Anda mungkin mengetahui banyak kisah-kisah mengenai lanun melalui dokumentari televisyen atau filem seperti Pirates of the Caribbean. Mereka berlayar di lautan luas, gemarkan minuman keras dan sering menyamun kapal-kapal yang lalu berhampiran.
Sebenarnya, banyak lagi fakta menarik mengenai kehidupan dan tradisi lanun yang dirungkaikan sejarah. Anda mungkin tidak pernah mendengar sebahagian daripadanya. Berikut adalah beberapa kisah menarik mengenai kehidupan lanun yang tidak diketahui ramai.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Subang sebagai perlindungan telinga
Kapal-kapal lanun dilengkapi dengan banyak meriam. Sebagai contoh, kapal Queen Anne's Revenge milik Kapten Blackbeard mempunyai sebanyak 40 meriam. Meriam sangat penting untuk bertempur apabila mereka ingin merompak kapal mangsa atau mengelak daripada ditangkap.
Bunyi meriam mereka juga sangat kuat dan memekakkan telinga. Lanun-lanun biasanya akan meletakkan sejenis lilin pada subang mereka untuk digunakan apabila perlu. Ketika bertempur, mereka akan mengambil lilin itu dan disumbat ke dalam telinga untuk melindungi daripada bunyi meriam.
2. Mengamalkan hubungan sejenis sejak awal 1600-an
Lanun biasanya berada di atas kapal untuk waktu yang lama dan dikelilingi oleh kaum lelaki sepanjang masa. Maka tidak hairanlah mengapa mereka mengadakan hubungan intim bersama. Mereka mengadakan hubungan sejenis melalui amalan yang digelar matelotage, perkataan Perancis yang mungkin menjadi asal-usul ucapan lanun untuk "Ahoy Mate".
Dalam golongan lanun, dua lelaki yang melakukan amalan matelotage ini berkongsi rampasan mereka bersama. Bahkan, apabila salah seorang pasangan mati, pasangan yang hidup akan mewarisi harta peninggalan itu.
3. Subang sebagai pelaburan kematian
Walaupun lanun menghabiskan sebahagian besar hidup mereka di lautan tetapi mereka tidak mahu dikebumikan di dasar laut. Hampir kebanyakan lanun memakai subang berharga yang sebenarnya menjadi insuran supaya mereka mendapat pengebumian yang sempurna.
Jika mereka mati lemas sekalipun, subang emas atau perak yang mereka pakai dapat dicairkan untuk membayar keranda dan keperluan pengebumian yang lain apabila mayat mereka terdampar di pantai atau pelabuhan. Sesetengah lanun malah mengukir nama pelabuhan pada subang mereka supaya mayat mereka dapat dihantar ke sana untuk pengebumian yang diinginkan.
4. Tiada siapa mahu melihat bendera berwarna merah
Walaupun lanun dikenali dengan bendera tengkorak bersilang mereka tetapi itu bukanlah bendera yang paling digeruni musuh mereka. Semua pelayar sebenarnya paling takut dengan kapal lanun yang memasang bendera merah.
Memasang bendera berwarna merah bermakna lanun itu akan menyerang mangsa mereka habis-habisan tanpa belas kasihan atau membiarkan seorang pun mangsanya hidup.
Apabila pedagang atau kapal lanun lain terlihat musuh menaikkan bendera yang digelar "Red Bloody" ini, ada yang sanggup terjun ke laut terlebih dahulu untuk menyelamatkan diri.
5. Memakai penutup mata
Gambaran seorang lanun cukup sinonim dengan pemakaian penutup pada sebelah mata sahaja. Mungkin ada sesetengah lanun buta sebelah akibat pertempuran tetapi kebanyakan lanun yang memakainya tidak buta sebenarnya.
Alasan mengapa mereka memakai penutup pada sebelah mata adalah supaya mata itu mudah disesuaikan untuk penglihatan pada waktu malam. Selain itu, keadaan di bawah dek kapal yang gelap juga merupakan salah satu sebab.
