Oleh pada 07 Jun 2022 kategori

Bagi banyak masyarakat dunia, simbolik nombor dipercayai mampu menentukan tuah dan rugi, diamalkan berdasarkan kepada pantang larang yang dikhaskan. 

Sekiranya dilanggar penggunaan nombor yang membawa nasib malang, nombor dikatakan mampu mempengaruhi kehidupan seseorang seterusnya membawa kepada peristiwa buruk menimpa diri mereka. 

Berikut adalah lima nombor yang dikatakan paling kurang menyenangkan mereka yang percaya dengan 'kuasanya' dan 'ada hantu' (berhantu), menurut kepercayaan sesetengah kelompok masyarakat dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. 13

friday the 13th seram takut misteri

Nombor 13 menjadi antara nombor kurang popular di kalangan masyarakat dunia, sehinggakan ramai percaya hari Jumaat yang jatuh pada tarikh ke 13 bulan tersebut merupakan hari pembawa sial bagi ramai orang.

Ada banyak kebetulan dikatakan berlaku pada hari ke 13 bulan-bulan tertentu yang membawa kepada stigma orang ramai. Apa pula sejarahnya?

Secara logiknya, nombor 13 dilihat kurang elok oleh masyarakat zaman dahulu yang percaya nombor 12 adalah nombor yang lengkap, khasnya apabila digunakan bagi menghitung waktu. Satu tahun mengandungi 12 bulan, satu hari pula boleh dipecahkan kepada 2 kumpulan 12 jam. Serba lengkaplah pada mereka. 

Pendapat ini diperkukuhkan lagi di kalangan masyarakat barat berdasarkan kisah mitos orang Norse, mengenai jamuan Dewa-Dewi Norse melibatkan 12 orang Dewa.

Apabila Loki, Dewa ke 13 hadir sebagai tetamu tidak di undang - kedudukan jamuan itu diubah yang dikatakan menyumbang kepada kecelakaan yang timbul semasa jamuan sedang berlangsung.

Stigma berkenaan nombor 13 diperkuatkan lagi dengan rentetan kejadian sejarah yang berlaku, seperti letupan roket pesawat Apollo 13 pada 13 April 1970 dan penahanan kumpulan Templar atas arahan pemerintah di Perancis yang bermula pada 13 Oktober 1307.

Di kalangan kita pun ramai masih lagi trauma berkenaan peristiwa 13 Mei 1969, sehinggakan ada yang percaya tarikh 13 Mei adalah hari nasib buruk bagi Malaysia.

2. 7

hukuman merana 7 tahun

Walaupun masyarakat barat melihat angka 7 biasanya dalam perspektif positif; bagi masyarakat Cina, angka itu dikaitkan dengan semangat orang yang telah meninggal dunia.

Kepercayaan ini hadir daripada sambutan Festival Zhongyuan atau Festival Hantu yang disambut setiap kali hadirnya hari ke 15 dalam bulan ke 7 kalendar orang Cina.

Sepanjang bulan ini, masyarakat Cina khasnya mereka yang masih berpegang kepada ajaran Tao dan Buddha percaya roh sanak-saudara yang telah meninggal dunia akan bangkit dari alam mati.

Selain masyarakat Cina, orang Rom zaman dahulu percaya kesilapan memecahkan cermin akan membawa kepada 7 tahun nasib malang bagi pelakunya.

Ini berpunca daripada kepercayaan bahawa cermin adalah pengantara di antara roh dengan Tuhan, jadi sesiapa yang memecahkannya seolah melakukan satu kesalahan yang sangat besar; perlu merana selama 7 tahun sebelum diberikan kemaafan atas kesalahan mereka.

3. 404

google 404 error page 1

Hahaha! Daripada segi reputasi, angka 404 tidaklah ditakuti seperti mana nombor lain dalam senarai ini, namun saja kami selitkan juga.

Kami pasti anda pernah bertemu nasib malang cuba membuka pautan tidak aktif di internet dan menemui notis 404 dipaparkan? Kenapa agaknya angka itu digunakan?

