Dalam penggunaan bahasa zaman moden, kerap kali kita akan menemui penggunaan istilah 'Trojan Horse' bagi melambangkan penyusupan sesuatu sama ada individu atau rancangan, ke dalam satu badan lain dengan matlamat menjatuhkan badan tersebut.
Istilah 'trojan horse' asalnya berpunca daripada taktik tentera yang digunakan untuk melemahkan pihak musuh.
Bagaimanapun dalam zaman moden, istilah tersebut mula digunakan secara luas bukan saja terhad dalam bidang ketenteraan, sebaliknya turut sama mula digunakan dalam istilah pengkomputeran, politik, sosial serta bermacam lagi cabang lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Dari manakah datangnya istilah ini dan benarkah dakwaan bahawa satu ketika dulu, masyarakat Yunani (Greece) menggunakan taktik ini dalam peperangan mereka?
Usaha pemecahan dinding Troy
Kisah berkenaan 'kuda Trojan' yang digunakan askar Yunani menyerang hendap kota Troy dari dalam kota itu sendiri, sebenarnya kurang jelas adakah benar-benar berlaku daripada segi bukti sejarah.
Ini kerana sumber asal kisah kuda ini datang daripada hikayat yang boleh diragui kesahihannya. Sumber utama kisah ini terkandung dalam koleksi hikayat orang Yunani'Odyssey', hasil tulisan seorang penulis terkenal Homer.
Apa yang membuatkan status hikayat karangan Homer dipersoalkan adalah kerana besar kemungkinan Homer itu sendiri tidak wujud; walaupun hasil tulisannya terus popular sehingga kini sebagai rujukan sejarah!
Homer tidak wujud?
Terdapat banyak kecelaruan berkenaan rekod-rekod sejarah yang dicatat Homer dalam tulisannya, khasnya apabila melibatkan garis masa.
Ada pendapat menyebut Homer hidup sekitar tahun ke 8SM, tetapi catatan sejarah yang direkodkan beliau datang beratus-ratus sebelumnya daripada era 520SM.
Catatan sejarah Homer yang terkandung dalam buku Iliad hasil karangannya juga disanggah ketulenannya disebabkan perbezaan yang ada antara keterangan berkaitan cara hidup masyarakat yang hidup ketika hayat Homer, dengan bukti-bukti yang ditemui sejak dahulu hingga sekarang.
Banyak pendapat utama menyimpulkan Homer sebenarnya tidak wujud, tetapi merupakan satu nama samaran atau gelaran yang digunakan bagi merujuk kepada usaha masyarakat Yunani zaman dahulu mengkompilasikan hikayat-hikayat mereka, lalu diberikan nama pena 'Homer' sebagai rujukan.
Disebabkan ketiadaan sumber-sumber yang sahih inilah penyelidik merasakan ada kemungkinan kisah 'kuda Trojan' Yunani juga berkemungkinan hanyalah tokok tambah orang zaman dahulu, hendak menyedapkan cerita hikayat mereka.
Kisah 'Trojan Horse' yang terkenal
Walaupun kita bukan orang Yunani, kisah 'kuda Trojan' pasti kita kenali kerana seringkali diceritakan dalam pelbagai bentuk media.
Secara ringkasnya putera Troy, Paris telah jatuh cinta dengan permaisuri Sparta, Helen yang ketika itu telahpun dikahwinkan dengan Raja Yunani, Menelaus. Atas dasar cinta, Paris bertindak 'menculik' Helen, menyembunyikan kekasihnya di kota Troy yang pada ketika itu merupakan antara kubu terkuat yang ada di bumi.
Menelaus yang berang isterinya dilarikan, mengerahkan askar Yunani menyerbu kota Troy untuk menyelamatkan isterinya, sambil menguasai kota tersebut disebabkan pengkhianatan Paris.
Hampir 10 tahun orang Yunani cuba menggempur bandar Troy. Setiap serangan mereka gagal dan tentera Yunani terpaksa berkampung berhampiran kota tersebut sepanjang tempoh tersebut, mencari jalan menyelamatkan Helen.
Idea Odysseus membina kuda gergasi
Menelaus yang buntu meminta nasihat Odysseus, pakar strategi perang mereka.
Odysseus yang sebenarnya enggan menyertai kempen perang menyelamatkan Helen mengemukakan satu taktik, agar pembinaan kuda gergasi menggunakan kayu yang mampu menempatkan askar mereka dalam binaan tersebut; dijadikan sebagai hadiah kepada pemerintah Troy.
