Pada 19 Jun 2020, E. Bennicks yang berusia 32 tahun seorang pengusaha kedai telefon di Thoothukudi, Tamil Nadu, menerima kunjungan rakannya di premis sekitar jam 8 malam.

Rakannya memberitahu Bennicks ayahnya, P. Jayaraj telah ditahan pihak polis.

Terkejut mendengar perkhabaran tersebut, Bennicks segera menutup kedai, berkejar ke balai polis Sathankulam di mana ayahnya yang berusia 59 tahun sedang disoal siasat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setibanya di sana, Bennicks segera memeriksa sama ada ayahnya masih ada di situ atau tidak, tetapi dia diberitahu bahawa dia perlu ditahan bagi membantu siasatan.

Rakannya yang turut sama mengikuti Bennicks diberitahu kedua-dua anak beranak itu akan ditahan sehingga 20 Jun 2020.

Tiga hari kemudian, waris kepada dua anak beranak itu dilaporkan menerima berita sedih kedua-duanya sudah pun meninggal dunia semasa dalam tahanan polis, di sebuah hospital kerajaan yang terletak di Kovilpati, 100 km dari kawasan di mana mereka tinggal.

Punca kejadian malang itu

tunjuk perasaan tamil nadu

Sehari sebelum kedua-duanya ditahan, Jayaraj dan Bennicks dilaporkan telah menjalankan perniagaan melebihi tempoh waktu yang dibenarkan akibat peraturan kawalan pergerakan kerajaan India.

Menurut pihak polis, arahan agar kedai ditutup dibantah dengan agresif beserta ugutan yang dipercayai dibuat oleh Jayaraj dan Bennicks, menyebabkan berlakunya insiden kekasaran antara kedua-dua pihak.

Pihak polis mendakwa Jayaraj dan Bennicks berdegil serta berkeras mahu meneruskan perniagaan mereka, dilindungi beberapa orang rakan mereka yang ada.

Bimbang dengan ugutan berdepan kumpulan yang melindungi kedai tersebut yang lebih besar, pihak polis mengambil keputusan untuk bersurai sebelum bertindak menahan Jayaraj keesokannya.

Jayaraj dilaporkan ditahan lebih awal sebelum Bennicks sendiri hadir ke balai bagi mendapatkan maklumat tentang ayahnya.

Tiba di situ, Bennicks ditahan dan dikasari, mengakibatkan rakannya yang hadir cuba membantu.

Akhirnya, kesemua rakan mereka yang hadir selepas mendapat perkhabaran tentang penangkapan tersebut ditolak keluar dari balai, hanya mampu mendengar raungan kedua-dua anak beranak tersebut dari luar.

Kehadiran seorang Inspektor bernama Raghuganesh sekitar jam 11.30 malam merancakkan lagi pesta siasatan yang berlaku dalam balai tersebut.

Kematian dalam tahanan

poster pembunuhan jayaraj bennick polis

Selepas sehari dalam tahanan, anggota polis barulah berusaha untuk mendapatkan kebenaran pihak majistret bagi membolehkan waran tangkapan dilakukan.

Untuk membolehkan waran dikeluarkan, laporan kesihatan yang mengesahkan tahap kesihatan kedua-duanya perlu disertakan sekali dalam permohonan, jadi Jayaraj dan Bennicks perlu dibawa ke hospital yang terletak di situ.

Tidak dikenalpasti apa sebabnya polis bertindak menghubungi waris mangsa pada awal pagi 20 Jun 2020, meminta agar Jayaraj dan Bennicks diambil sendiri untuk dibawa ke hospital.

Mungkin kerana tidak mahu mengotorkan kenderaan mereka agaknya.

Pada ketika inilah apa yang telah berlaku didedahkan sendiri oleh Jayaraj dan Bennicks yang masih lemah.

Kedua-duanya masih berlumuran dengan darah yang tidak berhenti mengalir dengan baju yang lusuh terkoyak sana-sini.

Tiba di hospital, pihak perubatan enggan mengeluarkan sijil pengesahan disebabkan oleh tekanan darah mereka yang terlalu tinggi, namun mereka dibenarkan berehat di hospital tersebut diberikan rawatan yang diperlukan.

Di sinilah waris mangsa mendapati berlakunya pendarahan teruk di bahagian dubur kedua-dua anak beranak tersebut.

Selepas hampir 4 jam dirawat, pihak polis yang enggan menunggu lagi terus mengarahkan agar pengesahan tahap kesihatan mereka dikeluarkan, bagi membolehkan waran majistret dimohon.

Jayaraj dan Bennicks dibawa menghadap majistret, namun sentiasa diapit oleh 4 orang anggota dan sengaja dibiarkan berdiri agak jauh daripada pegawai yang bertugas.