Kod 404 dalam sistem protokol bahasa teks hiper yang membentuk jaringan internet, adalah kod rasmi yang dirujuk setiap kali sesuatu pelayar gagal memberikan pengguna maklum balas sepatutnya; sama ada mewakili laman web yang tidak wujud, tidak aktif atau sudah dibuang.

Tidak ada apa-apa yang unik berkenaan pemilihan angka 404 yang mewakili kod tersebut. Kod 404 dipilih sebagai kategori kod rasmi bagi mewakili apa saja bentuk ralat dalam pautan atau alamat, agar difahami pelayar dan pelayan.

Selain 404, wujud juga beberapa bentuk kod ralat lain seperti 301 (untuk alamat yang telah dipindahkan), 403 (pautan bukan untuk orang ramai) atau 451 (akses disekat atas kekangan undang-undang).

Bagaimanapun 404 popular kerana kita sering menemuinya di internet.

Uniknya dalam lingo internet di kalangan netizen sudah menjadi satu kebiasaan pula bila sesuatu perbualan atau dialog dalam media sosial tidak diberikan balasan - akan ada pengguna yang memberikan komen '404' menandakan tidak ada balasan diterima.

4. 4

angka 4 ditakuti masyarakat dunia

4 adalah antara nombor yang ditakuti dan kesannya boleh dilihat dibanyak lokasi di negara kita.

Kawasan perumahan anda mungkin setiap unitnya dinamakan tanpa melibatkan nombor 4. Bangunan tinggi yang ada diami mungkin tiada tingkat empat.

Masyarakat di kawasan Asia Timur khasnya di China, Jepun, Korea dan Taiwan berpegang teguh kepada pandangan bahawa nombor 4 yang bunyinya seakan-akan bunyi 'kematian' dalam bahasa Mandarin, mampu membawa sial kepada mereka yang menggunakannya.

Ada istilah khas berkenaan ketakutannya iaitu 'tetrafobia.' Ketakutan ini menyeusup sehinggakan apa saja yang berkait dengan angka 4 dianggap perlu dijauhi.

Tarikh temujanji perlu diatur bukan pada tarikh 4, 14 atau 24. Jangan pilih nombor telefon yang mempunyai angka 4. Bercakap pasal angka 4 pun sebaik-baiknya haruslah dielakkan.

Pengaruh angka 4 ke atas mereka yang membimbanginya dikatakan jauh lebih besar berbanding mereka yang takut dengan angka 13 di seluruh dunia, sehinggakan mampu dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan mereka yang percaya atau tidak percaya dengannya.

5. 666

number of the beast 666

Di antara kebanyakan angka yang cukup ditakuti, angka 666 adalah angka yang dikatakan paling sialan sekali di antara semua.

Dikenali sebagai 'the number of the beast', angka ini mempunyai istilah khas mengenainya; hexakosioihexekontahexaphobia atau 'fobia terhadap angka 666.'

Apa maknanya 'the beast' dalam istilah namanya itu? 'The number of the beast' adalah petikan daripada kitab Bible, terkandung dalam bahagian Revelation 13:18 yang berbunyi

This calls for wisdom. Let the person who has insight calculate the number of the beast, for it is the number of a man. That number is 666.

Walaupun demikian terdapat banyak pandangan berkenaan apakah makna sebenar petikan itu.

Lebih menyulitkan, kesemua pandangan ini mempunyai pandangan berbeza tentang makna sebenar '666' atau siapakah 'the beast' atau makhluk buas yang dimaksudkan.

Ada pihak yang menyebut angka itu mewakili syaitan, ada yang melihatnya sebagai simbol kepada Anti-Christ. Ada juga yang melihatnya sebagai kiraan yang mewakili tempoh waktu tertentu, yang tidak dapat diperjelaskan apa tujuannya.

Ketakutan ini diperkukuhkan lagi dengan banyak kejadian dunia nyata melibatkan angka tersebut di kalangan masyarakat barat, yang pada penulis lebih layak dikatakan berlaku secara kebetulan.

Populariti fobia ini diperkembangkan lagi dengan bantuan media, di mana angka 666 sering dijadikan simbol yang mewakili suatu kuasa besar menakutkan; sering digambarkan berkait dengan hari kemusnahan dunia atau hari akhirat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)