Apabila mereka menyerang kapal mangsa, lanun yang turun ke bahagian bawah dek gelap ini akan menggunakan mata mereka yang tertutup supaya dapat melihat dalam gelap untuk seketika waktu sekiranya ada serangan hendap.
6. Kepercayaan tahyul mengenai subang mereka
Salah satu lagi perkara menarik mengenai subang atau anting-anting lanun adalah mereka percaya ia mempunyai kuasa ajaib. Ada yang mendakwa memakai subang mampu mencegah mereka daripada mabuk laut dan ada yang mendakwa ia dapat mengubati masalah penglihatan.
Ramai juga lanun yang percaya bahawa memakai subang emas boleh menghalang mereka daripada mati lemas. Namun, mitos itu telah beberapa kali disangkal apabila ada lanun yang dijumpai mati lemas.
7. Lanun tidak menanam harta rompakan mereka
Lanun sering digambarkan menanam harta rompakan mereka di pulau atau pelabuhan tertentu. Mereka mungkin menyembunyikan hasil rompakan itu tetapi amat jarang sekali menanamnya.
Ini kerana, kebanyakan hasil rompakan mereka bukanlah emas atau berlian. Mereka biasanya akan merompak hasil dagangan seperti makanan, arak, senjata, kayu berharga, kain dan kulit haiwan. Adalah tidak praktikal untuk menanam barang rampasan seperti ini. Mereka biasanya akan menjual hasil rompakan apabila tiba di pelabuhan berhampiran.
8. Mitos berjalan atas papan peniti
Kita sering melihat babak di mana lanun menyuruh mangsa atau tawanan terjun dari papan yang diletakkan di tepi kapal dan ikan jerung menunggu di bawahnya. Sebenarnya tidak ada bukti yang menunjukkan lanun melakukan perkara ini. Ia menjadi popular menerusi industri hiburan pada abad ke-19.
Lanun biasanya membunuh mangsa atau tawanan mereka dengan banyak cara kejam yang lain. Mereka biasanya membunuh dengan cepat atau dalam bentuk penyeksaan.
Salah satu bentuk penyeksaan lanun yang terkenal adalah keelhauling. Mangsa akan diikat pada kaki dan dibiarkan tergantung di sisi kapal. Mereka juga diletakkan cukup bawah supaya akan tenggelam timbul ketika kapal belayar membelah ombak.
9. Trademark lanun bukan hanya simbol tengkorak bersilang
Ramai yang mengaitkan simbol tengkorak bersilang adalah lambang lanun. Sebenarnya, simbol yang dikenali sebagai The Jolly Roger itu bukanlah satu-satunya simbol lanun yang terkenal. Simbol Jolly Roger itu mula diperkenalkan melalui buku tulisan Charles Johnson pada tahun 1724 berjudul A General History of the Pyrates.
Bendera Blackbeard pada kapal Queen Anne's Revenge
Lanun legenda iaitu Blackbeard menggunakan simbol tengkorak syaitan memegang tombak sedang mencucuk hati yang berdarah. Bendera-bendera terkenal yang lain pula menggunakan simbol jam pasir, lelaki berdiri di atas tengkorak dan banyak lagi.
10. Memulau atau membuang anak kapal
Seperti yang sering dipotretkan dalam filem, lanun sememangnya diketahui meninggalkan orang di pulau kecil bersendirian jika melakukan sesuatu kesalahan. Ia adalah cara paling teruk untuk mati bagi lanun.
Biasanya lanun yang tidak beretika atau melanggar peraturan kapal akan diperlakukan sedemikian. Pesalah akan ditinggalkan di atas timbunan pasir kecil atau pulau kecil dengan hanya berbekalkan baju, sedikit air dan senjata.
Pesalah mempunyai pilihan untuk membunuh diri dengan senjata yang diberikan tetapi ia dianggap tindakan pengecut bagi golongan lanun. Ada segelintir lanun yang berjaya selamat hukuman seperti itu jika mereka diselamatkan kapal lanun lain tetapi ia amat jarang berlaku.
Rujukan:
1. Tradisi pelik lanun zaman dahulu