Lagu-lagu bersifat patriotik biasanya mempunyai identiti unik yang membezakan lagu genre sebegini, dengan lagu-lagu berkategori lain.
Dalam era 'Malaysia Madani' di bawah pentadbiran kerajaan ketika ini, wujud usaha untuk menyegarkan lagu bersifat patriotik kepada satu tahap berbeza; bermula dengan perlantikan kumpulan pop punk Bunkface bukan saja sebagai artis bahkan komposernya.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun baik hasil karya yang dihasilkan, 'Malaysia Madani' karya Bunkface agak janggal untuk diangkat sebagai sebuah lagu patriotik utama di Malaysia? Kenapa? Berikut adalah lima hujah yang kami rasa kena dengan dakwaan kami.
1. Susah untuk dinyanyikan lapisan masyarakat
Seperti hasil karya patriotik lebih awal Bunkface iaitu lagu 'Kita Punya Malaysia', penggunaan lagu bersifat pop punk yang menjadi identiti teras Bunkface menjadikan kedua-dua karya yang terhasil hanya sesuai untuk anak muda.
Tidak dinafikan pengaruh anak muda dalam menentukan hala tuju masa depan politik negara adalah sangat besar, tetapi hendak tak hendak kita harus terima bahawa sebuah lagu patriotik yang baik, mampu dinyanyikan dengan mudah oleh setiap lapisan masyarakat.
Lagu 'Malaysia Madani' tidak mencerminkan keterbukaan ini, malahan jelas lebih ditujukan hanya untuk golongan muda semata-mata - mengakibatkan ramai yang memilih untuk menyisihkan saja lagu ini daripada halwa telinga mereka.
2. Sukar dinyanyikan secara minus one
Setiap lagu patriotik harus mempunyai satu sifat utama - mampu dinyanyikan sesiapa saja tanpa vokal di dalamnya. Dalam erti kata lain, sebuah lagu patriotik yang baik harus boleh dinyanyikan secara minus one dengan mudah.
Ini bererti melodinya juga harus mampu difahami dan dikenalpasti dengan mudah, meliputi golongan muda, usia pertengahan dan usia lanjut, membolehkan mereka mentafsir setiap detik lagu itu dan memadankannya dengan lirik yang ada.
Cuba anda nyanyikan lagu 'Malaysia Madani' tanpa kehadiran vokalnya. Sukar. Ini kerana lagu ini agak kompleks daripada segi susunannya. Nak tahu bila kita nak mula nyanyian pun susah.
3. Istilah 'Madani' yang bersifat pinjaman
Penggunaan istilah yang mudah difahami serta bersifat tidak asing di kalangan ahli masyarakat, merupakan elemen paling penting dalam pembentukan lagu patriotik yang berjaya.
Apa persamaan di antara judul-judul lagu patriotik ini; 'Sejahtera Malaysia', 'Tanah Pusaka', 'Malaysia Tanah Airku' atau lagu dendangan Fransesca Peters 'Setia'? Kesemuanya mempunyai judul yang jelas, bersifat am dan mampu difahami tanpa diperjelaskan sesiapa.
Penggunaan istilah 'madani' yang diambil daripada istilah Arab serta diperkenalkan Rasulullah saw. sebagai prisnip kota Madinah, memerlukan seseorang untuk mendapatkan kamus bagi memahami maksudnya.
Kekurangan ini jelas bukan berpunca daripada pilihan Bunkface sendiri, kerana konsep ini diperkenalkan oleh kerajaan dan Bunkface hanya mengolahnya semula. Namun bukan semua orang jelas apa maknanya. Akronim 'MADANI' yang diperkenalkan kerajaan pun jelas mengelirukan kita.
4. Tidak sesuai untuk kegunaan majlis rasmi
Sukar untuk penulis membayangkan hadirin sebuah majlis rasmi sama-sama menyanyikan lagu ini dengan baik.
Penggunaan bunyi gitar yang kuat, ketukan dram yang banyak break dalam melodinya serta stail nyanyian yang sukar diikuti menjadikan lagu rasmi 'Malaysia Madani' hanya sesuai untuk dinyanyikan oleh sebuah kugiran semasa persembahan.
Sebuah lagu patriotik yang berjaya haruslah memenuhi 3 syarat ini; boleh dinyanyikan dengan selesa semasa kita berdiri tegak, semasa kita sedang mengibarkan benda Malaysia mini ditangan dan dinyanyikan oleh koir.
5. Tak membuatkan kita rasa suara kita sedap
Satu perkara PALING PENTING dalam pengkaryaan sebuah karya patriotik yang baik, adalah keupayaan sesebuah lagu itu untuk membuatkan penyanyinya rasa suara dia sedap.
Kalau anda tak percaya, cuba anda nyanyikan semua lagu patriotik lama; pasti semasa anda menyanyikannya anda akan rasa timbul keyakinan suara anda sedap dan bertenaga walaupun realiti adalah sebaliknya.
Keupayaan menghasilkan keyakinan inilah sebenarnya yang membezakan sebuah lagu patriotik klasik dengan sebuah cubaan lagu patriotik yang akan dilupakan, seiring dengan masa.
Tak kiralah anda muda, tua, kurang upaya dan sebagainya sekalipun; sebuah lagu patriotik klasik akan mempunyai sifat penguat yang bersifat universal - membuatkan semua penyanyinya tahu mereka ada kelunakan suara sendiri.
Malangnya, sifat paling penting ini tidak ada dalam lagu 'Malaysia Madani' kerana melodi vokalnya tidak mempunyai keistimewaan yang ada pada lagu-lagu patriotik lama, termasuklah lagu 'Kita 1Malaysia' yang mungkin tidak lagi relevan - tapi tetap dilihat istimewa di sesetengah rakyat Malaysia.