Statistik pengundi dalam pilihanraya di India memang menggerunkan : 900 juta orang, 83 juta pengundi kali pertama, 11 juta petugas pilihanraya, 4 juta mesin undian elektronik, 1 juta stesen dunian dan 570 tren perkhidmatan khas yang dijadualkan, untuk mengangkut pekerja dan petugas keselamatan di seluruh lokasi undian dibuka.
Tidak hairanlah India kerap digelarkan sebagai negara pengamal demokrasi terbesar di dunia, berikutan skalanya yang tidak dapat ditandingi negara lain.Abaikan sebentar dakwaan korupsi yang kerap dikatakan - kerana artikel ini memfokuskan pada nasib golongan pekerja dan petugas pilihanraya.
BESARKAN TEKS A- A+
Kisah pilihanraya di India bukan hanya sekadar bertumpu pada jumlah atau statistik yang besar dan gah, malahan turut sama terselit kisah bagaimana ratusan petugas pilihanraya India bersusah payah meredah perjalanan jauh, hanya untuk memastikan beberapa orang pengundi dapat mengundi - walau terpencil mana sekalipun kedudukan mereka.
Syarat pilihanraya India yang ketat
Suruhanjaya Pilihanraya India atau kami singkatkan sebagai SPRI sajalah ya, menetapkan setiap pengundi yang ada mestilah tidak perlu berjalan melebihi 2 km daripada rumah ke tempat pengundian, walau di mana saja mereka berada. Oleh sebab itu, SPRI terpaksa membuka pusat pengundian yang sangat terpencil seperti di Taman Negara Gujarat yang hanya mempunyai seorang pengundi yang berstatus Sami Hindu, tinggal di dalam hutan bersama sekumpulan singa.
Ada petugas pilihanraya yang perlu mendaki gunung bagi sampai ke sebuah kampung terpencil bernama Malogam yang terletak dalam daerah Arunacal Pradesh, di mana hanya seorang wanita bermastautin di dalamnya. Daerah tersebut juga menempatkan beberapa buah lagi pusat pengundian yang terletak di dalam hutan Himalaya, memerlukan petugas SPRI melalui perjalanan beronak ranjau dan duri.
Daerah yang bersempadan dengan negara Bhutan, Myanmar dan China itu menjadi antara destinasi SPRI paling sukar, memerlukan setiap petugas yang ditugaskan ke situ berada dalam keadaan fizikal terbaik mereka.
Perjalanan sukar bagi membantu pengundi
Setiap kali pilihanraya diadakan, petugas SPRI akan memulakan perjalanan mereka seminggu lebih awal sekiranya mereka ditugaskan ke kawasan-kawasan mencabar seperti Arunacal Pradesh. Perjalanan mereka biasanya dimulakan dengan menaiki kenderaan kereta atau jip sejauh 250 km, melalui kawasan-kawasan hutan di mana tiada fasiliti jalan raya wujud membantu menghubungkan pekan yang ada.
Sekiranya bernasib baik, mereka akan diterbangkan dengan bantuan helikopter milik tentera udara India ke kawasan bernama Vijoynagar. Sekiranya tiada bantuan tentera, petugas SPRI perlu melakukan perjalanan dengan berjalan kaki selama enam hari untuk sampai ke situ.
Tiba di Vijoynagar, petugas SPRI mungkin dibenarkan berehat sebentar sebelum memulakan perjalanan merentasi hutan tebal yang gelap, tanpa bantuan cahaya matahari akibat dilindungi pokok gergasi, bertemankan obor api dan lampu suluh serta bantuan petunjuk arah warga tempatan. Perjalanan selama 8 jam sejauh 12 km itu perlu dilakukan berhati-hati akibat ancaman gajah liar, sebelum mereka sampai ke pusat pengundian Gandhigram.
Berapa jumlah pengundi di Gandhigram? Hanya 242 orang.
Kisah-kisah begini amat biasa didengari di India setiap kali tiba waktu pilihanraya. Antara kisah lain yang menarik melibatkan sekumpulan petugas yang perlu memanjat gunung setinggi 4,327 m untuk mengumpulkan undian 12 orang pengundi. Ada antara petugas yang perlu mendaki berbekalkan tangki oksigen dek tekanan udara yang menyukarkan pernafasan.
Kisah berbeza bagi komuniti di lautan pula
Bagi komuniti yang hidup di kawasan pulau terpencil seperti di kepulauan Nicobar dan Andaman pula, kisah petugas SPRI hampir serupa namun cabarannya pula berbeza. Oleh kerana kedudukan mereka yang jauh daripada kawasan lain serta sukar untuk diakses, petugas SPRI perlu memulakan perjalanan mereka sambil membawa peralatan mereka merentasi lautan.
Perjalanan lebih 24 jam dengan menaiki beberapa jenis pengangkutan air berdasarkan keperluan dan lokasi, diakhiri dengan cabaran meredah sungai yang dipenuhi buaya dan ular berbisa. Semua peralatan mereka dibalut dengan plastik bagi memastikan ketahanannya dilindungi. Ada juga kumpulan petugas yang perlu terjun dari bot meredah air pada paras pinggang sambil menggendong peralatan mereka untuk tiba ke tebing sungai berikutan keadaan sungai yang tidak selamat untuk bot.
Semua usaha mereka adalah untuk memastikan 9 orang pengundi yang duduk jauh terpencil mengundi, dapat menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin negara.
Beginilah kisah petugas pilihanraya setiap kali tiba musim pilihanraya di negara India. Mereka yang tidak dikenali ini adalah wira sebenar masyarakat India yang sanggup mempertaruhkan nyawa bagi memastikan setiap suara rakyat India dapat sampai, dalam proses pilihanraya terbesar dunia.
Artikel ini adalah terjemahan semula artikel yang diterbitkan oleh The Washington Post pada 13 April 2019. Bagaimanapun, kami menyertakan pautan percuma menerusi ABC News sebagai rujukan.