Keunikan masyarakat India tak kiralah daripada yang beragama Muslim seperti Shah Rukh Khan, mahupun yang beragama Hindu - adalah kebolehan mereka untuk menari. Tarian orang India sangat unik, jauh berbeza dengan bentuk-bentuk tarian yang ada.
Apa yang menarik, elemen-elemen tarian boleh dilihat sangat bersebati dengan tradisi masyarakat India, sehingga mereka meletakkan budaya menari sebagai satu kemestian dalam pelbagai upacara mereka. Penggemar-penggemar filem Bollywood juga pasti tergila-gilakan adegan tarian dalam filem, yang menjadi penghias filem-filem keluaran negara India.
BESARKAN TEKS A- A+
Persoalannya - kenapa tarian dan masyarakat India sangat mirip sehinggakan tidak boleh dipisahkan? Kepercayaan dan kisah warisan turun temurun, membolehkan budaya yang unik diwarisi dan kekal diamalkan walaupun dunia semakin moden.
Kisah disebalik tarian orang India
Untuk memahami kenapa orang India gemar menari - kita perlu menceritakan tentang kisah berkenaan Bhasmasura, syaitan jahat yang digelarkan orang Hindu sebagai 'asura', yang mempunyai kuasa untuk menukarkan sesiapa saja menjadi abu apabila tangan Bhasmasura menyentuh kepalanya.
Kisah Bhasmasura bermula semasa dia masih lagi menjadi salah seorang pengikut Dewa Shiva bernama Vrka. Vrka adalah seorang yang taat serta sangat bertanggungjawab menuruti segala arahan yang diberikan Shiva, kerana Vrka berharap akan diberikan ganjaran atas pengorbanannya.
Melihat keikhlasan Vrkayang setia kepadanya, Dewa Shiva bersetuju untuk memperkenankan permintaan pengikutnya itu, dengan tawaran satu permintaan. Jadi Vrka meminta agar dia diberikan kuasa untuk menukarkan sesiapa saja yang dia kehendaki menjadi abu (bhasma) apabila dipegang kepala mereka dengan tangannya.
Permintaan itu dipersetujui Shiva dan Vrka diberikan kesaktian itu. Bagaimanapun, hati Vrka meragui kebenaran Shiva atas kata-katanya. Vrka ke hutan, menyentuh kepala seekor kerbau dan kerbau itu bertukar menjadi abu.
Gembira dengan kuasanya, Vrka kembali menemui Shiva mengucapkan terima kasih dengan kuasa yang ada.
Bertukar menjadi Bhasmasura
Malangnya, merasakan dirinya terlalu berkuasa Vrka mula melakukan kerosakan di muka bumi sehinggalah dia merasakan dia sudah jadi terlalu kuat untuk mengambil alih takhta Mahadeva daripada Dewa Shiva sendiri.
Pada ketika inilah Vrka berubah akibat kejahatannya, dikenali dengan nama Bhasma iaitu 'abu' dan asura yang bermakna 'syaitan.' Jadi Bhasmasura membawa makna 'syaitan abu' dalam kepercayaan orang-orang Hindu.
Melihat Vrka yang dikenalinya sangat setia berubah menjadi Bhasmasura serta cuba menukarkan dirinya menjadi abu, Dewa Shiva mencabar Bhasmasura menyentuh kepalanya sekiranya mampu.
Bhasmasura cuba mendekati Shiva bagaimanapun Shiva bertindak memperlahankan masa menyebabkan syaitan yang sudah gilakan kuasa itu tidak langsung mampu mendekati Shiva.
Mengetahui sifat Shiva yang tidak akan melakukan sebarang kerosakan atau kecelakaan kepada mana-mana makhluk kawan atau lawan, Dewa Vishnu yang melihat apa yang berlaku menukarkan dirinya menjadi seorang wanita cantik yang digelarkan sebagai Mohini, satu-satunya avatar bersifat perempuan Dewa Vishnu.
Mohini turun ke bumi lalu berhadapan dengan Bhasmasura yang semakin lupa diri.
Adegan Mohini berhadapan dengan Bhasmasura
Perlawanan tarian antara Mohini dan Bhasmasura
Mohini yang menjelma sebagai seorang wanita cantik memukau pemikiran Bhasmasura yang ketika itu sudah dikuasai nafsu. Pada ketika itu jugalah Bhasmasura cuba untuk memperisterikan Mohini - tetapi Mohini memberikan satu syarat kepada Bhasmasura, sebelum keinginannya dipenuhi.
Bhasmasura perlu berjaya mengikut setiap langkah tarian yang ditunjukkan oleh Mohini. Gagal, Bhasmasura boleh menutup keinginan memperisterikan Mohini. Berjaya - Mohini jadi miliknya.
Tanpa berfikir panjang, Bhasmasura bersetuju dan Mohini pun mula menari sambil diikuti oleh Bhasmasura, sehinggalah syaitan itu terleka dan asyik dengan tarian.
Tarian Mohiniyattam di Youtube
Mula merasa seronok menari bersama wanita cantik, Bhasmasura tidak menyedari Mohini melakukan langkah yang menyentuhkan tangan pada kepalanya. Bhasmasura mengikut langkah yang sama, memegang kepala sendiri dengan tangan sehingga dia menjadi mangsa kesaktiannya sendiri - bertukar menjadi abu sekelip mata.
Begitulah kisah secara ringkas bagaimana tarian menjadi salah satu elemen yang sangat penting dalam kepercayaan asal agama Hindu, seterusnya diwarisi masyarakat India pelbagai agama.
Tarian yang dipersembahkan oleh Mohini kepada Bhasmasura merupakan salah satu tarian yang diwarisi masyarakat Hindu, kini dikenali dengan nama Mohiniyattam. Malangnya, budaya amalan tarian Mohiniyattam ini mula pupus selepas dikaitkan dengan aktiviti pelacuran pada zaman kolonial British sekitar abad ke 18 sebelum British memperkenalkan larangan mengamalkannya.
Hanya pada tahun 1940, beberapa tahun sebelum kemerdekaan negara India, barulah larangan itu ditarik semula dan tarian tradisi melawan syaitan ini kembali diamalkan masyarakat India semula.