) ini dihasilkan daripada jagung dan mempunyai kepekatan berbeza sehingga boleh mencecah 90% fruktosa.
Sama seperti sukrosa, tubuh akan memproses glukosa menjadi tenaga manakala gula selebihnya akan disimpan sebagai lemak untuk digunakan sebagai tenaga pada masa kemudian. Ia jugalah penyebab badan anda tiba-tiba berasa amat letih akibat makan terlalu banyak gula. Fenomena ini dipanggil 'sugar crash' atau hipoglisemia reaktif.
Kenapa anda wajib mengenali semua gula ini?
Dua kategori gula pertama (glukosa dan fruktosa) merupakan gula semula jadi yang terhasil daripada makanan yang anda makan. Kedua-dua gula ini ditemani oleh protein, serat, mineral dan vitamin yang diperlukan oleh metabolisme tubuh untuk berfungsi dan menjamin kesihatan.
Misalnya, apabila anda memakan sebiji epal, anda bukan sahaja mendapat fruktosa malah serat dan pelbagai jenis vitamin seperti vitamin A, B, C, fitonutrien, pektin, kuersetin dan juga flavonoid. Ini bermakna proses penghadaman akan menjadi lebih perlahan dengan membenarkan tubuh untuk menguraikan gula perlahan-lahan secara semula jadi untuk ditukarkan menjadi glukosa. Penyimpanan lemak juga amat sedikit kerana tubuh bukan berada dalam keadaan terburu-buru.
Sebaliknya, apabila anda mengambil sukrosa atau sirap jagung berfruktosa tinggi seperti bar coklat atau pemanis yang tidak mempunyai kandungan serat atau nutrien lain, tubuh akan tergopoh-gapah mencerna makanan itu sehingga menyebabkan gula darah melonjak naik dengan cepat.
Pankreas kemudian akan bertindak balas dengan menghasilkan insulin dengan amat banyak untuk menentang kenaikan gula dalam darah. Situasi ini akan menghentikan proses penukaran gula kepada tenaga.
Bila hati dah tak dapat proses, anda pun jadi gemuk
Anda juga perlu ingat bahawa hati merupakan satu-satunya organ yang boleh menghadam fruktosa. Jadi, bila ia terlampau kuat bekerja, ia hanya akan menukarkan lebihan gula ke dalam bentuk lemak.
Pada ketika ini, tubuh tidak akan mendapat isyarat yang ia memerlukan apa-apa lagi tenaga. Inilah keletihan 'sugar crash' yang sering terjadi selepas anda meminum dua atau tiga tin air berkarbonat.
Memandangkan gula kilang atau gula yang diproses ini dimetabolismekan dengan terlalu cepat menjadi tenaga dan lemak, badan anda tidak akan berasa kenyang dan mendorong anda untuk makan lebih banyak. Jika makanan yang anda makan itu juga mengandungi banyak gula yang diproses, kitaran ini tidak akan berhenti.
Elak obesiti, penyakit jantung dan barah
Oleh sebab itulah anda perlu mengenal pasti jenis gula yang anda ambil dalam diet seharian. Ini disebabkan gula yang diproses ini menjadi salah satu punca utama kegemukan di seluruh dunia. Seperti yang kita sedia maklum, obesiti merupakan salah satu punca penyakit kronik termasuklah kencing manis, penyakit kardiovaskular dan kanser.
Peningkatan penggunaan gula yang diproses ini mungkin disebabkan kos penghasilannya yang rendah dan amat mudah untuk ditambah ke dalam produk makanan. Namun ia amat berbahaya kerana merosakkan kesihatan umat sejagat dan mencipta generasi baru yang ketagihan gula sebegini.
Bayangkanlah anda suka makan makanan tinggi gula, ditambah pula dengan makanan tinggi lemak dan garam. Manalah tak dapat macam-macam penyakit kan?
Apa kata mulai dari sekarang, kurangkan (atau sebaik-baiknya elakkan) pengambilan gula sukrosa dan HFCS jika anda mahukan kehidupan yang sihat. Sebaliknya, ambillah makanan yang mengandungi gula semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Selain memberi serabut diet harian, ia juga bersifat antioksida yang boleh merendahkan paras kolestrol dan mengurangkan risiko penyakit barah.
Ingat.. kurangkan gula dalam makanan, lebihkan dalam senyuman!
Rujukan: