Tanah perkuburan lanun di Madagaskar adalah tempat berehat terakhir untuk ramai lanun yang mengumpul kekayaan mereka dengan merompak pedagang di sekitar perairan semasa Zaman Keemasan Lanun pada abad ke-17 dan ke-18.

Didorong oleh motto mereka iaitu "work hard, play hard", lanun-lanun ini berminat untuk mewujudkan satu pusat peranginan percutian mereka sendiri di beberapa pulau kecil yang paling terpencil di dunia. Di situ mereka mengadakan pesta-pesta hebat, berkongsi barang rampasan dan menghabiskan masa dengan berehat di pulau yang indah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara pulau persembunyian mereka yang terkenal ialah Ile Sainte-Marie atau Pulau Saint Mary. Terletak di luar pantai Madagascar yang merupakan pulau keempat terbesar di dunia, pulau itu pada dasarnya tidak wujud dalam peta sehingga pada tahun 1731 apabila ia ditandakan sebagai "Pulau Lanun" kerana reputasinya yang menggerunkan itu.

ile sainte marie

Ile Sainte-Marie

Lokasi itu juga berdekatan dengan laluan pedagang British East India Company, menjadikannya tempat percutian yang ideal selepas berjaya melakukan rompakan. 

Perairan yang tenang di sekitar pulau itu juga membolehkan lanun-lanun ini mendarat dengan selamat. Selain itu, ia mempunyai banyak laluan masuk dan teluk yang menyediakan tempat persembunyian yang sangat baik agar kapal-kapal mereka dapat mendarat tanpa dikesan.

Dari Teluk Bengal, sepanjang perjalanan ke Cape of Good Hope, pulau Ile Sainte-Marie ini mengandungi sejumlah besar harta rampasan. Maka tidak hairanlah sekiranya banyak laguna dan teluk di sekitar pulau ini dikatakan mengandungi harta karun yang telah disembunyikan oleh kapten-kapten lanun yang terkenal dalam sejarah.

kubur lanun

Perkuburan lanun Ile Sainte-Marie

Lanun-lanun seperti Adam Baldrige yang merupakan salah seorang pengasas penempatan lanun di Ile Sainte-Marie serta legenda William Kidd dan ramai lagi dikatakan telah menguburkan harta persaraan mereka di sekitar pulau ini.

Kemudian terdapat pula lanun Olivier Levasseur yang menubuhkan operasi lanunnya di Ile Sainte-Marie pada tahun 1720 dan Henry Every, yang kedua-duanya membuat percubaan untuk merompak kapal-kapal milik mogul besar India.

Kisah kekayaan milik mogul India telah menarik minat lanun dari seluruh pelosok dunia. Namun, kapal-kapal khazanah mogul ini dilengkapi dengan senjata berat dan sedang mengembara ke Mekah. Ia merupakan impian bagi semua lanun pada zaman itu.

batu nisan kubur lanun

Semua kapten yang dihormati dalam komuniti lanun mempunyai tanah mereka sendiri di Ile Sainte-Marie. Pondok-pondok dibina untuk menempatkan anak-anak kapal mereka. Setiap kru akan meletakkan bendera masing-masing di atas pondok kayu mereka.

Namun, kebanyakan kapten kapal tinggal secara berasingan daripada kru-kru mereka di Ile aux Forbans, sebuah pulau yang lebih kecil di teluk Ambodifotatra. Ia merupakan penempatan terbesar di pulau itu sehingga hari ini.

"Syurga Lanun" itu telah berfungsi sebagai tempat persinggahan dan penempatan untuk tempoh lebih daripada 100 tahun. Ia paling aktif digunakan antara tahun 1691 hingga 1719.

tanah perkuburan lanun

Oleh kerana pulau itu sangat disukai oleh para lanun dan menjadi rumah kedua mereka, sesiapa antara mereka yang mati akibat cedera atau sebab-sebab lain sering dikebumikan di situ. Kubur-kubur ini menjadi satu-satunya bukti kehadiran lanun di pulau itu.

Tapak perkuburan di Ile Sainte-Marie yang terletak di puncak bukit itu mempunyai sejumlah batu nisan yang ditandakan dengan simbol tengkoran dan tulang, kebanyakannya terletak di bawah teduhan pokok kelapa sawit. 

Legenda mengatakan bahawa William Kidd telah disemadikan di dalam makam hitam yang besar di pulau itu. Mengikut mitos, Kidd dikebumikan dalam keadaan berdiri tegak sebagai hukuman ke atas segala kejahatannya. Pada hakikatnya Kidd telah ditahan, dibicara dan dijatuhkan hukuman dan dikebumikan di England pada 23 Mei 1701.

william kidd dan harta karunnya

Kapal dan harta karun milik William Kidd dikatakan tertanam di sekitar pulau ini

Kapal Kidd pula sebaliknya terdampar di dasar laut berdekatan pulau itu. Sejak ia ditemui semula pada tahun 2000, ia telah menjadi salah satu tarikan pelancong yang berkunjung ke Ile Sainte-Marie.

Walaupun lanun-lanun tidak tinggal di pulau itu sejak sekian lama, perkuburan lanun Madagaskar dan pulau-pulau sekitarnya tetap menjadi lokasi popular bagi pengembara dan pelancong dari seluruh dunia yang ingin melawat sejarah unik dan kecantikan pulau itu.

Rujukan:

1. Atlas Obscura

2. Curiosity

3. Unusual Traveler




Hakcipta iluminasi.com (2017)