ladang stevia pemanis alternatif

Anda pasti melihat banyak produk yang dijual memaparkan penggunaan stevia sebagai pelaris. Apa perbezaan di antara stevia dengan gula yang kita gunakan selama ini? Stevia dikatakan unik kerana ia tidak menambahkan sebarang jumlah kalori dan jika dibandingkan dengan kebanyakan pengganti gula yang dijual, stevia datang daripada tumbuhan.

Satu spesis stevia paling bernilai iaitu stevia rebaudiana tumbuh di Paraguay dan Brazil, di mana penduduk tempatan sudah beratus tahun lamanya menggunakan stevia sebagai pemanis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Moises Santiago Bertoni, seorang ahli botani Itali pada hujung kurun ke 19 dikatakan bertanggungjawab mempopularkan stevia.

Bagaimanapun, kisah Bertoni ini kelakar. Mungkin kerana faktor bahasa serta tidak biasa dengan kawasan kajiannya, Bertoni tersalah faham berkenaan stevia dan menganggapnya sukar dijumpai sedangkan penduduk asal di situ, suku kaum Guarani di Paraguay sudah pun menggunakannya sekian lama.

Stevia digelarkan kaa he-he oleh penduduk tempatan, bermaksud herba manis yang mempunyai pelbagai kegunaan. Kaum Guarani menggunakannnya untuk merawat kesan lecur, kembung perut dan juga sebagai alat perancang keluarga (jangan tanya kami bagaimana). Daun stevia juga kerap dikunyah seolah daun sirih bagi memaniskan mulut.

daun stevia

Bertoni menghabiskan hampir 12 tahun hanya mencari spesis stevia. Ini atas kekeliruannya meninjau di sekitar timur Paraguay dalam usahanya menjumpai pokok ganjil tersebut. Kawasan tersebut bukan kawasan penduduk tempatan menanam pokok kaa-he-he yang sangat senang dijumpai di bahagian utara Paraguay.

Pencarian Bertoni (akhirnya) berhasil selepas salah seorang rakannya berjaya mendapatkan sampel daun stevia daripada sebuah ladang. Gembira dengan penemuan tersebut serta mungkin didorong rasa takut orang lain mengambil kredit, Bertoni mengumumkan penemuan terbaru spesis tersebut dengan nama 'stevia' sempena nama Petrus Jacobus Stevus, seorang professor botani di University of Valencia dalam sebuah jurnal botani.

Pada tahun 1903, Bertoni berjaya menemui pokok stevia hidup hasil sumbangan seorang paderi dari San Pedro yang mungkin mengetahui tentang kajian yang Bertoni sedang lakukan. Hasil sumbangan tersebut, Bertoni membuat kajian dengan lebih mendalam. Dia mengatakan daun stevia yang dipotong dalam saiz beberapa milimeter saja sudah cukup untuk memaniskan mulut berjam-jam lamanya. Beberapa helai daun pula sudah cukup memaniskan kopi atau teh yang pekat.

Akhirnya, hanya pada tahun 1913, Bertoni mengakui kesilapannya dalam melakukan kajian selama ini. Dia menarik balik kenyataan yang pokok stevia amat sukar dijumpai dan beberapa salah anggapan beliau yang lain. Bertoni mengatakan kesilapan dia selama ini menganggap stevia sukar dijumpai, sama seperti seseorang itu ke Amerika Syarikat untuk mencari pokok ginseng liar dan apabila tidak jumpa, alasannya pokok itu teramat sukar ditemui.

stevia sebagai pengganti gula

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bermula dari 'penemuan' Bertoni itulah, pokok stevia lebih dikenali masyarakat dunia. Cuma, kami pasti ramai juga daripada suku kaum Guarani di Paraguay yang menggelengkan kepala dan ketawa mendengar kisah Bertoni itu.

Stevia tidak mempunyai kalori, itu faedah utamanya. Rasanya pula dikatakan 200 kali lebih manis berbanding gula dalam kadar kepekatan serupa. Kajian-kajian lain pula membuktikan stevia mampu memberikan faedah baik pada tahap kesihatan seseorang.

Menurut Journal of Medicinal Food pada tahun 2017, stevia mampu membantu mereka yang mengadapi masalah obesiti, diabetes dan hipertensi namun tak dapat dinafikan, kajian lebih mendalam masih diperlukan. Dalam satu kajian lain pula pada tahun 2010, apabila dilakukan perbandingan di antara kesan ke atas mereka yang mengambil pengganti gula berbentuk kimia, gula dengan stevia, didapati stevia mampu mengekalkan kandungan gula dalam badan seseorang selepas makan. Mereka yang mengambil stevia juga mempunyai kandungan insulin yang rendah berbanding mereka yang mengambil pemanis tiruan.

truvia pengganti gula

Oleh kerana tidak ada pengkelasan tertentu tentang 'adakah stevia selamat' jadi pengguna perlu dapat mengenal pasti jenis stevia yang bakal mereka ambil. Pihak FDA Amerika setakat ini belum meluluskan kegunaan daun stevia yang belum diekstrak sebagai bahan makanan. Ini kerana dalam bentuk asal, dikhuatiri yang kandungannya akan memberikan kesan ke atas jumlah gula dalam darah serta kesan buruk ke atas organ pembiakan, kardiovaskular serta pencernaan. Bagaimanapun, FDA telah meluluskan penggunaan bahan rebaudioside A, sejenis bahan hasil ekstrak stevia sebagai bahan tambahan dalam makanan.

Produk yang menggunakan rebaudioside A seperti 'Truvia' dikategorikan sebagai selamat untuk dimakan namun tidak dikelaskan sebagai stevia. Ini bermaksud, jika sesuatu produk itu hanya mengandungi rebaudioside A dalam kandungannya, ia bukan produk stevia kerana sumber yang diambil daripada stevia asal, sudah ditapis dan berlainan daripada stevia.

Kesan buruk stevia juga dikatakan masih lagi dalam kajian. Stevia dikatakan mampu merendahkan tekanan darah dan ini perlu diberikan perhatian oleh mereka yang mengambil ubat-ubatan bagi mengawal tekanan darah.

Mereka yang perlu mengambil suntikan insulin perlu mendapatkan nasihat pakar sebelum mengambil stevia. 

Rujukan

Healthline




Hakcipta iluminasi.com (2017)