Permohonan penahanan kedua-duanya diluluskan, lalu Jayaraj dan Bennicks dibawa 100 km ke penjara Kovilpati sedangkan ada penjara lain yang terletak berdekatan.

Diapit oleh kenderaan polis, kereta yang dipandu rakan mereka membawa kedua-duanya dengan Bennicks tidak henti-henti menceritakan apa yang telah dilakukan kepada mereka sambil darah terus mengalir, membasahi kusyen yang diduduki.

Tiba di penjara, Jayaraj dan Bennicks diserahkan semula kepada kawalan pihak polis. Itulah kali terakhir kenalan mereka melihat mereka masih bernyawa.

Anak beranak mangsa kekejaman meninggal dunia

jayaraj bennick pembunuhan tamil nadu

Selepas dua hari dipenjarakan, Bennicks mengadu sakit dada serta mengalami kesukaran pernafasan. Dia dikejarkan ke hospital oleh pihak penjara ke hospital namun meninggal dunia pada awal pagi 22 Jun 2020.

Jayaraj pula menghembuskan nafas terakhir sehari selepas anaknya, apabila pihak hospital gagal menyelamatkan lelaki itu di hospital yang sama selepas diserang demam panas.

Berita kematian kedua-dua mendapat reaksi besar-besaran khasnya daripada kumpulan peniaga di Tamil Nadu, mendakwa pihak polis telah melakukan dua pembunuhan dengan sengaja.

Insiden itu menjadi lebih gempar setelah kakak kepada Bennicks, Persis dibenarkan sendiri untuk melihat tubuh ayah dan adiknya sebelum autopsi dijalankan.

Dalam temubual dengan pihak media yang dilangsungkan selepas itu, Persis mengakui keadaan tubuh ayah dan adiknya teruk.

Persis turut mengesahkan wujud kecederaan pada dubur kedua-duanya, dipercayai disebabkan tusukan kayu cota yang menyebabkan pendarahan teruk.

Hartal menuntut pembelaan

protes hartal peniaga komuniti tamil nadu

Berita yang diterima menyebabkan berlakunya hartal dan tunjuk perasaan di Tamil Nadu, bagi menuntut pembelaan.

Pihak peniaga bertindak menutup perniagaan mereka dan rusuhan berlaku menyebabkan tangkapan lebih 50 orang.

Pihak waris mangsa berdasarkan kepada keterangan saksi kejadian mendakwa berlaku dua pembunuhan didalangi oleh dua orang inspektor.

Mereka juga enggan menerima mayat kedua-duanya selagi mana pihak kerajaan enggan menghukum semua pihak yang terlibat.

Akibat desakan lantang, mahkamah tinggi Madras mengarahkan laporan dibuat bagi memulakan prosiding serta mengarahkan pihak polis menghantar kertas laporan, bagi memperjelaskan kes tersebut.

Dalam laporan yang diterima setakat ini, pihak penjara mengesahkan pelbagai kecederaan telah pun dilakukan ke atas kedua-duanya, pada hari mereka menerima kemasukan kedua-dua pesalah tersebut.

Beberapa nama yang dilaporkan terlibat telah pun digantung tugas mereka serta sedang disiasat.

Bagi meringankan beban kewangan yang perlu ditanggung keluarga waris akibat kehilangan dua ahli keluarga terdekat, pihak kerajaan dan pembangkang Tamil Nadu mengumumkan saluran dana sebanyak RM205,000 serta tawaran peluang pekerjaan dalam sektor awam untuk seorang ahli keluarga waris.

Disebabkan oleh kekangan Covid-19, kesemua bukti dan laporan yang telah dikumpulkan setakat ini hanya akan dibentangkan pada 30 Jun 2020, meliputi rekod penjara, rekod bedah siasat dan juga rakaman litar tertutup yang diperolehi daripada balai lokasi kejadian bermula.

Walaupun banyak pihak menuduh pihak polis sebagai dalang utama kejadian ini, beban kesalahan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada pihak majistret yang didakwa gagal memainkan peranannya.

Pihak majistret dalam sesuatu kes seperti ini, perlulah menggunakan kuasanya untuk menemui terlebih dahulu dan menemuramah suspek sebelum waran tangkapan diluluskan.

Adakah insiden ini boleh merebak menjadi sebesar seperti apa yang berlaku selepas kematian George Floyd di Amerika Syarikat? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Rujukan

NHRC to take necessary action against officials responsible for Thoothukudi deaths

Sexual torture inflicted on father-son in TN police custody: Witnesses




Hakcipta iluminasi.com (2017)