Kes-kes rogol terhadap wanita kebiasaannya berlaku melibatkan seorang penyerang dan seorang mangsa. Ada kalanya kes tersebut turut sama melibatkan sekumpulan penyerang dengan seorang mangsa.
Pernahkah anda mendengar tentang sebuah sindiket merogol wanita yang menjalankan kerja terkutuk mereka selama beberapa tahun, melibatkan sekumpulan lelaki yang telah merogol hampir 100 orang wanita?
BESARKAN TEKS A- A+
Ini adalah kisah sejarah hitam satu sindiket rogol yang berlaku di India kira-kira 30 tahun lalu, yang lukanya masih menghantui golongan wanita di sana.
Iman tak dapat diwarisi cucu cicit
Bandar Ajmer yang terletak di Rajasthan utara India, merupakan salah sebuah lokasi bersejarah paling tua yang merupakan tapak bermulanya sebuah empayar bernama Chahamana.
Mempunyai banyak binaan-binaan bersejarah, bandar Ajmer diangkat sebagai salah satu bandar warisan yang dipulihara. Dalam sejarah panjang Ajmer, seorang tokoh Muslim bernama Muinuddin Chishti hadir ke Ajmer sekitar abad ke 12 lalu membuka sekolah mengajar ilmu Sunni, yang akhirnya dikenali dengan nama gerakan Chishti.
Gerakan Chishti ini akhirnya menjadi salah satu gerakan Muslim paling berpengaruh di India dan selepas kematian beliau, Muinuddin disemadikan di sebuah makam indah yang dinamakan Sharif Dargah di Ajmer.
Pewaris kepada gerakan Chishti sehingga zaman moden mempunyai kedudukan tinggi di kalangan masyarakat, sering diangkat sebagai pemimpin serta digelarkan sebagai Khadim ekoran keturunan mereka mewarisi gerakan Islam tersebut.
Pada bulan April tahun 1992, seorang wartawan bernama Santosh Gupta mengejutkan bandar tersebut selepas sebuah laporan hasil tulisannya dalam akhbar tempatan berjudul Navjyoti mendakwa kewujudan sebuah sindiket yang memperdayakan dan merogol gadis-gadis muda, khasnya pelajar sekolah.
Aktiviti tidak bermoral itu didakwa didalangi individu berketurunan Chishti.
Penglibatan pemimpin muda berpengaruh dalam politik
Dikenali sebagai seorang yang berkarisma tinggi, Farooq Chishti terkenal sebagai anak muda yang mengepalai Kongres Muda Ajmer, salah satu sayap kepada parti politik gergasi Kongres Nasional India.
Dua lagi individu, Nafis Chishti dan Anwar Chishti turut sama memainkan peranan dalam gerak kerja politik sebagai Naib Presiden Kongres Nasional India cawangan Ajmer dan setiausahanya.
Dikagumi ramai kerana pengaruh serta kedudukannya, Farooq diminati ramai gadis tempatan dan dia menggunakan kesempatan ini untuk mendekati peminatnya, khasnya kumpulan pelajar yang menghadiri sebuah sekolah tinggi swasta bernama Sophia Senior Secondary School yang terletak di sana.
Mereka inilah disebut sebagai dalang utama sindiket rogol tersebut dalam laporan akhbar yang berani, mengejutkan semua pihak.
Selain pendedahan nama-nama berpengaruh dalam komuniti di sana, laporan tersebut turut memaparkan gambar-gambar gadis yang telah dikaburkan dalam keadaan memalukan didakwa dirakam pelaku, menjadi bukti jenayah yang telah berlaku sekian lama.
Laporan tersebut membawa kepada pendedahan demi pendedahan menceritakan satu persatu kisah hitam ini yang sebelum itu berjaya disembunyikan.
Apa yang mengundang kemarahan orang ramai, pihak polis dilaporkan sebenarnya telah pun mengetahui kewujudan sindiket ini setahun sebelum laporan tersebut ditulis.
Namun polis memilih untuk tidak mengambil tindakan disebabkan kedudukan kesemua suspek dalam masyarakat sehinggalah Naavjyoti menerbitkan artikel mereka dan orang ramai mula melakukan tunjuk perasaan.
Bermula dengan seorang gadis sebelum melarat
Ketampanan Farooq memukau seorang pelajar yang tidak dinamakan, dapat dibuat teman tidur sehinggalah gadis yang masih lagi belasan tahun itu merelakan dirinya diambil foto tanpa pakaian seurat benang pun.
Farooq mempunyai rancangan besar di sebalik tindakan itu.
Gambar yang diambil digunakan oleh Farooq dan rakan-rakannya untuk digunakan sebagai modal mengugut gadis tersebut, agar gadis tersebut akur kepada segala arahan mereka.
Rancangan mereka mudah; jika tidak mahu gambar itu disebarkan, kenalkan mereka dengan rakan-rakan sekolah yang ada atau pujuk rakan-rakan mereka untuk hadir ke lokasi yang telah mereka tetapkan; sebuah rumah yang terletak dalam kawasan ladang - bagi membolehkan sesi suai kenal dijalankan.
Bermula daripada seorang gadis yang diugut, perkara itu berlanjutan dan kekal menjadi modus operandi utama. Mereka bijak menggunakan ketakutan gadis untuk mendapatkan apa yang mereka mahu serta melindungi gerakan mereka.
Sindiket yang pada mulanya hanya disertai 3 orang akhirnya berkembang menjadi 18 orang kesemuanya yang sudah dirasuk syaitan. Tidak diketahui berapa lama operasi mereka sudah berjalan, sebelum tulisan Santosh Gupta mendedahkan kebenarannya.
