Seringkali kita mendengar rungutan yang dikongsikan masyarakat setempat, berkenaan wakil-wakil rakyat serta ahli Parlimen yang gagal melangsungkan tugasnya.
Alasan yang kita dengari disebabkan beliau sibuk berulang-alik kerana lokasi di mana dia menjadi wakil rakyat terletak jauh; ada yang perlu merentas negeri. Sehinggakan wujud persepsi betapa bertuahnya penduduk setempat, apabila dilawati wakil rakyat - sedangkan itu adalah tugas hakikinya.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada hemat penulis, semuanya berpunca daripada isu pokok pemahaman rakyat Malaysia berkenaan sistem pilihanraya itu sendiri. Kita kerap memilih wakil rakyat dengan memangkah parti yang dia sertai.
Kurang kefahaman tentang peranan calon dipilih
Setiap kali pilihanraya, apakah faktor yang anda ambil kira dalam menentukan pihak mana yang akan anda pangkah? Kami yakin ramai yang akan menjawab mereka mengundi berdasarkan kepada parti.
Sentimen perjuangan parti dan gabungan parti menjadi faktor utama rakyat Malaysia mengundi, di mana kita melihat logo parti wakil rakyat yang akan kita pilih sama ada di peringkat ADUN atau Parlimen - sebelum kita melihat siapa wakil rakyat itu sendiri.
Persoalannya - semasa mengundi, adakah anda memangkah wakil rakyat atau 'wakil parti kepada rakyat?'
Realitinya, pilihanraya di Malaysia sebenarnya memerlukan pengundi mengundi wakil rakyat yang mereka percaya berkaliber serta berkemampuan membawa isu-isu setempat ke sidang DUN atau Dewan Rakyat.
Kita patut meletakkan kredibiliti wakil rakyat itu sendiri sebagai faktor utama pilihan kita, kerana dengan memilih parti; ramai rakyat Malaysia mengabaikan satu perkara penting.
Kita tak mengenali siapa wakil rakyat yang kita pilih. Sebab itulah sudah acapkali rakyat berdepan masalah di mana wakil rakyat tidak ditemui di kawasan selepas pilihanraya; kerana ada situasinya dia bukan berasal dari situ pun.
Dalam kes-kes ekstrim, ada juga wakil rakyat yang tak peduli pun tentang kawasan anda. Tetapi kerana nak bertanding pilihanraya - dia dinamakan di situ sebagai calon bagi memastikan dia ada kerusi untuk bertanding.
Kepentingan mengenali wakil rakyat
Penulis bukanlah mahu mengatakan faktor parti tidak penting, tetapi faktor utama yang perlu diambil kira pengundi adalah memilih calon yang memahami masalah setempat.
Bukankah itu tujuan sebenar wakil rakyat dan ahli Parlimen dilantik, agar mereka mampu menyelesaikan masalah penduduk setempat? Mereka juga perlu membawa permasalahan ini sehingga menemui solusi dalam bentuk perubahan dasar di peringkat pentadbiran.
Jadi amat menghairankan kenapa rakyat Malaysia masih membenarkan parti-parti politik memperkotak katikkan orang ramai, menganggap kerusi-kerusi yang dipertandingkan adalah hak mereka semata-mata; sehinggakan ada calon-calon bidan terjun dibenarkan bertanding di tempat yang tak pernah mereka singgahi.
Disebabkan itulah, amat penting untuk anda mengundi calon bukan parti - kerana selepas pilihanraya, calon anda itulah yang akan menentukan hala tuju ke mana suara anda akan dibawa.
Undilah ditempat tinggal anda, bukan di kampung
Satu lagi salah kefahaman kita tentang sistem pilihanraya negara kita sendiri adalah kesilapan kita untuk pulang memangkah di kampung, bukan tempat kita bermastautin.
Tidak ada sebab untuk kita meneruskan amalan tersebut, kerana dengan meneruskan amalan itu anda sebenarnya menafikan diri anda sendiri faedah kewujudan wakil rakyat dan ahli Parlimen. Anda juga menidakkan diri anda peluang untuk memilih orang yang anda yakini dapat memperbaiki atau menambah baik kawasan anda tinggal.
Apa faedahnya anda pulang ke kampung mengundi, sedangkan majoriti hari dalam 5 tahun tempoh kerajaan dibentuk, anda berada di kawasan lain di negeri lain? Dengan pulang mengundi di kampung, anda mengulangi kesilapan asas yang ramai lakukan dalam pilihanraya; tak mengenali siapa yang anda pangkah.
Besar kemungkinan anda akan memangkah berdasarkan emosi dan memangkah parti.
Kemudian anda akan melakukan perjalanan beberapa ratus kilometer, pulang ke tempat mastautin anda, membiarkan sahaja penduduk kampung menerima akibat daripada pilihan anda.
Satu soalan mudah - adakah wakil rakyat yang berkhidmat di mana anda menetap, wakil rakyat anda sekiranya anda memilih wakil rakyat di kampung anda?
Keutamaan sebenar - rakyat atau parti?
Dengan memperbetulkan tabiat kita mengundi memilih calon yang berkhidmat di kawasan anda tinggal, kemungkinan untuk anda mendapat wakil rakyat yang faham masalah anda akan menjadi lebih tinggi.
Sehingga kini, fokus terlalu tinggi yang diberikan kepada kepentingan parti dan gabungan parti telah pun menyebabkan parti-parti politik mengambil kesempatan ke atas kita; menjadikan perjuangan mereka sebagai 'perjuangan anda', sedangkan bukan semua antara kita adalah ahli parti politik.
Propaganda 'pilih parti' ini membolehkan parti mendapat undi mudah seterusnya mempunyai jalan memanipulasi sentimen pengundi yang rata-ratanya akan meletakkan perjuangan mereka, ketika memangkah.
Adakah tabiat undian ini sukar diubah? Ya, tidak dinafikan memang sukar.
Politik di Malaysia memang selama ini meletakkan hala tuju parti sebagai tunjang kepada penentuan arah undi, menjadi darah daging kepada sesetengah pengundi walaupun dia bukan sebahagian ahli rasmi parti.
Bagaimanapun dengan terus meletakkan perjuangan parti sebagai faktor utama ketika kita mengundi, kita terus menidakkan semua warga diperingkat bawahan daripada mempunyai wakil rakyat yang faham tanggungjawab beliau di peringkat asas iaitu mewakili suara rakyat setempat.
Kita sepatutnya mengundi wakil rakyat, wakil kita - bukan wakil parti. Hanya dengan mengamalkan perubahan ini barulah pengaruh parti politik kepada ideologi dan pemikiran masyarakat kita dapat dikurangkan.