Sekiranya anda ingin mendengar pujian terhadap hasil seni Leonardo da Vinci (1452 - 1519) iaitu Mona Lisa, sangat mudah. Pencahayaan sempurna, bayang-bayang yang tepat, senyuman manis, mata yang mengekori subjek, hasil seni terbaik sepanjang zaman, itu antara pujian yang diberikan terhadap lukisan Mona Lisa. Bagi sesetengah individu, Mona Lisa adalah sebuah lukisan yang menarik, namun bukanlah hasil seni yang boleh memukau jiwa. Ianya terlalu diangkat dan disanjung, menjadi 'overrated'. Sekiranya anda bersetuju dengan kenyataan ini, teruskan membaca untuk mengetahui kisah bagaimana Mona Lisa boleh menjadi terkenal di seluruh dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Mengapa Mona Lisa bergitu popular? Adakah ianya lebih baik berbanding lukisan Lady with Ermine oleh da Vinci? Mungkin ya, mungkin tidak. Menurut pengarah The Louvre, iaitu sebuah muzium terkenal di Paris, Perancis di mana Mona Lisa disimpan, hampir 80 peratus pengunjung muzium tersebut datang ke sana semata-mata untuk melihat lukisan tersebut.
Peranan Walter Peter Yang Mengagungkan Potret Mona Lisa
Sekiranya anda rasa Mona Lisa terkenal bukan kerana ianya 10 kali lebih menarik berbanding lain-lain lukisan, kisahnya menceritakan sesuatu yang lebih menakjubkan, bagaimana seni berjaya memecahkan budaya yang lebih luas. Lukisan tersebut mungkin jarang dikenali hari ini sekiranya ia tidak pernah dicuri suatu ketika dahulu.
Sebelum Mona Lisa menjadi tumpuan ramai, sebelum ianya hilang, seorang pengkritik seni, Walter Peter telah menjadikan hasil seni tersebut sesuatu yang bernilai. Berasa sangat kagum dengan Mona Lisa, beliau menjadi lukisan tersebut sebuah karya agung. Buku hasil penulisan beliau, iaitu The Renaissance adalah kuncinya.
Buku tersebut mula diterbitkan selepas lebih 350 tahun da Vinci menghasilkan karya Mona Lisa. The Renaissance memainkan peranan penting dalam memberi definisi kepada Victorian (merujuk kepada masyarakat British antara tahun 1837 hingga 1901). Pada zaman tersebut, masih belum wujud teknologi mengambil mahupun mencetak gambar, jadi untuk melihat sesuatu lukisan atau hasil seni, seseorang perlu melihat secara terus di depan mata. Alternatif lain, melalui keterangan terperinci melalui buku seperti The Renaissance. Dan pembaca perlu berimaginasi membayangkan hasil seni tersebut.
Berikut adalah antara ayat-ayat yang ditulis oleh Walter bagi menggambarkan Mona Lisa:
"The animalism of Greece"
"She is older than the rock among which she sits; like the vampire, she has been dead many times..."
Buat masyarakat British, ayat-ayat seperti ini adalah antara gaya penulisan yang sangat unik sepanjang zaman, dan Victorian sukakannya. Oscar Wilde, seorang penyair Ireland terkenal zaman Victoria berpendapat penulisan seperti ini adalah sangat hebat. Beliau memuji 'ayat mistik yang bermuzik' itu. Setiap profil The Louvre akan menggunakan ayat-ayat Walter untuk berbicara tentang Mona Lisa.
Reputasi Mona Lisa Semakin Meningkat
Para pengkritik lain turut bersama menyertai Walter, mengatakan bahawa Mona Lisa adalah unik, sebuah lukisan sekular yang perlu mereka lakukan analisis terperinci untuk memahaminya, tidak seperti lukisan Last Supper oleh da Vinci, yang mana mereka bolehkan berikan maksudnya secara mudah.
