Oleh pada 31 Aug 2021 kategori

Gaius Julius Caesar (100 SM - 44 SM) adalah seorang jeneral dan pemimpin politik Rom yang terkenal. Dia telah memimpin tentera Rom dalam Perang Gallic sebelum mengalahkan Pompey dalam perang saudara dan menjadi diktator Republik Rom dari tahun 49 SM sehingga kematiannya pada 44 SM.

Julius Caesar juga memainkan peranan penting dalam beberapa peristiwa yang menjadi punca kejatuhan Republik Rom dan kemunculan Empayar Rom yang baru.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah politik dan kejayaan Julius Caesar menjadi topik penting dalam sejarah dunia. Kisahnya bukan sahaja dikaji oleh para sejarawan tetapi juga tokoh-tokoh besar yang lahir selepasnya seperti Napoleon Bonaparte, Raja Charles III, Sultan Suleiman I, Benito Mussolini dan ramai lagi.

Namun, tahukah anda bahawa Julius Caesar mempunyai kisah menarik diculik oleh sekumpulan lanun? Berikut adalah kisah mengenainya.

Ketawa diculik lanun

julius caesar kidnapped by pirates

Pada abad pertama SM, perairan Mediterania mempunyai masalah jenayah terutamanya melibatkan aktiviti melanun. Lanun-lanun yang ganas ini menakutkan penduduk Rom ketika itu.

Pada tahun 75 SM, seorang bangsawan Rom berusia 25 tahun yang bernama Julius Caesar telah berlayar di Laut Aegea untuk belajar di Rhodes, Yunani. Kapalnya kemudian telah dirompak dan Julius Caesar bersama beberapa anak kapal telah dijadikan tawanan lanun Cilicia (kini sebahagian dari Turki).

Menurut catatan Plutarch dalam Parallel Lives, lanun itu telah meminta tebusan sebanyak 20 talent perak (unit ukuran yang digunakan Rom dan Yunani, dianggarkan sekitar 620 kg perak atau hampir RM 2 juta pada hari ini).

Mendengar permintaan lanun itu, Caesar ketawa terbahak-bahak kerana mereka tidak tahu siapakah dia yang sebenarnya. Malah, Caesar menambah lagi jumlah tebusannya menjadi 50 talent (kira-kira 1,550 kg perak) kerana 20 talent itu tidak mencukupi menurutnya.

Lanun-lanun yang mendengar tawaran itu tercengang kerana tidak pernah mereka temui tawanan yang menaikkan jumlah wang tebusan yang diminta. Sudah semestinya, mereka bersetuju.

Tinggal bersama lanun selama 38 hari

Julius Caesar telah menghantar beberapa pengiringnya untuk mengumpulkan tebusan yang dijanjikan dan tugas itu memakan masa selama 38 hari. Caesar hanya ditemani dua pembantu dan seorang rakan sahaja di atas kapal lanun.

julius caesar empayar rom

Ketika menanti wang tebusannya, Caesar enggan dilayan seperti seorang tebusan. Sebaliknya, dia menganggap dirinya sebagai ketua dan lanun-lanun itu sebagai orang suruhannya.

Caesar menghabiskan sebahagian masanya menulis puisi dan ucapan di atas kapal. Ada kalanya, dia akan membacakan hasil tulisannya kepada lanun-lanun itu. Caesar juga menyertai permainan dan latihan yang diadakan lanun-lanun itu.

Dia pernah menyuruh lanun-lanun itu supaya tidak membuat bising ketika dia tidur. Dari masa ke masa, Caesar juga mengugut akan menyalib mereka setelah dia bebas.

Lanun-lanun itu menganggap Caesar sebagai kurang siuman dan suka bercakap besar tetapi tidak mencederakannya kerana tahu bahawa dia adalah seorang individu penting.

Maka, mereka membiarkan sahaja Caesar dengan perangainya dan bebas melakukan apa yang dia mahukan di atas kapal dan ketika singgah di pulau lanun itu. Mereka hanya mahukan wang yang dijanjikannya sahaja.

Julius mengotakan janjinya

Genap 38 hari menjadi tahanan, pengiring Julius Caesar kembali dengan 50 talent. Lanun-lanun yang gembira itu telah mengotakan janji mereka dengan membebaskan Caesar.

lukisan julius caesar

Tidak lama selepas itu, Caesar berjaya mengumpulkan kekuatan dan menawan pulau yang didiami lanun itu. Dia telah menangkap semua lanun yang menawannya dan merampas kembali 50 talent bersama-sama dengan harta rampasan lain.

Dia telah menyerahkan lanun-lanun itu kepada pihak berkuasa di Pergamon (bandar di Turki) sebelum mengembara untuk bertemu penguasa Rom di Asia iaitu Marcus Junius.

Caesar membuat petisyen agar penjenayah itu dihukum bunuh tetapi Junius menolak dan ingin menjual lanun-lanun itu sebagai hamba serta mengambil semua barang rampasan untuk dirinya sendiri.

Berang dengan keputusan itu, Caesar kembali ke Pergamon dan mengambil semula semua lanun-lanun itu untuk dihukumnya sendiri. Walaupun telah berjanji untuk menyalib mereka, Caesar memberikan kematian pantas dengan mengelar leher mereka.

Walaupun lanun-lanun itu tersilap apabila menyangka Caesar seorang yang suka bercakap besar namun tekaan mereka benar bahawa Caesar adalah seorang yang gila.




Hakcipta iluminasi.com (2017)