Salah satu kerajaan yang seringkali disebut pernah wujud di negara kita sebelum zaman kesultanan Melayu Melaka lagi, adalah sebuah kerajaan besar di Perak, bernama Gangga Negara.
Dipercayai bermula di kawasan lokasi daerah Beruas dan Manjung, kerajaan Gangga Negara mempunyai sejarah yang sangat gemilang serta digeruni - bukan saja kerana kekuatan tenteranya malahan kerana kemampuan negaranya daripada aspek ekonomi. Asas kewujudannya mempunyai dua pendapat.
BESARKAN TEKS A- A+
Yang pertama, kerajaan ini diasaskan oleh seorang lelaki bernama Ganji Sarjuna yang dipercayai berasal daripada Kedah, sekitar tahun ke 5. Ada satu pendapat lain mengatakan orang Khmer dari Kemboja yang membuka kerajaan ini.
Terkenal di seluruh dunia, Gangga Negara yang berpusat di Beruas digelarkan 'Zabaj' oleh orang Arab dan 'Cho Pu' oleh pedagang China, pernah menjadi pusat pengeksportan bijih timah dan juga galian emas, yang menjadi sumber kekuatan utama ekonomi kerajaan tersebut.
Beruas kota emas lama
Semasa zaman kegemilangannya sekitar tahun 850, berikutan lambakan emas yang ada - pemerintah Gangga Negara mampu membangunkan bandar yang besar. Pekan yang dibangunkan dikatakan padat dengan bangunan dan dipercayai mampu menyaingi kerajaan Srivijaya yang gagah pada era tersebut.
Catatan sejarah juga menunjukkan - satu ketika dulu sungai-sungai yang ada di Beruas dan Manjong mampu menampung kemasukan kapal-kapal besar, jadi kawasan ini menjadi tumpuan utama pedagang Arab datang menyebarkan ajaran Islam.
Seorang warga Arab berketurunan Syed dikatakan telah mengahwini salah seorang puteri Gangga Negara berbangsa Melayu, memudahkan lagi pengaruh Islam tersebar di sekitar Beruas dan Dinding. Catatan ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan tentang ketepatan sejarah yang mengatakan Tanah Melayu hanya tersebar selepas Kesultanan Melayu Melaka semata-mata.
Serangan musuh ke atas Gangga Negara berlaku buat kali pertama sekitar tahun 890, selepas waris kerajaan Sailendra yang memerintah kawasan Gelanggayu (satu daerah di Johor ketika ini yang kita kenali dengan nama Kota Gelanggi atau nama lamanya Klang Kio).
Bagaimanapun, selepas pemerintah Gangga Negara bersetuju untuk mengahwinkan puterinya dengan Bolaputra, keamanan berjaya dikekalkan di antara kedua-dua buah kerajaan dan kerjasama mula terjalin.
Serangan Raja Chola
Semasa zaman pemerintahan Raja Gangga Shah Johan pada tahun 1025 hingga 1028, ancaman daripada kerajaan Chola yang dipimpin oleh Rajendra Chola Deva I, maharaja Empayar Chola mula dirasai.
Rajendra I mempunyai cita-cita besar mahu menakluki dunia, turut sama dibantu barisan tenteranya yang pada ketika itu merupakan salah satu angkatan terkuat di dunia sehingga mampu menewaskan kerajaan Srivijaya, apatah lagi Gangga Negara yang lebih kecil.
Walaupun sistem pertahanan yang digunakan Gangga Negara dengan dinding tinggi serta saliran air di sekeliling istana berjaya menghalang kemasukan tentera Chola pada mulanya, Raja Rajendra I dipercayai menunggang sendiri seekor gajah berjaya memecahkan pintu pagar sebelum tenteranya menyerbu masuk. Gangga Shah Johan sempat membunuh gajah tersebut tetapi dalam pertarungan selepas itu, dia berjaya ditewaskan dan dibunuh.
Rajendra I mengahwinkan dirinya sendiri dengan salah seorang anak buah kepada Gangga Shah Johan yang bernama Puteri Zaris Gangga, sebelum meneruskan ekspedisinya menewaskan kerajaan-kerajaan yang ada di seluruh semenanjung Tanah Melayu dan juga kepulauan Indonesia sekarang - termasuklah kerajaan Sailendra yang telahpun menjalinkan hubungan dengan Gangga Negara.
Kekalahan perang itu menyebabkan seluruh tamadun yang telah terbina musnah sekelip mata dan Gangga Negara hilang punca untuk mampu bangun, bangkit semula.
Warisan kerajaan Beruas
Selepas diranapkan tentera Chola, lokasi kerajaan Gangga Negara yang selepas itu dikenali dengan nama Belukar Sambang, terbiar begitu saja.
Pertelingkahan yang berlaku di antara dua adik beradik, Sultan Malik al-Mahmud dan Sultan Malik al-Mansur yang saling memerintah kerajaan Pasai dan Samudera di Acheh, memaksa Sultan Malik al-Mansur melarikan diri ke Belukar Sambang sekitar tahun 1346. Beliau memilih untuk menamakan tempat itu sebagai Beruas berikutan banyaknya pokok beruas di situ.
Kerajaan kecil yang beliau tubuhkan lama-kelamaan mula berkembang sehinggalah era kesultanan Melayu Melaka bermula. Ada dicatatkan, kerajaan Beruas pernah wujud sezaman dengan kesultanan Melayu Melaka, pernah memohon bantuan kerajaan Melaka dalam menangani ancaman daripada jirannya kerajaan Manjong yang turut ada ketika itu.
Selepas perjanjian diwujudkan, Melaka menghantar tentera ke Beruas bagi membantu mengalahkan Manjong seterusnya membolehkan Beruas mengambil alih penguasaan Manjong. Menghargai bantuan Melaka mengalahkan seteru mereka, Raja Beruas bersetuju untuk membayar ufti tahunan kepada Sultan Mahmud Shah, sultan Melaka ketika itu. Melaka pula bersetuju menganugerahkan gelaran Tun Aria Bija di-Raja kepada Raja Beruas bagi memeterai perhubungan kedua buah kerajaan.
Tidak diketahui bilakah tarikh berakhirnya kerajaan Beruas, penyambung legasi kerajaan lama Gangga Negara. Apa yang diketahui adalah kewujudan makam-makam diraja yang terletak di daerah Beruas, menandakan jenazah yang disemadikan di situ datang dari golongan bangsawan. Kesemua makam pula ditandakan dengan batu nesan yang sama seperti yang ditemui di Acheh menampakkan hubungan di antara ahli masyarakat kedua-dua kawasan.
Pengkaji sejarah kedua-dua kerajaan ini juga menemui banyak penemuan menarik seperti kesan-kesan tinggalan tapak bangunan diperbuat daripada batu, sebuah sungai mati di tepi Sekolah Kebangsaan Gangga Negara serta peninggalan binaan rangka badan dan sauh kapal - menunjukkan aktiviti pelayaran agak aktif satu masa dulu di kawasan tersebut.
Beberapa lokasi yang terus menyimpan misteri melibatkan kedua-dua kerajaan ini sehingga kini adalah lokasi yang dikenali sebagai nama Padang Antah Berantah, dipercayai lokasi peperangan tentera Gangga Negara melawan tentera Chola. Selain itu, Kota Kulit Kerang yang dikatakan ibu negeri kepada kerajaan Beruas masih lagi dicari-cari sehingga kini.
Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel 'The Ancient Kingdom of Bruas' tulisan Husain bin Mahmud.