Oleh pada 13 Jul 2018 kategori

Asiyah binti Mazaahim, adalah salah seorang isteri kepada Firaun yang menentang Nabi Musa A.S.. Dia bukanlah seorang wanita biasa, tidak pernah membiarkan dirinya ditentukan atau terhalang oleh perjalanan kehidupan yang menyakitkan. Sebaliknya, dia berani mempertahankan kepercayaan dalam dirinya, dan sanggup mati kerananya. Dia adalah seorang wanita Islam yang sejati. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Atas sebab inilah Nabi Muhammad S.A.W. pernah menyebut tentang Asiyah sebagai wanita teragung sepanjang zaman. Pada suatu hari, Rasulullah berkata:

Banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan tetapi tidak (ramai) daripada kalangan wanita yang telah mencapai kesempunaan kecuali Maryam binti Imran dan Asyiah isteri Firaun. - (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Kisah Bagaimana Bayi Musa Diselamatkan Oleh Allah S.W.T.

bayi musa diselamatkan asiya

Kisah Asiyah bermula di Mesir, di mana dia tinggal bersama suaminya, seorang Firaun (Raja Mesir) yang terkenal dengan pemerintahannya yang kejam, dan dikenali sepanjang zaman. Selepas diberitahu oleh seorang penilik nasib bahawa dia akan dijatuhkan oleh seorang anak Israel, Firaun serta merta mengarahkan tenteranya untuk membunuh semua bayi lelaki yang dilahirkan.

Kitab suci Al-Quran ada menyebut tentang keperitan hidup anak-anak Israel seperti berikut:

Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu. (Al-Baqarah 2:49)

Jadi apabila Nabi Musa A.S. dilahirkan, ibu baginda risau akan kehidupannya kelak, kerana jantinanya sebagai seorang bayi lelaki. Namun, perancangan Allah itu lebih baik. Allah memberi jaminan kepada ibunya bahawa Nabi Musa A.S. akan selamat, dan mengarahkan ibu baginda untuk meletakkan bayi lelakinya itu ke dalam bakul dan diletakkan di Sungai Nil.

mumia ramses ii zaman nabi musa

Al-Quran menyebut:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami. (Al-Qasas 28:7)

Dan seperti yang dijanjikan oleh Allah, Nabi Musa A.S. yang masih bayi akhirnya ditemui oleh Asiyah, yang meyakinkan suaminya itu agar bayi lelaki berkenaan tidak dibunuh, dan dijadikan sebagai anak mereka, seperti yang disebut di dalam Al-Quran:

Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah. (Al-Qasas 28:8)

Pertama kali bertemu dengan bayi Musa, Asiyah berasa terdapat ikatan dan perasaan kasih sayang yang kuat antara dia dengan bayi lelaki tersebut, memandangkan dia tidak mempunyai zuriatnya sendiri. 

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya). (Al-Qasas 28:9)

Siapa sangka, perancangan Allah itu sungguh hebat. Nabi Musa A.S., lelaki yang paling ditakuti oleh Firaun pada zaman itu, membesar di dalam kediamannya sendiri, dijaga dan dididik oleh isterinya. Ibu kandung Nabi Musa A.S. juga akhirnya berpeluang menjaga anaknya itu, bekerja di samping Asiyah bagi menjaga bayi Musa. Asiyah tidak mengetahui bahawa wanita tersebut adalah ibu kandung kepada Nabi Musa A.S.. 

Kisah Pengorbanan Seorang Pendandan Rambut di Istana Firaun

kisah firaun dan pendandan rambut

Asiyah menyayangi Nabi Musa A.S. ibarat anaknya sendiri. Apabila baginda mula menyampaikan dakwah tentang Keesaan Allah, Tuhan yang satu, Asiyah mempercayai dan beriman dengan sepenuh hati. Dia sendiri menyaksikan mukjizat Nabi Musa A.S. di dalam istana Firaun, dan turut melihat bagaimana ahli-ahli sihir Firaun ditewaskan baginda, yang mana mereka turut mengakui tentang Keesaan Allah. 

Walaubagaimanapun, menjadi isteri kepada seorang Firaun yang kejam, yang mengangkat dirinya sendiri sebagai Tuhan, Asiyah terpaksa merahsiakan keimanannya itu.

Pada suatu hari, anak perempuan Firaun (daripada isteri lain) terdengar pendandan rambutnya menyebut 'Bismillah' yang membawa maksud 'dengan nama Allah'. Terdengar ucapan tersebut, anak gadis itu melaporkan hal tersebut kepada Firaun. Firaun dengan segera menangkap pendandan rambut itu dan keluarganya. Seorang demi seorang anaknya dihumban ke dalam lubang dipenuhi dengan tembaga yang menyala dengan api.

Akhirnya, tiba giliran pendandan rambut itu, bersama bayinya yang digendong. Pada saat itu, dia berasa sedikit ragu-ragu untuk membiarkan bayinya dihumban. Namun, suatu keajaiban berlaku di mana bayi itu dapat berkata-kata. Bayi itu berkata bahawa seksaan dunia yang dihadapi mereka pada saat itu tiada apa-apa jika dibandingkan dengan hukuman di akhirat kelak. Yakin dengan apa yang terjadi, dia akhirnya mengorbankan diri bersama bayinya.

Asiyah Mendedahkan Secara Terbuka Tentang Keimanannya Kepada Allah

asiya beriman kepada allah

Melihat keberanian pembantunya itu, Asiyah akhirnya memberanikan diri untuk berdepan dengan suaminya yang kejam. Dia mendedahkan tentang keimanannya kepada Allah, menolak Firaun sebagai Tuhan, dan berkata bahawa dia tidak kisah apa akan terjadi kepada dirinya kelak. Terkejut dengan pendedahan tersebut, Firaun mengarahkan tenteranya untuk menyeksa Asiyah di padang pasir, membiarkan dia kelaparan, dan menanggalkan pakaiannya. 

Beliau diseksa dengan teruk, namun keimanannya langsung tidak goyah. Firaun mengarahkan tenteranya untuk mencari sebuah batu besar. Sekiranya Asiyah berkeras dengan pendiriannya yang enggan mengaku Firaun sebagai Tuhan, maka batu tersebut akan dilontar kepadanya sehingga dia meninggal dunia. Jika tidak, nyawanya di dunia ini akan terselamat. Pengakhiran kisah Asiyah, dia meninggal dunia masih dengan pendiriannya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. 

Kesimpulan

asiya isteri firaun

Semoga pengorbanan Asiyah bint Mazaahim akan menempatkan dia di syurga kelak. Berikut adalah kata-kata isteri Firaun yang disebut di dalam Al-Quran:

Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. (At-Tahriim 66:11)

Sedangkan Asiyah seorang Ratu di samping Firaun pun beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa sehingga sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, maka kita sebagai orang biasa harus turut beriman dengan teguh kepada Allah. Asiyah pernah hidup dengan kemewahan yang tidak dapat kita bayangkan, namun dia tahu bahawa kekayaan dunia tidak kekal berbanding pengakhiran di akhirat kelak. 

Sumber:

  1. islamhashtag.com
  2. whyislam.org
  3. aboutislam.net



Hakcipta iluminasi.com (2017)