Katak. 'Frog'. Itulahgelaran yang selalu diberikan kepada wakil rakyat di negara kita yang menukar parti, disebabkan oleh sebab-sebab tertentu.

Pada asasnya wakil rakyat melompat parti disebabkan oleh keinginan untuk merebut kuasa, sama ada berjaya dipujuk agar sesuatu bentuk kerajaan dapat dijatuhkan atau mungkin juga dapat dibentuk; bagi memenuhi kuota kerusi yang ditentukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah 'lompat parti' ini sesuatu yang norma atau satu amalan yang perlu dipandang sinis? Di manakah letaknya 'lompat parti' dalam undang-undang?

'Crossing the floor' dan 'Crossing the Carpet'

ilustrasi lompat kapal

Dari segi bahasa, definisi lompat parti adalah 'crossing the floor' atau 'menyeberangi lantai', secara metaforanya merujuk kepada tindakan seseorang wakil sama ada diperingkat DUN atau Parlimen (di Malaysia) menyatakan persetujuan untuk bergabung dengan pihak lawan.

Istilah 'crossing the floor' dipinjam daripada istilah yang digunakan dalam Parlimen United Kingdom, apabila pembahagian Dewan Chambers mereka telah ditetapkan dengan pihak wakil kerajaan eksklusif duduk di sebelah kanan, sementara kumpulan pembangkang di bahagian sebelah kiri - sama seperti negara kita.

Jadi pertukaran seorang wakil sama ada dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri dilabelkan sebagai 'crossing the floor' bagi memudahkan penjelasan apa yang berlaku.

Bagi kita, kita lebih gemar menggunakan istilah lompat parti. Namun istilah itu kurang tepat kerana seseorang itu masih boleh lompat parti tetapi kekal seperti biasa sama ada di bahagian kanan atau kiri Dewan Parlimen.

Definisi 'menyeberangi lantai' lebih sesuai digunakan bagi menggambarkan pergerakan wakil rakyat dari pihak pembangkang ke kerajaan dan sebaliknya.

Dalam situasi di mana seseorang wakil rakyat bertukar parti tetapi kekal sama ada dengan pihak kerajaan atau pembangkang dari awalnya, perbuatan itu diistilahkan sebagai 'carpet crossing' dalam Parlimen UK.

Terjemahannya - menyeberangi permaidani. Nak gelarkan 'menyeberangi tikar' agak kelakar bunyinya.

Cara lain 'menyeberangi lantai' ketika undian

parliment malaysia dewan rakyat

Selain bertukar pihak atau parti, seseorang wakil rakyat boleh juga dianggap telah menyeberangi lantai seandainya dalam undian yang dijalankan semasa sidang; dia memilih untuk menyokong pihak lawan.

Bagaimanapun, risiko melakukan tindakan sebegini rupa amat besar kepada wakil rakyat tersebut kerana dalam politik, kesetiaan kepada gabungan atau parti merupakan sesuatu yang sangat ditagih.

Dalam situasi tertentu seperti berlakunya perselisihan faham di antara gabungan parti sendiri atau pimpinan dalam kerajaan, kemungkinan untuk undian seperti ini berlaku menjadi lebih besar tetapi tidak ramai sanggup mengambil langkah sebegini melainkan dalam situasi yang kritikal - seperti pimpinan parti sudah hilang keyakinan ahlinya.

Ketika sidang parlimen, sebarang bentuk undian yang diberikan oleh ahli akan diawasi dan diselia oleh wakil yang dilantik sebagai Ketua Whip dibantu dua Timbalan Whip, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Whip yang dilantik mempunyai tugasan penting untuk meneliti perjalanan undian semasa sidang Dewan, merekodkan siapa yang hadir dan siapa tidak hadir. Yang paling penting, Whip bertugas untuk mengenalpasti siapakah di kalangan ahli mereka yang menyeberangi lantai dewan semasa undian.

Ada tak negara yang mengharamkan 'seberangi lantai'?

wanita lompat parti

Wujud bermacam cara negara-negara mengintepretasikan peraturan ini. Negara kita misalnya, tidak menghalang tindakan menyeberangi lantai secara rasmi, membenarkan mana-mana wakil rakyat atau ahli parlimen untuk 'lompat' pada bila-bila masa mengikut pilihan mereka.

