Bercakap tentang karya seni - ada kalanya makna yang cuba diketengahkan pengkaryanya, terpampang jelas di depan mata.

Ada juga karya yang terhasil, memerlukan kita berfikir sejenak sebelum dapat membaca apa yang bermain diminda perekanya, mendalami maksud tersirat dan tujuan penghasilannya.

Namun ada juga jenis-jenis karya yang kita tak tahu apa sebenarnya 'seninya' tetapi bagi mereka yang mengakui mereka 'tahu', ada yang sanggup membayar berjuta-juta nilainya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima karya paling mahal pernah dijual tetapi besar kemungkinan hanya akan membuatkan majoriti kita orang biasa terpinga-pinga melihat apa nilainya.

1. "Comedian"

comedian pisang lekat di dinding

"Comedian" adalah siri tiga 'karya' seni serupa, di mana sebiji pisang yang baru masak dilekatkan pada dinding dengan pita, dihasilkan oleh pengkarya Itali bernama Maurizio Cattelan.

Walaupun Cattelan sebelum itu sudah terkenal dengan karya-karya uniknya yang seringkali dipersoalkan nilainya, pihak-pihak pencinta seni mengkritik karya yang terhasil - kerana bagi mereka, "Comedian" tidak ada nilai.

Ia hanyalah sebiji pisang yang dilekatkan pada dinding! Kritikan itu tetap tidak menghalang dua daripada karya tersebut dijual pada harga RM495 ribu, setiap satu.

Karya ketiga pula dimakan oleh seorang artis persembahan bernama David Datuna semasa karya itu sedang dilelongkan.

Semasa Datuna memakan pisang tersebut, harganya sedang mencecah RM618 ribu dan Datuna menyifatkan apa yang dia lakukan, adalah seni persembahan. Dia tidak mahu meminta maaf kerana apa yang dia lakukan adalah karya miliknya.

2. "Untitled"

tulisan fool dijual mahal

Dihasilkan pada tahun 1990 namun hanya mula dibuka untuk lelongan pada tahun 1995, "Untitled" merupakan antara karya paling terkenal pernah dihasilkan artis Christopher Wool.

Karya yang memaparkan cetakan huruf bertulis "FOOL" atau "si dungu" ini dipamerkan untuk tatapan ramai sebelum dibeli pengumpul karya, bertukar-tukar tangan beberapa kali sehinggalah dibuka kembali untuk lelongan pada tahun 2014.

Dalam lelongan tersebut, "Untitled" yang pada awalnya diramalkan mampu dilelong sehingga mencecah harga diantara RM16 juta ke RM22.6 juta, menerima bidaan melangkaui jangkaan.

"Untitled" selamat dijual kepada pemilik barunya pada nilai RM31.7 juta.

3. "Untitled (New York City)"

cy twombly untitled new york city 1968

Cy Twombly adalah seorang artis terkenal sebagai pelukis karya abstrak yang gemar menggunakan kaedah contengan rawak dan garisan-garisan berulang, dalam penghasilan karyanya.

Lahir pada tahun 1928, karya Twombly paling terkenal adalah satu lukisan tidak berjudul yang dinamakan sebagai "Untitled (New York City)" oleh pengumpul seni yang dihasilkan pada tahun 1968, menggunakan cat minyak dan krayon dilakar atas kanvas.

Lukisan ini dilelong pada tahun 2014 di Los Angeles oleh pemiliknya, mengakibatkan perang bidaan berlaku. Pemenang bidaan itu menang acara dengan bidaan RM290 juta.

4. "Onement VI"

lelongan onement jutaan ringgit

Dihasilkan pada tahun 1953, Barnett Newman merupakan seorang pengkarya yang mempunyai identiti serupa dalam lukisannya - dengan penghasilan garisan lurus menegak menjadi sempadan karyanya.

Newman menghasilkan satu siri karya yang dinamakan sebagai "Onement' merangkumi enam buah lukisan berbeza dengan "Onement VI" menjadi rebutan pengumpul karya seni, berikutan statusnya sebagai lukisan terakhir dalam siri tersebut.

Dibuka untuk lelongan pada tahun 2013 selepas pemiliknya sejak tahun 2000 iaitu Paul Allen, salah seorang pengasas Microsoft berhasrat mahu menjualnya, "Onement VI" yang mempunyai saiz sebesar 259 x 305 sentimeter (8 kaki setengah x 10 kaki) selamat dilelong pada nilai RM177 juta.

5. "Merda d'artista"

piero manzoni karya tahi

'Merda d'artista' atau 'Tahi Artis' adalah karya yang dihasilkan oleh seorang pengkarya Itali bernama Piero Manzoni, pada tahun 1961 semasa dia menetap di Milan.

Dia mengetinkan 30 gram tahi yang dihasilkannya setiap hari ke dalam 90 buah tin, setiap satu dilabelkan dengan nombor siri dari 1 ke 90. Semua tin dilabelkan dengan label tri-bahasa, merangkumi bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.

Jualan terawal berjaya dibuat secara transaksi barter, di mana pembelinya membayar satu tin itu dengan bayaran 30 gram emas 18 karat. Beberapa tin berikutnya dijual di antara harga RM270 ribu ke RM1.35 juta.

Tidak diketahui berapa jumlah sebenar tin tahi itu berjaya dijual setakat ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)