Oleh pada 15 Sep 2020 kategori

Beratus-ratus ribu orang menyertai pelayaran untuk menikmati percutian dan bulan madu yang sangat mengasyikkan bersama orang tersayang.

Namun, bukan semua daripada mereka ini pulang dengan perasaan gembira daripada percutian sebegini.

Hampir setiap tahun berlakunya kehilangan misteri melibatkan mereka yang menaiki kapal pesiaran di seluruh dunia.

iluminasi.com kongsikan 5 individu yang hilang secara misteri dari kapal pesiaran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

5. Daniel Kueblboeck

daniel kueblboeck

Daniel Kueblboeck, bintang pop Jerman terkenal untuk seketika dalam sebuah rancangan mencari bakat iaitu Germany Seeks the Superstar.

Dia hilang selepas dilaporkan sama ada terjun atau terjatuh dari sebuah kapal pesiaran.

Ketika hilang, lelaki berusia 33 tahun itu sedang dalam percutian di atas kapal pesiar AIDA Cruises dari Hamburg ke New York. Ketika insiden ini berlaku, kapal tersebut berada di kawasan pantai Kanada.

Saksi-saksi di atas kepal tersebut mendakwa mereka ternampak seseorang terjun sekitar jam 6 pagi pada hari kehilangannya. Sebulan sebelum itu, Daniel memuat naik status di Facebook bahawa dia dibuli ketika kecil dan apa kesan terhadap dirinya, malah dia masih tidak pulih secara mental atau fizikal.

Pihak berkuasa percaya bahawa Daniel terjun ke dalam laut dengan sengaja dan pencarian mayatnya dihentikan selepas 4 hari dijalankan.

4. Amy Lynn Bradley

amy lynn bradley

Semasa dalam pelayaran keluarga ke Caribbean, Amy Lynn Bradley hilang secara misteri dari kapal Rhapsody of the Seas. Ketika hilang dari kapal tersebut pada 24 Mac 1998, Amy hanya berusia 23 tahun.

Pada malam sebelum kejadian, Amy menari sepanjang malam dengan ahli band kapal tersebut iaitu Blue Orchid. Dia meninggalkan band tersebut sekitar jam 1 pagi dan bapanya menyedari Amy tidur di balkoni kabin mereka sekitar jam 5.30 pagi.

Pada jam 6 pagi, bapanya bangun untuk memeriksa Amy namun wanita tersebut tidak lagi kelihatan. Laporan dibuat oleh bapanya kepada pihak berkuasa kapal dan kapal tersebut berlabuh di Curacao, Antilles.

Syarikat kapal tersebut bersama-sama Pengawal Pantai Antilles Belanda menghabiskan masa beberapa hari mencari Amy namun dihentikan 5 hari kemudian. Terdapat pelbagai teori tentang kehilangan misteri ini namun tiada yang terbukti benar.

3. Fariba Amani

fariba amani

Ketika Fariba Amani sedang menikmati pelayaran bersama teman lelakinya, Ramiz Golshani, Fariba hilang secara misteri dari pelayaran Bahamas Celebration.

Ibu kepada 2 anak yang berusia 47 tahun yang berasal dari Kanada itu hilang pada 29 Februari 2012, di antara Bahamas dan Florida.

Kali terakhir Ramiz melihat Fariba adalah di kedai cenderahati dan kemudiannya pergi ke kasino bersendirian. Ketika dia kembali ke kabin, Fariba tiada di situ. Dia kemudiannya tertidur dan selepas terjaga, Fariba masih belum pulang.

Ramiz menghabiskan sejam untuk mencari teman wanitanya itu di atas kapal. Kemudian Ramiz memberitahu kru kapal tentang kehilangan Fariba sebaik sahaja mereka tiba di pelabuhan.

Pengawal pantai memulakan pencarian selama 84 jam meliputi 25.900 kilometer persegi kawasan lautan, tetapi gagal menemui Fariba. Pihak polis dan FBI juga gagal menemui sebarang bukti dan jejaknya semasa siasatan di atas kapal.

Lokasi Fariba masih tidak diketahui, namun ahli keluarganya mengesyaki bahawa ia ada kaitan dengan Ramiz.

2. Merrian Carver

merrian carver 361

Kehilangan Merrian Carver dari kapal pesiaran berdekatan Alasaka pada tahun 2004 adalah antara satu lagi kisah yang tak masuk akal.

Wanita berusia 40 tahun ini hilang dari kapal Royal Caribbean yang mana tiada seorang pun daripada ahli keluarganya tahu bahawa dia menaiki kapal tersebut.

Pada hari kedua pelayaran, seorang pelayan kabin menyedari bahawa katil yang sepatutnya digunakan oleh Merrian tidak digunakan dan melaporkannya kepada orang atasan.

Pegawai atasan tersebut meminta agar pelayan tersebut untuk mengendahkannya dan hanya melakukan kerjanya. Pelayan tersebut menurut arahan dan mengemas bilik tersebut walaupun ia tidak pernah digunakan.

Sejak itu, Merrian tidak lagi dilihat. Selepas kapal berlabuh, barangan Merrian dikemas dan pihak berkuasa tidak diberitahu tentang kehilangannya. 

Malah, pihak polis hanya mengetahui tentang kehilangan Merrian selepas bapanya memfailkan kehilangannya beberapa hari kemudian. Disebabkan ahli keluarganya tidak tahu Merrian menaiki kapal tersebut, pihak polis memerlukan masa untuk mengesannya kehadirannya di atas kapal.

Syarikat kapal pesiaran berkenaan mengambil masa lebih daripada 3 hari untuk mengesahkan kepada pihak berkuasa bahawa Merrian memang benar-benar pernah berada di atas kapal tersebut, di mana 26 hari selepas kehilangannya.

Ketika itu, semuanya sudah terlambat.

1. Hue Pham dan Hue Tran

hue pham dan hue tran

Pada tahun 2005, Hue Pham, 71 tahun dan Hue Tran, 67 tahun, dalam pelayaran sempena Hari Ibu di Caribbean bersama anak dan cucu mereka.

Pasangan ini yang telah berkahwin selama 49 tahun hilang secara misteri ketika berada di atas kapal Carnival Cruise. Pada 12 Mei, seorang kakitangan kapal menemui 2 passport, dua pasang selipar, dua lesen memandu, ubat-ubatan dan dompet mengandungi wang tunai serta kad kredit.

Passport tersebut merupakan milik Hue Pham dan Hue Tran. 

Misi mencari dan menyelamat bermula setelah ahli keluarga menyedari pasangan itu hilang, tetapi misi itu gagal menemui kedua-dua mereka.

Pihak berkuasa percaya bahawa pasangan ini membunuh diri dengan terjun ke dalam laut bersama-sama.

Anak pasangan ini iaitu Michael Pham, memberi keterangan di hadapan Kongres untuk mendesak peraturan keselamatan yang lebih ketat terhadap syarikat kapal pesiaran.

Rujukan:

1. FBI

2. News

3. ABC News

4. Cruise Ship Deaths




Hakcipta iluminasi.com (2017)