Pada kemuncak popularitinya suatu ketika dahulu, Mona Lisa adalah hasil seni yang sudah terkenal, namun bukanlah yang paling terkenal sepanjang zaman seperti hari ini. Pada tahun 1907, seorang lelaki telah melakukan vandalisme terhadap lukisan oleh Ingres (1780 - 1867), dan bukannya da Vinci. Dan 3 tahun berikutnya, berlaku khabar angin bahawa karya da Vinci telah dicuri, dan akhbar menggelar Mona Lisa sebagai lukisan kedua paling terkenal di The Louvre, selepas Sistine Madonna karya agung Raphael (1483 - 1520).
Mona Lisa Dicuri Oleh Seorang Bekas Pekerja Muzium
Gambar di atas memaparkan mugshot Vincenzo Peruggia. Pada 21 Ogos 1911, bekas pekerja di The Louvre itu telah mencabut lukisan Mona Lisa daripada dinding muzium, dan membawanya pulang ke rumah. Pihak The Louvre tidak menyedari akan hal tersebut, dan zaman itu belum terciptanya CCTV. Jadi, mustahil untuk mereka mengetahui siapa pencurinya tanpa seorang pun saksi.
Lukisan tersebut hilang selama 2 tahun, dan setiap kali berbicara tentang kehilangan Mona Lisa, pihak media (akhbar) akan memetik ayat-ayat Walter, memanggil lukisan tersebut sebagai potret terbaik yang pernah dihasilkan. Mereka melakukan spekulasi bahawa senyuman Mona Lisa telah membuatkan pencuri tersebut geram, malah mereka turut menghasilkan kisah fiksyen tentang pencuri karya seni terbabit, dan mereka kerap kali cuba meneka lokasi lukisan Mona Lisa.
Ribuan pengunjung hadir ke The Louvre semata-mata untuk melihat penyangkut kosong tanpa lukisan Mona Lisa di dinding. Pencurian dan pencarian Mona Lisa selama 2 tahun ibarat kempen pemasaran percuma buat lukisan tersebut. Disebabkan Google belum tercipta untuk orang ramai membuat carian 'Mona Lisa sebelum dicuri', sukar untuk mereka melihat lukisan tersebut dan seraya berkata, "Apa yang best sangat tentang Mona Lisa ni?"
Apabila Peruggia ditangkap, dia berkata bahawa motif utamanya mencuri karya itu adalah untuk membawa Mona Lisa balik ke tempat asalnya di Itali. Sehingga waktu itu, Mona Lisa menjadi lukisan paling terkenal di dunia, sebahagian daripadanya adalah kerana kehilangannya. Sebagaimana pengkritik boleh menulis ayat-ayat puitis tentang Mona Lisa bagi menggambarkannya, pihak media pula boleh menaikkan reputasi karya tersebut dengan laporan tentang kehilangannya.
Kehilangan Mona Lisa Mengangkat Statusnya Menjadi Sebuah Karya Agung
Sebelum Mona Lisa dicuri, ianya hanyalah sebuah karya biasa. Selepas penemuannya semula, dan tour selama 2 minggu di Florence, Itali, lukisan tersebut dibawa pulang ke The Louvre dengan reputasi yang lebih besar, lebih daripada sekadar hasil seni. Mona Lisa membawa sebuah kisah lagenda, dan dipaparkan sebagai figura penting di dada-dada akhbar di seluruh dunia selepas penemuannya.
Ianya adalah sebuah pendedahan yang besar selepas 2 tahun ketiadaannya. Sejak dari itu, Mona Lisa kerap disebut-sebut, malah turut dimasukkan ke dalam ucapan pemimpin-pemimpin dunia, dan adakala dijadikan parodi. Momentum tersebut tidak pernah terhenti, sehingga ke hari ini.
Mona Lisa bukanlah sebuah potret semata-mata, namun sebuah lukisan kosong, tempat untuk para pengkritik untuk melakarkan makna, untuk orang ramai mencari misteri. Atas sebab inilah Mona Lisa sangat terkenal, bukan kerana cara ia dilukis, namun apa yang kita nampak tentangnya. Sekiranya itu bukan seni, apakah ia?
PS: Apapun pada pendapat penulis, potret Mona Lisa masih overrated!
Rujukan & Bacaan Tambahan: