Oleh pada 26 Sep 2022 kategori

Allahyarham Bob Lokman bagi mereka yang mengikuti karier seni beliau, sudah mengetahui sentuhan tangan dan imaginasinya sebagai penulis lirik, telah menghantui industri muzik kita.

Cicit kepada ulama' ternama dari Kelantan iaitu Tok Kenali dan bekas pelajar sekolah agama, Mohd. Hakim bin Lokman memilih untuk menceburi bidang seni walaupun legasi keluarganya lebih dekat dengan gerakan agama dan dakwah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bangkit jatuh arwah Bob dalam dunia seni menyaksikan dia telah menyumbang kepada lebih 350 penciptaan karya muzik, banyak layak dikatakan klasik.

Berikut adalah 10 karya nukilan Allahyarham Bob Lokman yang paling menyengat, kekal menjadi legasi beliau yang akan terus dikenang dan dimainkan berdekad lamanya.

1. Teacher's Pet - "Warisan Wanita Terakhir"

maman teachers pet

Lagu klasik dendangan vokali dari Singapura bernama Maman, lagu Teacher's Pet ini merupakan antara lagu kegemaran penulis sepanjang zaman.

Dengan melodi mudah hanya berfokuskan kepada suara nyaring vokalis Maman dan petikan gitar akustik, lagu ini menjadi antara trademark kepada kumpulan ini - memperkenalkan mereka kepada jutaan peminat muzik di Malaysia.

2. Search - "Isabella"

kumpulan search isabella

Tidak perlu lagi kami perkenalkan lagu ini kepada anda. 'Isabella' adalah sebuah fenomena muzik di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang jarang berlaku.

'Isabella' juga adalah karya anak tempatan yang mempunyai impak cukup besar dalam mempengaruhi perjalanan karyawan tempatan kita.

Lagu ini menginspirasikan filem kerjasama Indonesia-Malaysia, diterbitkan pada tahun 1990-an dengan judul sama - menampilkan vokalis kumpulan Search, Amy bergandingan dengan pelakon cantik Indonesia, Nia Zulkarnaen.

3. Search - "Teguh"

search teguh lagu bob lokman

Selepas kejayaan album 'Fenomena' yang didokong lagu popular Isabella, kumpulan Search memilih haluan berbeza cuba meminimakan lagu balada dalam album seterusnya yang diberi judul 'Karisma.'

Hanya dua lagu balada dimuatkan dalam album itu, salah satunya adalah lagu hits 'Teguh', ditulis oleh Allahyarham Bob Lokman berdasarkan pengalamannya sendiri, menceritakan tentang kealpaan seorang lelaki terhadap cinta pasangannya.

Anda pernah cuba menyanyikan lagu ini? Bagi penulis, lagu ini merupakan antara lagu paling mencabar kemampuan vokal Amy Search. 

4. Ella - "Kasih"

ella kasih bob lokman

Lagu ciptaan Ramli Sarip yang memaparkan nukilan lirik puitis Bob Lokman dan Hartinah Ahmad, merupakan antara lagu balada ratu rock negara Ella yang diingati.

Diterbitkan dalam album ketiga Ella 'Identiti', nyanyian serak-serak basah Ella membawakan tema persoalan tentang erti cinta yang dipaparkan dalam setiap bait lagu ini.

5. Hattan - "Memburu Rindu" dan "Rendang Tak Berbuah"

hattan lagu bob lokman

Ada dua buah lagu klasik dendangan vokalis Hattan yang ditulis Allahyarham Bob Lokman. Siapa yang tak tahu lagu 'Memburu Rindu' dan 'Rendang Tak Berbuah' mungkin tak pernah dengar radio.

Sukar untuk memilih manakah yang lebih baik antara keduanya. Penulis lebih gemar dengan 'Memburu Rindu' kerana lagu itu lebih dekat dengan hati penulis. Anda?

'Rendang Tak Berbuah' ditulis selepas Bob bercerai dan dalam keadaan lumpuh separuh badan akibat angin ahmar. Hattan menceritakan lagu itu selesai ditulis hanya dalam masa 45 minit. Power tak power bakat Allahyarham?