Namun ada negara yang menghalang ahli parlimen mereka daripada bertindak mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil bebas atau berkecuali, kerana merancang untuk bertukar parti. Negara seperti India, Ghana, Kenya, Nigeria, Thailand, Kazakhstan dan beberapa negara lain tidak membenarkan wakil bebas memegang jawatan ahli parlimen.

Majoriti negara-negara yang mengamalkan peraturan sebegitu, meletakkan syarat seseorang ahli parlimen hanya boleh dianggap sebagai wakil bebas dan kekal ahli parlimen yang sah, disebabkan dia dipecat daripada parti akibat konflik; yang menjadikan beliau wakil bebas.

Di parlimen India, peraturannya walaupun tampak seimbang kerana menghalang pertukaran sesuka hati pihak di parlimen, tetap mempunyai kelemahan sendiri. Ahli parlimen India tidak dibenarkan untuk 'menyeberangi lantai' semasa mengundi dalam sidang, secara rasmi.

Sebarang bentuk undian yang menyebelahi pihak lawan perlulah dibuktikan mendapat kebenaran parti terlebih dahulu. Sekiranya dia gagal mengemukakan bukti dan gabungan yang diwakilinya melakukan aduan kepada Jawatankuasa Parlimen, wakil parlimen itu boleh dipecat daripada jawatan yang dipegang.

Tidak mengundi bagi menyokong usul gabungan sendiri juga dianggap satu kesalahan.

Sejarah lompat parti jiran kita

parlimen singapura bna74

Antara negara lain yang ketat menghalang tindakan menyeberangi lantai adalah jiran kita, Singapura.

Dalam artikel 46 perlembagaan negara mereka, ada dinyatakan bahawa seandainya seseorang itu tidak lagi menjadi ahli parti, sama ada secara sukarela atau dipecat daripada parti yang dia wakili semasa pilihanraya - individu itu hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.

Ini kerana kerajaan Singapura pernah menjadi mangsa 'lompat parti' pada tahun 1961 selepas 13 ahli parlimen mereka bertindak keluar parti PAP, membentuk Barisan Sosialis yang mengakibatkan majoriti yang dipegang PAP Ketika itu turun daripada 43 kepada 30, daripada 51 kerusi.

Beberapa lompatan baru serta kematian ahli parlimen PAP menyebabkan kerusi mereka turun kepada 25 kerusi menandakan kehilangan majoriti namun PAP kekal sebagai kerajaan.

Hanya selepas kemenangan besar pada pilihanraya tahun 1963 membolehkan PAP mengubah dasar ini, memperkenalkan undang-undang larangan menyeberangi lantai yang melucutkan jawatan wakil rakyat seandainya berlaku 'lompatan' lagi.

Halang undang-undang lompat parti namun..

singapore elections 2015 rally at hougang stadium

Walau demikian, bagi mengimbangi ketetapan ini Singapura melaksanakan undang-undang yang agak longgar dalam mengadakan pilihanraya semula.

Apabila seorang wakil rakyat meninggal dunia atau tidak lagi mewakili parti, tidak ada ketetapan untuk diadakan pilihanraya kecil bagi mengisi kekosongan tersebut.

Pihak yang mewakili kerajaan melalui kuasa Perdana Menteri boleh memilih sama ada perlu atau tidak jawatan yang dikosongkan itu diisi, berdasarkan kepada keperluan. Sekiranya ada pihak tidak berpuas hati, beliau perlu membawa kes itu ke mahkamah untuk dibicarakan.

Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh wakil yang tidak lagi berkhidmat, parti yang memenangi kerusi itu perlu bertanggungjawab melantik wakil pihak mereka bagi memastikan kebajikan kawasan itu terus terjaga.

Kekosongan ini kekal sehinggalah pilihanraya umum seterusnya atau kerajaan Singapura bersetuju untuk mengadakan pilihanraya kecil.

Jadi, penulis tinggalkan anda dengan satu persoalan : adakahaadakah mahu 'lompat parti' tidak lagi dibenarkan dan peraturan lain seperti di India dan Singapura diperkenalkan dalam mengimbangi kekangan itu; atau anda merasakan kelonggaran yang ada dalam sistem negara kita lebih membantu?

Rujukan

Committees and Commissions in India, 1947-73: 1971-73

Elected Member of Parliament not allowed to stay on as independent MP




Hakcipta iluminasi.com (2017)