Lanun adalah gelaran kepada mereka yang melakukan aktiviti jenayah seperti merampas dan merompak di lautan. Kapten Jack Sparrow mungkin merupakan lanun yang paling popular tetapi dia hanyalah watak rekaan untuk siri filem Pirates of the Caribbean.

Sebenarnya, ramai lanun-lanun dalam dunia sebenar yang terkenal seperti William Kidd (1645-1701), Edward "Blackbeard" Teach (1680- 1718), Bartholomew "Black Bart" Roberts (1682 - 1722) dan lain-lain lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun ada lanun yang terdiri dari kaum hawa tetapi wanita bernama Ching Shih ini merupakan antara lanun yang paling digeruni dalam sejarah sehingga digelar sebagai "Ratu Lanun China". Berikut adalah kisah bagaimana Ching Shih menjadi seorang lanun.

Sejarah awal Ching Shih

ching shih ratu lanun china yang terkenal

Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awal Ching Shih (atau dikenali juga sebagai Madame Ching, Zhèng Shì, Jehng Sih, dan Cheng I Sao). Dia dilahirkan sebagai Shi Xiang Gu di wilayah Guangdong pada tahun 1775.

Dia yang dikatakan seorang wanita cantik dan menawan ini mula bekerja sebagai seorang pelacur di rumah pelacuran terapung di Guangdong. Ching Shih juga pandai bergaul dengan pelanggan lelakinya dan berjaya menjadi pelacur kelas atasan dalam masa yang singkat.

Kecantikan Ching Shih mula menjadi bualan. ini membuatkan seorang lanun terkenal, Zheng Yi, ketua kepada sebuah armada yang dikenali sebagai "Armada Bendera Merah" ingin ingin melihat sendiri wanita itu.

lukisan ching shih

Pada tahun 1801, Zheng Yi telah pergi ke Guangdong untuk bertemu dengan Ching Shih. Ketua lanun itu telah menghantar orang-orangnya untuk menyerbu rumah pelacuran di Guangdong dan menculik Ching Shih.

Zheng Yi ingin menjadikan Ching Shih sebagai isterinya. Ching Shih pula bersetuju dengan permintaan itu asalkan dia diberi kuasa dalam organisasi Armada Bendera Merah dan menerima sebahagian daripada hasil rompakan.

Pasangan lanun terkenal China

armada bendera merah

Armada Bendera Merah

Pasangan itu kemudian menerajui Armada Bendera Merah bersama-sama. Armada yang mempunyai 200 buah kapal itu berkembang menjadi lebih besar kepada 600 buah kapal. Akhirnya, ia mencecah sehingga 1700-1800 buah kapal ketika puncak kegemilangannya.

Armada lanun itu dikelaskan mengikut "kod berwarna". Armada utama ditandakan dengan warna merah dan selebihnya ditandakan dengan warna hitam, putih, biru, kuning dan hijau. Armada Bendera Merah juga membentuk satu kerjasama dengan lanun yang menjadi armada musuh yang diketuai oleh lanun bernama Wu Shi'er.

ching shih ratu lanun

Hanya selepas enam tahun berkahwin dengan Ching Shih, Zhing Yi meninggal dunia. Ketika itu, anggota Armada Bendera Merah dianggarkan seramai kira-kira 70 ribu orang (sebahagian rekod menyatakan sehingga 150 orang atau lebih).

Setelah kematian suaminya, Ching Shih sebenarnya boleh menyerahkan pemerintahan Armada Bendera Merah kepada anak angkat Zheng Yi iaitu Chang Pao tetapi dia ingin kekal berkuasa dan tidak mahu kembali kepada kehidupan lamanya sebagai pelacur. 

Memperkenalkan undang-undang lanun baru

Ching Shih adalah seorang ketua lanun yang tegas. Dia banyak menumpukan kepada usaha strategi perniagaan dan ketenteraan. Selain itu, Ching Shih juga mewujudkan "kerajaan" sendiri di mana lanun-lanun di bawah kelolaannya dilindungi undang-undang mereka sendiri dan perlu membayar cukai.

ching shih pirate of caribbean

Watak Ching Shih dalam filem Pirates of the Caribbean

Setiap hasil rompakan perlu didaftarkan kepada armada terlebih dahulu sebelum ia diedarkan. Lanun yang berjaya merompak itu berhak mengambil 20% sahaja daripada hasil rompakan mereka, manakala baki 80% dimasukkan ke dalam dana kolektif kumpulan itu.

Ching Shih juga memperkenalkan peraturan yang ketat terhadap layanan banduan terutamana tahanan wanita. Mereka yang tidak mengikut kod undang-undang ini akan dihukum dengan berat. Penjenayah akan diburu dan telinga mereka akan dipotong apabila diberkas. Banyak lagi seksaan berat yang dikenakan.

Armada Bendera Merah juga mengawal kebanyakan kampung di pesisiran pantai dan kadang-kadang mengenakan cukai ke atas mereka. Ching Shih digeruni kerana sering menghukum penduduk yang ingkar dengan memaku kaki mereka di dek kapal dan memukul mereka.

Antara undang-undang lain yang diperkenalkan Ching Shih ialah:

  • Lanun yang memberi arahan tanpa kebenaran atau enggan mematuhi arahan akan dibunuh serta-merta
  • Mencuri dari "dana lanun" atau menyerang kampung-kampung yang menyokong lanun akan dihukum bunuh
  • Dilarang untuk menyeksa dan merogol tahanan wanita. Sekiranya lanun ingin memperisterikan tawanan wanita mereka, mereka harus setia dan menjaga isteri mereka dengan baik.

Armada yang tidak terkalah

ratu lanun china

Banyak kapal-kapal China, Portugis, Perancis dan British yang tewas di tangan Armada Bendera Merah. Armada tentera negara-negara ini menjadi buntu kerana tidak dapat menangani Armada Bendera Merah.

Walau bagaimanapun, kekuasaan Ching Shih menjadi goyah apabila "perjanjian antara lanun" telah pecah dan terbahagi kepada enam kumpulan lanun berbeza. Ketika inilah Maharaja Jiaqing dari Dinasti Qing nampak peluang untuk menundukkan lanun-lanun di China.

Kerajaan China menawarkan pengampunan kepada semua lanun dengan harapan mereka kembali menjadi rakyat biasa dan mengakhiri pemerintahan Ching Shih di lautan selama ini.

ching shih lanun wanita

Ching Shih menghantar anak angkat mendiang suaminya dan juga kekasihnya iaitu Chang Pao untuk berunding dengan wakil kerajaan, Zhang Bai Ling, tetapi menemui jalan buntu. Akhirnya, Ching Shih sendiri pergi berjumpa dengan Zhang Bai Ling.

Kerajaan China bersetuju supaya Ching Shih diampunkan dan dia dibenarkan untuk menyimpan semua hasil rompakannya. Bahkan, Zhang Bai Ling sendiri menjadi saksi kepada perkahwinan Ching Shih dan Chang Pao. Dengan itu, Ching Shih telah menamatkan kerjayanya sebagai seorang lanun.

Hasil perkahwinannya dengan Chang Pao, Ching Shih memperolehi seorang anak lelaki. Apabila Chang Pao meninggal dunia, Ching Shih kembali ke Guangdong dan membuka sebuah rumah perjudiannya sendiri. Dia tinggal di sana sehingga meninggal dunia pada tahun 1844.

Rujukan: 

1. Kisah pelacur menjadi ratu lanun

2. Ching Shih - Lanun terkenal dalam sejarah

3. Ching Shih Ratu lautan China




Hakcipta iluminasi.com (2017)