Kuda gergasi itu ditinggalkan di depan pintu masuk kota Troy sebagai simbol menyerah kalah dan askar Yunani pun berpura-pura belayar pulang ke Greece.
Hadiah kuda gergasi itu dilhat sebagai tanda bahawa askar Yunani sudah memberhentikan serangan 10 tahun mereka, membuatkan orang Troy menarik masuk kuda itu ke dalam kota mereka.
Pada waktu malam, semasa warga Troy sibuk meraikan kejayaan mereka mempertahankan kota tersebut selepas perang panjang, mereka tidak menyedari askar Yunani sedang menunggu di dalam kuda itu dengan sabar.
Mengetahui askar dan penduduk Troy sudah mabuk dan kepenatan, askar Yunani yang bersembunyi menyerbu keluar dari kuda tersebut, menyerang dan menakluki kota Troy serta berjaya mengembalikan Helen kepada suaminya dengan mudah.
Mitos 'kuda Trojan' dibongkarkan
Pada tahun 1964, ahli sejarah terkenal Moses Finley menyarankan agar naratif hikayat berkaitan legenda kuda Trojan, tidak lagi dianggap sebagai kisah sejarah sebaliknya dikategorikan sebagai karya fiksyen atau mitos - sehinggalah kita dapat menemui bukti arkeologi yang menunjukkan kebenarannya.
Ini berdasarkan ketiadaan rekod-rekod sejarah yang berjaya untuk membuktikan benarkah berlaku perang yang dikatakan dan ketiadaan bukti seperti artifak yang menunjukkan strategi kuda gergasi digunakan bagi melumpuhkan kota Troy.
Penemuan kota Troy pada tahun 1871 di Hisarlik, Turki menunjukkan bukti kewujudan kota tersebut, namun sehingga kini tiada bukti jelas yang berjaya mengesahkan kuda tersebut benar-benar dibina.
Laporan penemuan kepingan-kepingan kayu yang berbentuk unik sepanjang 15 meter pada tahun 2014 oleh dua orang penyelidik dari Universiti Boston menggemparkan dunia. Kepingan-kepingan kayu itu dikatakan datang daripada rangka kuda tersebut, diyakini kebenarannya oleh kumpulan arkeologi tersebut.
Selain itu laporan itu juga melaporkan penemuan kepingan gangsa yang sudah rosak, diukir dengan tulisan sama seperti apa yang terkandung dalam hikayat tulisan Homer bertulis;
"For their return home, the Greeks dedicate this offering to Athena" ('untuk kembali, kami menyerahkan kuda ini sebagai persembahan kepada Dewi Athena.')
Walau bagaimanapun, pencarian dua nama yang terlibat dalam penemuan itu iaitu Christine Morris dan Chris Wilson yang didakwa penyelidik daripada Boston University gagal memberikan rekod jelas.
Pihak Boston University sendiri tidak pernah melaporan apa-apa penemuan tentang 'kuda Trojan' melalui saluran rasmi mereka, menunjukkan ada sesuatu yang tidak benar tentang laporan penemuan tersebut, sama ada satu penipuan atau hanyalah berita palsu yang sengaja direka netizen.
Jadi, pada pandangan peribadi kami - kami lebih gemar untuk menamakan hikayat 'Trojan Horse' sebagai sebuah mitos kerana jalan ceritanya terlalu sempurna dan bersifat fiksyen.
Kisah ringkas yang kami catatkan di atas belum mengambil kira peranan Dewa-Dewi Yunani dalam faktor perang tersebut seperti kandungan asal yang ditulis dalam karya Homer. Kisah bagaimana pahlawan agung Achilles menyertai dan menjadi faktor penentu kemenangan orang Yunani dalam perang tersebut juga terlalu hebat untuk dikatakan berdasarkan realiti.
Membaca bagaimana mudahnya warga Troy diperbodohkan hanya dengan menggunakan kuda kayu serta lakonan orang Yunani adalah agak membingungkan. Ini kerana tamadun mereka mampu membina kota yang gah serta diakui mempunyai ilmu yang agak tinggi.
Kami cenderung untuk mengatakan legenda 'Trojan Horse' hanyalah 'Trojan Horse' yang diwujudkan, mitos dan hikayat yang sengaja dicipta untuk mengangkat reputasi orang Yunani dalam sejarah dunia.
Apa yang malang - sehingga kini kita pun masih ramai yang percaya akan kejadian dan kebenarannya.
Rujukan