Oleh pada 05 Dec 2019 kategori

Sebagai raja monarki wanita tunggal dalam sejarah Norway dan tokoh politik paling hebat di Scandinavia, Ratu Margaret I dari Denmark ini adalah seorang pemerintah hebat dan disegani. Namun, pewaris sah yang menggantikannya iaitu Eric tidaklah begitu bernasib baik.

Ratu Margaret I Kerajaan Scandinavia

Ratu Margaret I

Margaret I menjadi pemerintah rasmi yang pertama di seluruh negara Scandinavia dan dihormati oleh semua orang di Norway, Denmark dan Sweden. Dia adalah "Wanita Berkuasa dan Berdaulat" kepada ketiga-tiga kerajaan itu pada tahun 1387 apabila berjaya menyatukan Sweden dengan persekutuan Denmark-Norway.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Margeret I dan kakaknya adalah puteri kepada Raja Valdemar IV dari Denmark. Disebabkan tidak mempunyai waris lelaki, Raja Valdemar IV telah menjodohkan Margeret I dengan Raja Haakon VI dari Norway untuk mengukuhkan pengaruhnya. Margeret I baru berusia 10 tahun ketika dikahwinkan dengan Raja Haakon VI.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak tunggal bernama Olaf. Putera itu kemudian menjadi Raja Olaf II untuk Norway dan Denmark apabila bapanya meninggal dunia pada tahun 1380. Sehingga dia cukup umur untuk memerintah secara sah, ibunya iaitu Margaret I menjadi Ratu Sementara.

Malangnya bagi Raja Olaf II, dia hanya sempat memerintah selama dua tahun sahaja bermula dari 1385 sehingga dia meninggal dunia pada 1387. Hak undang-undang dan tanggungjawab penuh untuk memerintah kerajaan kemudiannya jatuh kepada Margaret I.

Pada tahun yang sama juga, Ratu Margaret I berjaya memujuk para bangsawa Sweden untuk menyertai persekutuan Norway-Denmark. Ketika itu, golongan bangsawan Sweden sememangnya dalam usaha untuk menggulingkan raja mereka dan bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Dalaborg pada tahun 1388.

Pengganti kepada legasi hebat

eric of pomerania ditabal menjadi raja

Eric of Pomerania ditabalkan menjadi raja oleh Ratu Margaret I

Ratu Margaret I kemudiannya menjadi pemerintah untuk tiga kerajaan Nordik yang hebat. Pada masa yang sama juga, rakyat mengharapkan agar ada raja yang bakal menggantikan Ratu Margaret I pada masa hadapan. Disebabkan ratu kematian waris yang sah, cucu kepada kakaknya iaitu Eric adalah calon paling hampir untuk jawatan itu.

Eric of Pomerania hanya berumur enam tahun ketika dia ditabalkan sebagai Putera Mahkota oleh Ratu Margaret I. Ketika berusia 14 tahun, Eric telah dijodohkan dengan Puteri Philippa dari Britain yang berusia 12 tahun.

Ketika berumur 15 tahun, Eric of Pemorania telah dinobatkan sebagai raja yang berdaulat di kota purba Kalmar, Sweden. Pertabalan itu dilakukan pada hari Ahad, 17 Jun 1397 dan disaksikan oleh semua para bangsawan, uskup, paderi serta rakyat. Ia menandakan bermulanya Kesatuan Kalmar secara rasmi antara Denmark, Sweden dan Norway.

Walaupun telah Eric of Pomerania telah ditabalkan secara rasmi tetapi Ratu Margaret I masih lagi terus memerintah sehingga dia meninggal dunia pada 28 Oktober 1412.

Pada usia 33 tahun, Raja Eric mengambil tugas untuk memerintah ketiga-tiga negara itu tetapi gagal meneruskan legasi yang ditinggalkan Ratu Margaret I. Sebaliknya, pemerintahan Raja Eric itu bakal menjurus kepada keruntuhan Kesatuan Kalmar.

Raja Eric pemerintah kuku besi

raja eric

Raja Eric

Raja Eric cuba memperkuatkan empayar dengan mengembangkannya ke Semenanjung Jutland dan wilayah Holstein (Jerman Utara). Setelah dua dekad lamanya, Raja Eric berjaya mengalahkan Liga Hanseatic, persatuan bandar-bandar Jerman utara yang dibentuk pada abad ke-12 untuk melindungi perdagangan dan kepentingan bersama.

Dia kemudian mengenakan cukai ke atas setiap kapal-kapal yang melalui perairan Laut Baltik dan Empayar Nordik. Dia percaya bahawa dia sedang membina empayar yang kuat dengan pendapatan lebih banyak melalui cukai yang dikenakan.

Namun, sebenarnya dia hanya menambah bilangan musuh yang sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan Ratu Margaret I. Tambahan pula, peperangan menelan belanja yang mahal tambahan pula jika ia berlanjutan selama puluhan tahun.

Sementara Raja Eric menjadi semakin kaya, golongan bangsawan dan rakyat terpaksa mengeluarkan wang mereka untuk membiayai perang dan kenaikan harga disebabkan cukai. Menjelang tahun 1430-an, Raja Eric dibenci oleh rakyatnya sendiri dan juga negara luar.

Penduduk Sweden adalah yang pertama merasakan ketidakadilan ini. Mereka dikenakan cukai dan dikerahkan untuk menyertai perang sedangkan Raja Eric melantik warga Denmark untuk setiap kedudukan yang menguntungkan dalam kerajaan.

Pemberontakan Engelbrekt

raja erik raja lanun

Mereka juga meminta undang-undang perlembagaan baru tetapi ditolak Raja Eric. Ini membawa kepada pemberontakan besar pada tahun 1434 yang dikenali sebagai Pemberontakan Engelbrekt yang diterajui pejuang kebebasan bernama Engelbrekt Engelbrektsson.

Pemerintahan kuku besi Raja Eric berjaya disekat. Walaupun Engelbrekt dibunuh, pemberontakan itu berterusan dan akhirnya Raja Eric digulingkan di Sweden pada tahun 1439 diikuti oleh Norway dan Denmark selepas itu.

Eric of Pomerania terpaksa melarikan diri dari Copenhagen. Dia juga telah menjalani kehidupan sebagai ketua lanun untuk tempoh selama beberapa tahun bagi mengumpul semula kekuatan dan kewangan bagi merampas kembali takhtanya.

Dia yang tidak mempunyai anak telah meninggalkan isterinya dan menjadi pemimpin persatuan perompak bernama Vitalienbruder. Organisasi ini melanun di sekitar Laut Baltik dan cuba membantu Raja Eric kembali berkuasa.

bendera kesatuan kalmar

Bendera Kesatuan Kalmar

Organisasi itu juga pernah melakukan satu cubaan merampas takhta ke atas Christopher III yang menggantikan Raja Eric tetapi gagal. Eric akhirnya meninggal dunia di Pomerania (sempadan Jerman dan Poland) pada tahun 1459 dengan reputasi buruk.

Kesatuan Kalmar yang menyatukan Denmark, Norway dan Sweden tidak pernah pulih selepas pemerintahan Raja Eric yang zalim sebelum akhirnya terbubar pada tahun 1523.

Rujukan:

1. Kisah Raja Lanun dari Pomerania

2. Raja Scandinavia yang menjadi Viking terakhir

3. Raja yang akhirnya menjadi ketua lanun




Hakcipta iluminasi.com (2017)