Nama sesebuah negara memainkan peranan yang cukup besar dalam memberikan indikator awal, terhadap identiti asas sesebuah masyarakat.

Malahan ada juga negara yang dijadikan penentu identiti asas bersifat kebangsaan atau kenegaraan, membentuk konsep bangsa baru yang merentasi perbezaan kulit atau keturunan.

Namun ada juga negara yang melihat wujud keperluan merombak identiti negara, mengakibatkan perubahan besar kepada masyarakat yang akhirnya perlu belajar mengubah pengenalan diri sendiri akhirnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Persia kepada Iran

iran tukar nama persia

Sejarah negara Iran sangat berkait rapat dengan identiti mereka cukup popular, satu ketika dulu dikenali sebagai Persia atau Parsi.

Bagaimanapun, 'Parsi' bukanlah ciptaan masyarakat Iran sebenar - memerlukan kerajaan Iran di bawah  pemerintahan Reza Shah Pahlavi sekitar dekad 1930-an memulakan usaha formal memperkenalkan penggunaan nama 'Iran' sebagai nama rasmi.

'Persia' adalah istilah pinjaman yang dipopularkan orang Yunani diambil daripada perkataan akar bahasa mereka 'parsa', yang digunakan sebagai kata panggilan masyarakat Yunani bagi merujuk komuniti yang tinggal di lokasi selatan Iran sekarang.

Disebabkan pendapat ada keperluan memperbetulkannya, pada tahun 1935, kerajaan Iran mengeluarkan notis memohon agar semua negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan mereka mula menggunakan nama baru 'Iran' yang lebih sinonim dengan masyarakat mereka.

'Iran' bukanlah satu istilah baru, sebaliknya telah wujud beribu tahun lamanya dianggarkan sejak tahun 1,000SM/BC lagi.

Dalam kitab-kitab agama lama Zoroastrian yang dianuti masyarakat mereka terdahulu, ahli masyarakat di kawasan tersebut dirujuk sebagai airyanam sementara Ahura Mazda, Tuhan sembahan penganut Zoroastrian digelarkan sebagai 'nap harriyanam' atau 'Tuhan orang Iran.'

2. Swaziland kepada eSwatini

eswatini nama baru swaziland

Disebabkan kerap berhadapan dengan individu yang menyangka mereka datang dari Switzerland, Raja Mswati pemerintah monarki mutlak negara Swaziland mengisytiharkan pertukaran negaranya kepada nama baru 'eSwatini.'

Pengisytiharan yang dibuat serentak dengan sambutan kemerdekaan Swaziland/eSwatini ke 50 yang jatuh dalam bulan April tahun 2018, merupakan kemuncak usaha Raja Mswati menjadikan 'eSwatini' yang membawa makna 'tanah orang Swazi' - sebagai identiti kebangsaan baru mereka.

Mswati untuk beberapa tahun kebelakangan sebelum itu telahpun menggunakan nama itu dalam ucapan dan tulisannya, dengan harapan agar masyarakat mereka dapat meninggalkan sejarah lampau era kolonial yang pernah dilalui.

Perubahan nama itu secara dialeknya menukarkan nama itu kepada istilah nama tempatan, menggantikan istilah Inggeris yang diperkenalkan penjajah.

Istilah 'eSwatini' juga merupakan nama sebenar yang digunakan masyarakat mereka sebelum penjajah British memperkenalkan nama Swaziland, bagi memudahkan urusan pentadbiran jajahan kolonial mereka.

3. 'Holland' dimansuhkan!

nama holland dimansuhkan

Sebut Belanda, kita pun keliru apa nama betul negara itu. Hanya pada tahun 2019, kerajaan Belanda memulakan langkah awal menyatukan nama negara mereka yang sebelum ini memang wujud dalam situasi yang mengelirukan.

Kerajaan Belanda memilih untuk tidak lagi merujuk masyarakat mereka sebagai 'Holland' sebaliknya hanya akan menggunakan nama 'Netherlands' sahaja dalam semua urusan rasmi, melibatkan apa saja sektor termasuklah nama pasukan bola sepak mereka yang popular.

'Holland' adalah istilah yang datang daripada nama kerajaan lama Holland, yang satu ketika dulu menguasai sebahagian besar jajahan di sana serta memainkan pengaruh yang sangat besar dalam pembentukan masyarakat mereka.

Bagaimanapun dalam zaman sekarang, Holland hanyalah berstatus negeri dalam sistem pemerintahan Belanda - meliputi Holland Utara dan Holland Selatan. Kedua-dua kawasan ini menjadi sangat penting dalam sejarah Eropah ekoran peranannya sebagai pusat komersial, mempopularkan nama Holland kepada dunia.

Banyak pihak memuji perubahan kerajaan Belanda ini - kerana agak aneh sebuah negara kekal terus dirujuk dengan nama negeri di dalamnya.

Sama seperti kita panggil Malaysia dengan nama 'Johor' atau 'Melaka' sebagai contoh, disebabkan oleh pengaruh kedua-dua buah kerajaan satu masa dahulu yang meninggalkan kesan besar dalam sejarah rantau di sini.

4. Kazakhstan kepada Qazaqstan

qazaqstan kazakhstan

Kazakhstan menjadi antara negara sedang dalam proses transisi menukarkan sistem tulisan mereka daripada sistem tulisan Cyril (Cyrillic) kepada sistem tulisan berasaskan abjad Latin atau tulisan Rumi.

Baru diisytiharkan pada tahun 2017, proses pertukaran ini dilakukan secara berkala dan dijangka akan selesai pada tahun 2025. Terdapat banyak sebab kenapa pemerintah Kazakhstan melakukan pertukaran ini.

Masyarakat Kazakh pada awalnya menggunakan tulisan Arab sebagai tulisan rasmi, sebelum Kesatuan Soviet memperkenalkan sistem tulisan Cyril pada tahun 1940 bagi memudahkan pengurusan semua negara jajahannya.

Kazakhstan kekal sebagai jajahan Soviet sehinggalah kejatuhan Soviet memberikan kemerdekaan kepada Kazakhstan. Walaupun begitu pengaruh era Soviet masih kekal, bukan saja dari segi tulisan bahkan dari segi bahasa pertuturan.

Kerajaan Kazakhstan mengharapkan pertukaran tulisan ini dapat memodenkan sistem tulisan mereka yang ketika ini mempunyai 42 huruf kesemuanya. Sukar untuk diselarikan dengan standard antarabangsa.

Proses yang dilakukan secara berperingkat, bermula dengan pengenalan tulisan Latin dalam sukatan pelajaran sekolah tahun 2018 akan berakhir dengan penggunaan penuh tulisan baru ini dalam semua urusan kerajaan pada tahun 2025.

Mereka mengharapkan orang ramai dapat membiasakan diri menulis nama negara mereka sebagai 'Qazaqstan' dan bukan lagi Kazakhstan, berdasarkan ejaan baru yang akan mengubah nama negara mereka. Bunyinya mungkin sama, ejaan rasminya akan berbeza.

5. Republik Czech kepada Czechia

peta negara czechia czech republic

Jika Belanda memilih untuk mengurangkan 'nama manja' negara mereka, Republik Czech mengambil langkah sebaliknya. Kerajaan mereka mahu orang ramai merujuk negara mereka sebagai 'Czechia' dalam semua situasi sebagai nama pendek.

Usaha untuk memendekkan nama Republik Czech atau Česká republika sebenarnya telah dimulakan sejak dekad 1990-an, dengan pelbagai nama cuba diperkenalkan. Nama-nama seperti Czechlands dan Czachomoravia diajukan namun tidak ada usaha konkrit dari pihak kerajaan untuk menjadikannya formal.

Hanya pada tahun 2013, Presiden Republik Czech (ketika ini masih berkhidmat) Milos Zeman mencadangkan nama 'Czechia' sebagai versi rasmi singkatan nama negara mereka.

Pandangan itu diterima baik, membolehkan proses pendaftarannya dijalankan dan 'Czechia' mula digunakan secara rasmi seiringan dengan nama penuh republik itu bermula bulan Julai tahun 2016. Kerajaan Republik Czech menyifatkan ada keperluan untuk mereka memendekkan nama negara itu untuk tujuan pemasaran dan promosi negara mereka.

Walaupun diterima baik majoriti penduduk disebabkan oleh sejarah istilah tersebut yang telah lama diamalkan sebelum itu, ada juga pihak merasakan sebutan 'Czechia' agak hampir dengan Chechnya, nama negeri bergolak yang baru saja menamatkan perang dengan Russia pada tahun 2017.

Jangan terkejut pula ya kalau anda terdengar kewujudan negara Czechia! 




Hakcipta iluminasi.com (2017)