Adalah amat menyedihkan melihat nama Jeneral Bai Chongxi, salah seorang panglima perang China ketika zaman peperangan melawan Jepun pada era 1937 sehingga 1945 dilupakan. Beliau merupakan bukti bagaimana seorang individu China boleh memiliki semangat kebangsaan bak seorang patriot sejati dan pada masa yang sama, memilih hidup sebagai seorang Muslim yang baik.
BESARKAN TEKS A- A+
Dikenali sebagai seorang panglima yang keras, Chongxi juga kerap berusaha mewujudkan reformasi pendidikan bagi membolehkan komuniti Cina Muslim di negaranya dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.
Terkenal atas sumbangannya sebagai seorang komander Kuomintang, Bai Chongxi terlibat dalam banyak operasi menggempur markas-markas komunis. Hasil usaha beliau menyatukan negara mereka di bawah pemerintahan Chiang Kai-Shek, Chongxi merupakan pemimpin Muslim paling disegani serta membawa suara komuniti minoriti Hui, kumpulan masyarakat sebesar 10 juta orang yang beragama Islam.
Pembukaan China Islamic National Salvation Federation semasa era beliau, membantu penyertaan orang-orang Muslim ke dalam pasukan tentera China dalam perang melawan Jepun, jauh berbeza dengan apa yang berlaku di China ketika ini.
Pemerintahan baru yang anti Islam
China ketika ini dipercayai mempunyai perancangan 5 tahun dalam menghilangkan pengaruh Islam, di negara mereka. Komuniti Hui yang satu ketika dulu rapat dengan kerajaan, mula melihat sekolah swasta yang mengajar bahasa Arab di Ningxia dan Gansu ditutup. Masjid-masjid mula diserbu dan kubah-kubah masjid diturunkan.
Daerah Gansu serta 6 daerah lain tidak lagi dibenarkan mewujudkan garis panduan makanan halal, dengan alasan garis panduan seperti itu akan menyebabkan fahaman ekstrimis menular.
Apa yang pasti, komuniti Hui pernah berdepan masalah serupa sebelum ini sekitar abad ke 13 apabila Kublai Khan, yang berjaya menawan China ketika itu - mengharamkan budaya Islam serta amalan pemakanan halal.
Semasa era dinasti Ching pada abad ke 18, komuniti Cina yang beragama Islam juga dituduh melakukan huru-hara, bagi mencetuskan ketegangan di kalangan masyarakat. Dakwaan itu menyebabkan orang Islam berhadapan sekatan dan pemeriksaan setiap kali keluar rumah, sesiapa yang didapati menyimpan sebarang bentuk senjata akan dikenakan hukuman jenayah.
Oleh kerana undang-undang ketat serta kawalan diperkenalkan bagi mengawal komuniti Muslim, pemberontakan akhirnya tercetus dan kesannya masih dirasai sehingga kini.
Dekatnya komuniti Hui dengan Islam
Apa yang menarik tentang komuniti Hui ini, selepas Islam mula diterima masyarakat mereka - wujud banyak usaha pemimpin tempatan Hui untuk memudahkan asimilasi agama Islam dengan sistem pemerintahan kerajaan mereka.
Sebuah kitab yang digelarkan sebagai 'kitab orang Han' cuba menyatukan ajaran Confucius dan juga Islam, mendidik orang Muslim agar menghormati sistem pemerintahan dinasti yang ada, melindungi masyarakat serta menjaga tata susila masing-masing. Selain daripada menerima Allah swt. sebagai Tuhan Yang Maha Esa, orang Hui juga berikrar akan menghormati mana-mana pemerintah China walaupun tidak seagama mereka.
Pada awal abad ke 20, seorang sasterawan Hui bernama Wang Jingzhai pula mengadakan kempen dengan menggantung hasil tulisan beliau di masjid-masjid yang tertulis 'aiguo aijiao' atau 'menyayangi negara kita samalah seperti menyayangi Islam', selepas beliau menamatkan pengajian beliau di Mekah.
Usaha itu dilihat sebagai satu usaha baik menyatukan unsur-unsur semangat kebangsaan dan juga prinsip yang ada dalam agama Islam, bagi memperkuatkan lagi masyarakat Hui di China.
Legasi Bai Chongxi yang semakin dilupakan
Waris kepada Jeneral Bai Chongxi masih lagi boleh ditemui di kawasan-kawasan desa sekitar Guilin. Bagaimanapun, tidak ramai yang berani menceritakan tentang sejarah nenek moyang mereka ini kepada generasi-generasi muda, dikhuatiri akan berdepan dengan tekanan kerajaan. Apatah lagi apabila mereka turut mewarisi nama keluarga 'Bai' sepanjang hidup mereka.
Bagaimanapun, kisah berkenaan Jeneral Bai Chongxi masih boleh didengari sekiranya kita tahu dengan siapa patut ditanyakan. Di sebuah masjid berusia lebih seratus tahun, seorang Imam bernama Wang Yisehakai memuji Jeneral Bai sebagai seorang yang alim, tidak lupa solat semasa perang.
Bagaimanapun, Imam Wang tidak dapat lari daripada menyuarakan kekecewaannya melihat bagaimana komuniti Muslim Hui semakin melupakan agama Islam dalam kehidupan mereka. Generasi muda juga dilihat tidak lagi berpegang teguh dengan pendirian Jeneral Bai, yang secara terbuka mahu orang Muslim menyayangi negara mereka.
Omar Bai Chongxi ketika muda
Omar Bai Chongxi bersama rakan
Jeneral Omar Bai Chongxi ketika berusia. Kredit foto Wikipedia
Mungkin kerana tekanan yang diterima mereka daripada kerajaan China yang ketika ini, tidak lagi berselindung mahu meranapkan elemen-elemen Islam dalam kehidupan masyarakat mereka.
Amat menyedihkan sekali melihat sekali melihat China ketika ini yang jauh berbeza dengan apa yang dirasai Jenerai Bai Chongxi. Semasa berperang, beliau menyarankan agar dapat diwujudkan pengasingan makanan dengan orang Hui dibenarkan memasak sendiri makanan mereka agar dapat dipelihara status halal dan sucinya. Tawaran itu diterima kerajaan China ketika itu.
Sekarang? Sukar untuk jadi orang Islam dalam negara yang mahu rakyatnya menurut dan setia, tanpa mengambil peduli sebarang permintaan mereka.
Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel 'History shows the folly of China’s paranoia about Islam' yang diterbitkan pada 19 Januari 2019.