Mensasarkan mangsa beragama Hindu
Pendedahan berkenaan gerakan sindiket rogol ini hanya mula dihidu selepas salah seorang daripada kumpulan perogol, bertindak menghantar filem yang digunakan bagi merakam gambar mangsa ke kedai untuk cetakan.
Pemilik kedai tersebut menghubungi pihak berkuasa untuk melaporkannya sebelum wartawan dapat menghidu isu tersebut dan mula menjalankan siasatan mereka sendiri, membolehkan artikel pendedahan selamat diterbitkan walaupun pada awalnya pihak akhbar sendiri enggan mendedahkannya.
Kontroversi sindiket rogol ini memulakan perbincangan hangat berkait dengan sentimen agama, disebabkan modus operandi pemangsa yang diwakili individu Muslim dilihat seolah-olah mensasarkan pelajar beragama Hindu sebagai mangsa mereka.
Protes besar-besaran dimulakan masyarakat Ajmer, memaksa pihak polis akhirnya campur tangan. 8 orang ditangkap pada awalnya sebelum siasatan lanjut berjaya mengenalpasti 10 orang lagi yang pernah terlibat dalam aktiviti mereka.
Hanya selepas pendedahan dan siasatan berjaya dilakukan, barulah masyarakat di Ajmer mengetahui ada di kalangan mangsa sebenarnya telah membunuh diri ekoran tidak lagi mampu menahan rasa malu dirogol, lalu dipaksa memujuk rakan bagi menyelamatkan maruah sendiri.
Pendedahan akhbar itu memulakan pembukaan semula beberapa kes bunuh diri yang telah berlaku, membolehkan motif jelas punca bunuh diri gadis-gadis tersebut yang sebelum itu tidak diketahui direkodkan.
Dalang utama sindiket hampir terlepas hukuman
Siasatan dan perbicaraan yang berlaku selepas itu berlangsung dalam suasana sukar disebabkan oleh tekanan politik. Selain itu beberapa kelompok turut berpendapat dakwaan yang ada sengaja dibuat komuniti Hindu bagi memburukkan reputasi keluarga Chishti di situ.
Kesukaran untuk pihak polis mengenalpasti mangsa yang enggan memunculkan diri memberikan kerjasama, menjadi satu faktor penghalang utama. Daripada anggaran 100 orang mangsa, hanya lebih 10 orang membuat laporan.
Dalam jumlah kecil itu, hanya dua orang mangsa benar-benar membawa kes tersebut ke mahkamah.
Berdasarkan bukti yang ada, dianggarkan terdapat hampir 100 orang mangsa namun pihak polis meramalkan jumlah mangsa sebenar lebih tinggi tetapi memilih untuk menyembunyikan diri; malu dengan apa yang telah berlaku serta terus menyalahkan diri sendiri.
Atas sebab itulah pihak pendakwaan berdepan kesusahan bagi mendakwa mereka. Selepas perbicaraan yang berlangsung selama 6 tahun, pada tahun 1998 mahkamah berjaya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas 8 orang ahli sindiket utama.
Bagaimanapun, Farooq Chishti yang menjadi dalang sejak mula disahkan mengalami masalah mental semasa perbicaraan berlangsung membolehkan perbicaraannya ditangguhkan. Dia hanya didapati bersalah pada tahun 2007 dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, tetapi hukumannya diringankan pada 2013.
Beberapa suspek lain cuba melepaskan diri dengan pelbagai cara. Seorang suspek memilih untuk membunuh diri sendiri. Dua orang lagi sempat meloloskan diri hilang dari pandangan orang ramai.
Seorang suspek yang masih diburu pihak berkuasa
Pada tahun 2012, polis India berjaya menahan salah seorang suspek bernama Salim Chishti.
Hanya tinggal dua yang masih lepas ketika itu, Syed Almas Maharaj yang dipercayai sempat melarikan diri ke Bangladesh sejak awal artikel pendedahan diterbitkan dan Suhail Chishti yang tidak diketahui ke mana hilangnya.
Suhail akhirnya hadir bersama peguamnya menyerah diri kepada pihak polis pada bulan Februari tahun 2018, 26 tahun selepas pembongkaran kes. Dia kini sedang dalam perbicaraan.
Almas pula sehingga kini masih lagi berada dalam senarai merah Polis Antarabangsa.
Stigma berkaitan kes ini yang berlaku secara berleluasa, terus menghantui gadis-gadis yang berasal dari Ajmer.
Gadis-gadis dari bandar tersebut kerap berhadapan kesukaran untuk mendapatkan pasangan hidup, disebabkan kebimbangkan kaum lelaki bahawa mereka akan mengahwini salah seorang mangsa yang tidak bertindak melaporkan kejadian.
Atas ketakutan itulah banyak keluarga khasnya keluarga dari luar Ajmer akan menjalankan siasatan terlebih dahulu ke atas keluarga bakal menantu mereka bagi mengenalpasti latar belakang keluarga wanita tersebut.
Semasa perbicaraan, sindiket rogol yang didalangi 18 orang lelaki ini mengaku kebanyakan mangsa yang dirogol sebenarnya hadir atas kerelaan sendiri selepas mengetahui individu daripada keluarga Chishti ingin berkenalan dengan mereka, hasil pujukan kenalan mereka yang diugut.
Sama ada gadis itu rela, diperdaya atau dipaksa bukan isu pokoknya kan?
Namun bagi perogol yang logiknya entah hilang ke mana, itulah hujah yang mereka guna untuk menghalalkan perbuatan mereka. Yang akan rugi sepanjang hidup tetap mangsa dan semua wanita yang berasal dari Ajmer, India.
Jadi nasihat kami kepada kaum wanita - beringatlah sebelum terkena.
Rujukan