Sebelum ini Iluminasi pernah menerbitkan satu artikel mengenai Salvator Mundi : Lukisan Nabi Isa Berharga RM1.84 Billion Paling Mahal Di Dunia. Lukisan termahal yang dijual pada 15 November 2017 di New York itu kini dipersoal hanya beberapa bulan setelah terjual.

Lukisan berharga RM 1.84 Billion yang dipercayai sebagai salah satu karya teragung Leonardo da Vinci itu kini menjadi persoalan apabila Dr. Matthew Landrus, seorang penyelidik di Universiti Oxford dan juga pakar bagi hasil karya da Vinci, mendakwa pelukis agung itu sebenarnya menyumbang hanya 20% sahaja kerja kepada lukisan itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Landrus memberitahu CNN bahawa ia sememangnya lukisan da Vinci akan tetapi dengan bantuan penolongnya iaitu Bernardino Luini. Landrus menambah lagi, dia berpendapat gaya lukisan Luini nyata terserlah di dalam lukisan Salvator Mundi.

leonardo da vinci 916

Luini adalah seorang pelukis dari utara Italy yang lahir pada 1480 dan merupakan pembantu studio da Vinci yang juga melukis dengan gaya yang sama dengan gurunya itu. Luini yang juga seorang pelukis sering menjadikan lukisan berkisarkan Kristian sebagai subjeknya. Salah satu lukisannya iaitu "The Madonna and Child with Saint George and an angel" telah dilelong baru-baru ini di London dengan harga sekitar RM 900,000.

Landrus sudah dua kali melihat lukisan Salvator Mundi dari jarak dekat dan telah mengkaji lukisan itu menggunakan teknologi imbasan resolusi tinggi, begitu yakin tentang peranan penting Luini di dalam lukisan itu.

lelongan salvator mundi

Ketika ditemu ramah The Guardian, Landrus berkata "melihat kepada beberapa hasil kerja lukisan yang dihasilkan oleh pelajar da Vinci, anda akan mendapati lukisan Luini adalah sama seperti yang terdapat di dalam lukisan Salvator Mundi."

Lukisan yang memaparkan gambar Jesus atau Nabi Isa sedang memberi restu sambil memegang bebola kristal itu kini berada di dalam simpanan Jabatan Kebudayaan dan Perlancongan Abu Dhabi. Ia akan dipamerkan di The Louvre Abu Dhabi pada September ini sebelum ia dihantar ke pameran Leonardo da Vinci di The Lourve di Paris pada tahun 2019.

Tambah Landrus kepada CNN lagi, hasil kerja Luini yang paling mudah dikesan ialah pada kain, jubah dan tali Jesus di dalam lukisan itu. Walaupun begitu, Landrus memastikan adalah penting untuknya menyatakan bukan kesemuanya adalah sentuhan Luini.

pameran da vinci

Dia percaya bahawa da Vinci telah menyiapkan lukisan ini apabila tanda-tanda pada tangan, muka, bebola kristal dan juga kehalusan campuran warna dan tona pada lukisan ini adalah bukti hasil kerja da Vinci. Landrus berkata kerjasama di antara seorang artis dan pembantunya adalah perkara biasa pada zaman itu.

Ini bukanlah pertama kali lukisan ini dikaitkan dengan Luini. Pada tahun 1900 apabila lukisan ini muncul semula setelah hilang selama 200 tahun, Sir Charles Robinson telah mengaitkan lukisan ini dengan hasil kerja Luini. Walau bagaimanapun, pakar penilai dengan teknologi terhad pada waktu itu berpendapat sebaliknya.

Ada beberapa orang pakar yang bersetuju dengan dakwaan Landrus dan menyoal lukisan itu. Namun, ada juga yang masih percaya ia adalah hasil kerja sebenar da Vinci. Perdebatan ini sudahpun berlangsung selama lebih dari 100 tahun dan mungkin akan berterusan untuk satu jangka masa yang panjang lagi.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)