Oleh pada 11 Aug 2021 kategori

Pada pertengahan abad ke-20, gereja adalah tempat yang penting di Amerika di mana ia merupakan tempat bagi melakukan aktiviti keagamaan dan bersosial.

Perkara yang sama juga berlaku di sebuah bandar kecil bernama Beatrice di Nebraska. Gereja Pembaptis West End di Beatrice merupakan tempat tumpuan yang sentiasa dikunjungi penduduk tempatan terutamanya pada hari Ahad.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, berlakunya satu kejadian di gereja itu yang telah menggemparkan seluruh negara. Ia juga merupakan misteri yang masih diperkatakan sehingga hari ini. Berikut adalah kejadian aneh yang berlaku di Gereja Pembaptis West End di Beatrice.

Kumpulan koir Gereja Pembaptis West End

Seperti gereja-gereja lain di Amerika, Gereja Pembaptis West End juga mempunyai kumpulan koir yang aktif. Mereka akan menyanyikan lagu-lagu ketuhanan pada hari Ahad setiap minggu ketika gereja dipenuhi dengan para hadirin.

kumpulan koir

Setiap hari, kumpulan itu akan berkumpul di gereja tepat pada jam 7.20 malam bagi menjalani latihan koir bersama. Martha Paul Mitchell yang merupakan ketua koir itu agak tegas dan dia mahukan semua ahli kumpulannya berada tepat pada masanya untuk menjalani latihan.

Kebanyakan ahli kumpulan koir yang tinggal berhampiran gereja juga tidak mempunyai masalah untuk hadir pada waktunya dan kelewatan adalah sesuatu yang amat jarang berlaku.

Pada 1 Mac 1950, paderi gereja Beatrice baru sahaja menghabiskan makan malam dan bersiap-siap untuk ke gereja bersama keluarganya. Namun, kemalangan kecil yang tidak disangka menyebabkan paderi itu terlambat.

Anak perempuannya bernama Marilyn Ruth Klempl telah menumpahkan minuman pada pakaiannya menyebabkan ibunya terpaksa menyiapkan pakaian yang baru.

Kelewatan yang menguntungkan

Setelah siap, keluarga paderi itu bergegas menuju ke Gereja Pembaptis West End. Bagi paderi itu, kelewatannya merupakan perkara yang besar kerana dia sepatutnya berada lebih awal berbanding ahli koir yang lain.

gereja beatrice

Gereja Pembaptis West End, Beatrice, selepas kejadian

Apabila tiba di gereja tepat pada jam 7.27 malam, alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati Gereja Pembaptis West End telah terbakar dan musnah dijilat api. Ia berikutan letupan akibat kebocoran gas yang berlaku di gereja itu.

Terlebih dahulu, paderi telah menghidupkan alat pemanas haba di gereja itu pada jam 4.30 petang akibat musim sejuk sebelum pulang ke rumahnya untuk makan malam. Gas yang keluar dari salah satu paip bocor dipercayai telah terkena api yang dihidupkan paderi sekaligus menyebabkan letupan.

Apabila pihak bomba dan pasukan keselamatan berjaya mengawal kebakaran itu, mereka tidak menjumpai satu pun mayat di dalam runtuhan gereja itu. Rupa-rupanya, tiada siapa yang ada di dalam gereja ketika letupan berlaku.

Paderi juga kehairanan dengan keadaan itu kerana dia menyangka ahli koir yang lain terkorban dalam letupan dan kebakaran itu. Ahli kumpulannya sangat jarang lewat dalam latihan dan dia juga mungkin menjadi mangsa jika tiba tepat pada waktunya.

Kebetulan yang sukar dipercayai

Tanpa diduga, kesemua 15 orang ahli kumpulan koir gereja Beatrice lewat menghadiri latihan dan tiada seorangpun menjadi korban letupan itu. Ia kedengaran seperti satu kisah dongeng tetapi itulah yang berlaku pada 1 Mac 1950.

keratan akhbar ahli koir

Keratan akhbar menceritakan mengapa ahli koir lewat pada 1 Mac 1950

Kisah mereka menjadi tajuk utama akhbar pada hari berikutnya. Malah, setiap ahli koir juga mempunyai alasan masing-masing mengapa mereka lewat pada hari itu. Berikut adalah penjelasan beberapa ahli koir:

  1. Herbert Kipf - Lelaki ini singgah untuk mengepos suratnya di bandar sebelum menuju ke gereja.
  2. Lucille Jones - Dia leka mendengar siaran radio sehingga terlewat untuk menjemput rakannya Dorothy Wood yang juga ahli koir.
  3. Royena Estes - Dia dan adiknya Sadie terlewat kerana kereta mereka tidak dapat dihidupkan akibat cuaca sejuk ketika itu.
  4. Leonard Schuster - Dia dan anaknya jarang lewat tetapi terpaksa singgah di rumah ibunya untuk membantu menguruskan beberapa perkara.
  5. LaDonna Vandergrift - Dia terlewat kerana mengambil masa yang lama daripada biasa untuk menyiapkan kerja sekolahnya pada hari itu.
  6. Harvey Ahl - Dia terpaksa menguruskan makan malam dua orang anaknya kerana isterinya tiada di rumah pada hari itu. Malah, dia bercadang untuk membawa anak-anaknya bersama ke gereja.
  7. Marilyn Paul - Pemain piano ini bercadang untuk tiba 30 lebih awal tetapi tertidur selepas makan. Ibunya mengejutkan Marilyn pada jam 7:15 dan mereka terlewat sesi latihan.
  8. Martha Paul - Ibu kepada Marilyn merangkap ketua koir ini lewat kerana mengejutkan anaknya beberapa kali untuk pergi ke gereja bersama.

Kisah paling menarik adalah mengenai ahli koir bernama Joyce Black Larimore. Dia biasanya antara terawal yang tiba kerana rumahnya terletak hanya seberang jalan daripada gereja.

Pada hari itu, Joyce agak malas untuk bersiap kerana cuaca yang sangat sejuk. Dia cuba melengah-lengahkan masa dengan duduk berbaring di atas sofa.

Joyce juga menganggap cuaca sejuk sebagai alasan munasabah baginya untuk sedikit lewat. Apabila sudah tiba waktunya, Joyce bergegas bangun dan ketika dia membuka pintu rumah, gereja itu meletup.

Joyce mendakwa dia terlihat serpihan kayu gereja berterbangan di udara. Letupan itu begitu kuat sehingga menyebabkan tingkap rumahnya dan rumah berdekatan pecah.

joyce black

Bunyi letupan itu boleh didengari oleh sebahagian besar penduduk bandar Beatrice. Malah, ia juga menyebabkan berlakunya blackoutdi bandar itu.

Bukan sahaja ahli kumpulan koir Gereja Pembaptisan West End tetapi seluruh Amerika menganggap kejadian itu sebagai satu rahmat dan perlindungan daripada Tuhan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)