Kedudukan Semenanjung Malaysia atau Kepulauan Tanah Melayu satu masa dulu yang sangat strategik, menyebabkan Semenanjung ini menjadi laluan perdagangan penting dalam sejarah Asia Tenggara dan dunia.
Berikutan sistem pengangkutan zaman dahulu yang belum dibangunkan teknologi enjin, jalan sungai menjadi salah satu laluan paling penting pedagang serta orang kebanyakan menjalankan aktiviti mereka. Salah satu laluan yang memainkan paling besar ketika itu, adalah Jalan Penarikan.
BESARKAN TEKS A- A+
Peta lokasi Jalan Penarikan sebagai titik pertemuan dua sungai
Apa yang mengagumkan, penduduk Tanah Melayu sebenarnya sudah pun menggunakan laluan tersebut sebelum munculnya empayar kesultanan Melaka pada tahun 1400, memperkembangkang kegiatan ekonomi dan perdagangan yang rancak pada zaman tersebut melibatkan warga tempatan dan kaum asing.
Kenapa namanya Jalan Penarikan?
Dalam kajian yang dijalankan oleh Dr. Paul Wheatley, seorang pensyarah Universiti Malaya semasa universiti tersebut masih lagi beroperasi di Singapura lagi - rekod-rekod pemetaan melibatkan kawasan semenanjung Tanah Melayu sejak tahun 1541 sehinggalah tahun 1613 oleh orang Eropah mendapati wujudnya satu jalinan laluan yang menghubungkan dua sistem sungai terbesar iaitu sungai Muar dan sungai Pahang.
Di tengah-tengah laluan tersebut, terdapat sebuah bukit yang dinamakan Bukit Penarik di mana pengguna laluan sungai di situ perlu 'menarik' barangan atau perahu mereka merentasi kawasan sepanjang lebih kurang 600 meter - bagi meneruskan perjalanan, untuk ke bahagian pantai timur. Pengguna laluan akan berhenti di Sungai Muar, menarik barangan mereka sebelum masuk semula meneruskan perjalanan melalui Sungai Serting.
Bukit Penarikan yang kini menjadi lokasi Paragliding. Kredit Gokayu
Legenda bagaimana nama bukit itu dinamakan sedemikian rupa adalah ekoran kedatangan beberapa keluarga daripada Pasai (Aceh sekarang) yang ketika itu mencari tanah untuk bercucuk tanam. Komuniti ini dipercayai sampai ke kawasan Jempol sekarang, memilih untuk menetap di situ kerana tanahnya yang sangat sesuai untuk tanaman padi dan menamakan tempat itu 'Jempol', dari bahasa Aceh ketika itu yang bermakna 'sangat bagus.'
Komuniti pertama Jempol itulah yang dipercayai menemui laluan yang menghubungkan dua sungai tersebut serta laluan landai. Oleh kerana menyedari mereka boleh terus ke menghala ke bahagian timur dengan menarik perahu mereka di atas tanah, jalan itu akhirnya dikenali sebagai 'jalan penarikan' dan bukit yang ada di situ menjadi mercu tanda, dinamakan Bukit Penarik.
Apakah kepentingan Jalan Penarikan?
Kedatangan pedagang ke Melaka ketika itu (sebelum zaman kesultanan Melaka) lagi memerlukan pedagang perlu melalui Temasik (Singapura sekarang) untuk ke wilayah Siam yang terletak di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu.
Walaupun demikian, selat Melaka ketika itu terkenal sebagai sebuah laluan yang bahaya bagi pedagang berikutan ancaman lanun yang mengganas. Laluan laut yang perlu melalui Melaka, Johor serta Temasik ditakuti oleh pedagang berikutan risikonya.
Kedatangan pedagang Arab ke kawasan sekitar Melaka memerlukan pedagang Arab dilindungi dalam perjalanan mereka, kerana majoritinya akan menjadikan Siam persinggahan seterusnya selepas Melaka.
Penduduk tempatan ketika itu mencadangkan agar pedagang Arab mula menggunakan jalan penarikan, memendekkan masa perjalanan seterusnya mengurangkan risiko di serang di tengah-tengah lautan oleh kumpulan lanun.
Aktiviti perlombongan emas yang semakin terkenal di Pahang juga menjadi antara daya penarik peniaga menggunakan Jalan Penarikan, menyebabkan laluan tersebut mula menjadi lebih tersusun dan terjaga berikutan kepentingannya pada masyarakat zaman tersebut.
Catatan oleh penulis dan ahli sejarah Portugis, Gordinho de Eredia menyebutkan waktu perjalanan yang diperlukan pedagang daripada Melaka ke Pahang ketika itu, memerlukan tempoh 6 hari kebiasaannya. Perjalanan yang ditempuhi juga sebenarnya sukar, kerana cabarannya berbeza dengan melalui lautan.
Benarkah Jalan Penarikan wujud sebelum era kesultanan Melaka?
Berdasarkan bukti-bukti yang ditemui setakat ini di kawasan sekitar Jalan Penarikan merangkumi beberapa batang sungai yang ada, amat jelas sekali laluan ini wujud sebelum bermulanya era kesultanan Melaka lagi.
Menurut kajian yang dijalankan dalam buku 'Langkasuka Negara Melayu Pertama', Jalan Penarikan ada disebut sebagai salah satu laluan penting kerajaan Langkasuka. Selain menguasai sungai besar yang berada di utara semenanjung Tanah Melayu, kerajaan Langkasuka juga dikatakan menguasai Sungai Pahang membolehkan menguasai Jalan Penarikan ketika itu.
Papan tanda catatan sejarah Jalan Penarikan
Jalan Penarikan Sekarang
Lokasi Jalan Penarikan di waktu kini.
Penemuan sebuah kubur orang Siam bertarikh 1265 yang dipercayai komander kepada pasukan askar kerajaan Siam, yang meninggal dunia semasa melalui Jalan Penarikan juga menjadi bukti kukuh kewujudan laluan penting ini telah berlaku, sebelum kesultanan Melaka diwujudkan.
Wujud banyak pusara-pusara sepanjang laluan sungai ini menunjukkan rancaknya aktiviti perdagangan dan perniagaan berlaku di sini satu masa dulu. Jika dilihat sungai-sungai yang disebutkan sekarang, pastilah amat sukar sekali untuk kita membayangkan bagaimana sungai-sungai itu mampu menjadi laluan kapal-kapal besar. Kajian yang dijalankan sejak dulu menunjukkan kedalaman sungai-sungai itu sebelum ini, mempunyai kedalaman 6 ke 9 meter.
kubur-kubur lama di Jalan Penarikan. Kredit ArtMelayu
Dengan kedalaman tersebut, kapal bersaiz besar mampu merentasi sungai sebelum perlu ditarik oleh anak kapal, dibantu tenaga tempatan yang memang bersedia bertugas di lokasi Jalan Penarikan.
Malangnya, ketika ini kebanyakan sungai yang satu masa dulu dalam kini tinggal cetek, sedalam 1 ke 2 meter sahaja dek kerakusan kita membangunkan kawasan sekitarnya - tanpa mempedulikan legasi sejarah yang kini semakin dilupakan masyarakat kita.