6. Ramli Sarip dan SM Salim - "Lagu Zaman"

dato ramli sarip lagu zaman sm salim 2

Kerjasama Allahyarham Bob Lokman bersama Dato' Ramli Sarip sering membawa kepada karya terbaik gabungan kedua-duanya.

Satu projek unik yang membawa Allahyarham keluar daripada genre slow rock adalah projek album 'Lagu Zaman' yang menjadi projek bersama Ramli Sarip dan Khadijah Ibrahim.

Bob Lokman menulis lirik bagi tiga buah lagu berentak tradisional, 'Zapin Berperi', 'Lagu Zaman' nyanyian bersama SM Salim dan 'Joget Manusia Moden', yang berjaya membawakan perspektif berbeza dalam karya popularnya.

7. Bumiputra Rockers - "Dendam Cinta Seusia Dunia"

kumpulan bpr dendam cinta seusia dunia

Lagu klasik yang akan ada dalam koleksi semua peminat sejati muzik rock kapak Melayu, 'Dendam Cinta Seusia Dunia' merupakan sebuah lagu lentok yang membuatkan pendengarnya bukan saja tangkap syahdu, bahkan terasa bersemangat untuk meneruskan hidup.

Campuran muzik yang dicipta Bumiputra Rockers sendiri yang mempunyai tempo berubah-ubah disokong kuat lirik berunsurkan kecewa nukilan Bob memang gemersik diperkuatkan suara vokalis BPR iaitu Joey dalam lagu ini yang memang menangkap jiwa.

8. Ekamatra - "Pusara Di Lebuhraya"

kumpulan ekamatra pusara di lebuhraya

Dalam banyak lagu nukilan Bob Lokman yang menimbulkan misteri selain 'Isabella' dan 'Taman Rashidah Utama', lagu dendangan Ekamatra ini mampu membuatkan anda tercari-cari makna sebenar dalam setiap bait katanya.

Lagu trademark kumpulan Ekamatra ini cukup sesuai untuk anda dengar ketika anda sedang dalam perjalanan jauh, melalui laluan yang tenang dan santai - kerana tona bunyinya cukup mesra dengan aksi memandu damai.

Jika anda nampak ada pusara di tepi lebuhraya, janganlah pula berhenti. Nanti kena saman atau takut-takut ada pula 'penumpang tambahan' dalam kereta anda.

9. Wings - "Taman Rashidah Utama"

aida aris taman rashidah utama

Di antara semua lirik nukilan Bob Lokman, lagu ini merupakan lagu yang paling kerap diceritakan latar belakangnya. Sejarahnya, Allahyarham Bob Lokman mendapat inspirasi mencoret lagu ini ketika meminati seorang gadis yang duduk di Taman Rashidah Utama, Seremban - namun hasrat hati beliau tidak bersambut.

Gadis yang dijadikan intipati karya klasik dendangan kumpulan Wings ini adalah pelakon jelita Aida Aris. Jika kami pun ada peluang berkenalan dengan Aida Aris ketika muda, mungkin kami pun akan menulis lagu untuk ditujukan kepada dia. Seandainya anda ada bakat menulis dan tahu di mana gadis yang diminati anda tinggal, apa lagi anda tunggu? Mana tahu, karya anda itu boleh jadi lagu klasik?

10. Nash - "Pada Syurga Di Wajahmu"

nash pada syurga di wajahmu

Seandainya anda tanya penulis mana satu karya Allahyarham Bob Lokman yang boleh dikatakan terbaik bagi penulis, lagu dendangan Nash vokalis kumpulan Lefthanded ketika bergerak solo adalah pilihan penulis.

Apatah lagi selepas penulis mendirikan rumah tangga dan merasai sendiri naik turun kehidupan bersama, cuba membesarkan anak dan mengharungi masam manis ada isteri.

Semua suami patut mendengar lagu ini tatkala ada timbul rasa kurang puas hati dengan isteri atau ada teringin nak pasang lain, dek kekurangan isteri pada mata kita.

Melodi cantik Fauzi Marzuki yang dilengkapkan dengan lirik berunsurkan dakwah secara tersirat ini cukup klasik dan kami yakin akan kekal relevan, selagi mana manusia masih menghargai idea seorang suami perlu berkorban untuk kebahagiaan rumahtangga.




Hakcipta iluminasi.com (2017)