Bagi peminat muzik rock dan metal di Malaysia, nama band D'Cromok dan Sil Khannaz pastinya tidak asing lagi di bibir mereka.
D'Cromok adalah sebuah band yang ditubuhkan oleh Din setelah tidak lagi bersama band Cromok.
Selain daripada memainkan muzik yang agak keras, namun kedua-dua band ini mempunyai persamaan lain iaitu memainkan lagu yang bertajuk "Huzaifah Ibnu Yaman".
BESARKAN TEKS A- A+
Lagu ini asalnya adalah lagu D'Cromok namun di-cover oleh Sil Khannaz.
Jika anda tidak pernah mendengar lagu tersebut, liriknya adalah seperti berikut:
Huzaifah Ibnu Yaman Versi asal dari D'Cromok
Huzaifah Ibnu Yaman versi Cover SilKhannaz
Huzaifah Ibnu Yaman
Waahidun min asha bu nabi
Huzaifah Ibnu Yaman
Kaana ahlas sufi
Huzaifah Ibnu Yaman
Wakaana sodiqun nabi
Huzaifah Ibnu Yaman
Kaana ahlas sufi
Siapakah sebenarnya Huzaifah Ibnu Yaman?
Huzaifah Ibnu Yaman merupakan antara salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W. Menetap di Madinah, Huzaifah sebenarnya berasal dari keturunan Bani Abs dari Mekah.
Bapanya, al-Yaman, telah membunuh seseorang dan dipaksa meninggalkan Makkah.
Al-Yaman kemudiannya menetap di Madinah, menjadi sekutu (halif) Bani al-Ash'hal dan menikah dengan suku tersebut lalu mendapat cahaya mata yang diberikan nama Huzaifah.
Akhirnya al-Yaman dibenarkan pulang ke Mekah dan beliau membahagikan waktunya antara Mekah dan Madinah.
Oleh kerana al-Yaman merupakan antara orang terawal yang memeluk Islam, ini membuatkan Huzaifah juga memeluk Islam dan menjadi antara pemuda terawal berbuat demikian di Madinah.
Huzaifah memeluk Islam sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah lagi dan sangat teringin untuk bertemu baginda kerana masih belum berpeluang bertemu Rasulullah S.A.W setelah memeluk Islam.
Keinginan dan kerinduan itu semakin menjadi-jadi setiap kali bapanya yang berulang alik dari Mekah dan Madinah memberitahu tentang khabar Rasulullah S.A.W.
Akhirnya, Huzaifah berpeluang untuk ke Mekah dan bertemu dengan manusia teragung ini, dan antara soalan yang ditanyakan kepada baginda adalah:
"Wahai Rasulullah S.A.W, apakah aku ini Muhajirin atau Ansar, kerana aku berasal dari Mekah tetapi tinggal di Madinah?".
Lalu baginda menjawab: "Engkau pilihlah yang mana lebih engkau cintai, sama ada mahu menjadi Muhajirin atau Ansar".
Mendengar jawapan Rasulullah S.A.W, Huzaifah menjawab bahawa beliau ingin menjadi Ansar.
Huzaifah adalah orang yang sentiasa bersama Rasulullah S.A.W ketika baginda berhijrah ke Madinah.
Dan disebabkan ini, Rasulullah S.A.W menyedari bahawa Huzaifah mempunyai 3 kelebihan yang membuatkan baginda kagum iaitu kepintarannya yang unik, mudah memahami sesuatu (cepat tangkap) dan hebat dalam menyimpan rahsia walaupun disoalsiasat secara berterusan.
Hudzaifah ibnu Al-Yaman penjaga rahsia Rasulullah S.A.W
Antara salah satu ujian besar yang dihadapi oleh umat Islam pada ketika itu adalah terdapat ramai golongan munafik yang berada kalangan umat Islam.
Melihat kepintaran dan kecerdasan Huzaifah, beliau dipilih oleh Rasulullah S.A.W dan memberitahu semua nama orang munafiq.
Malah, Huzaifah adalah satu-satunya sahabat yang diberitahu tentang rahsia ini.
Rasulullah S.A.W berbuat demikian kerana ingin Huzaifah memantau gerak-geri golongan munafik dan juga bertindak pantas agar golongan tersebut tidak berdaya untuk menggunakan helah jahat mereka.
Setiap kali Huzaifah ditanyakan oleh sahabat-sahabat tentang nama-nama orang munafik, mereka tidak pernah mendapat jawapan.
Malah, Huzaifah menyimpan rahsia ini sehingga ke hujung nyawanya.
Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, Huzaifah sering menjadi tempat mendapatkan nasihat oleh Khalifah mengenai aktiviti golongan munafik tetapi Huzaifah tetap membisu.
Jadi, untuk mengetahui siapakah golongan munafik di antara mereka, Saidina Umar Al-Khattab akan melihat sama ada Huzaifah hadir atau tidak setiap kali berlakunya kematian dalam kalangan orang Islam.
Jika Huzaifah tidak hadir, maka Saidina Umar tidak akan melakukan solat jenazah untuk si mati.
Pernah sekali Saidina Umar bertanyakan kepada Huzaifah jika ada orang munafik dalam kalangan kakitangannya.
Huzaifah memberitahu Saidina Umar terdapat seorang di antara mereka, tetapi enggan mendedahkan siapa orang tersebut.
Selepas perbincangan tersebut, Saidina Umar memecat seorang kakitangannya, seolah-olah beliau mendapat petunjuk dari Allah S.W.T tentang siapa gerangan orang tersebut.
Disebabkan beliau menjaga rahsia ini dengan begitu baik, Huzaifah diberikan gelaran "Penjaga Rahsia Rasulullah S.A.W".
Malah, Huzaifah sangat boleh dipercayai sehinggakan Rasulullah S.A.W pernah bersabda: "Setiap apa yang dikatakan oleh Huzaifah, maka percayailah.”
Panglima perang yang hebat
Huzaifah juga adalah salah seorang sahabat yang mengikuti perang bersama-sama Rasulullah S.A.W, di mana beliau dilantik oleh baginda untuk menjadi pengintip.
Beliau memasuki kawasan pihak musuh dengan berpura-pura menjadi antara salah seorang daripada mereka, untuk mendapatkan maklumat dan diberikan kepada Rasulullah S.A.W bagi merancang strategi seterusnya.
Dalam perang tersebut, ketika sedang mengintip, secara tiba-tiba pemimpin musuh iaitu Abu Sufyan berkata:
"Wahai semua, aku ingin katakan sesuatu yang penting, tetapi aku risau jika hal ini sampai ke Muhammad. Jadi, aku mahu kamu semua melihat orang di sebelah dan pastikan tiada yang mencurigakan".
Oleh kerana Huzaifah sangat pintar dan pantas, beliau memegang tangan orang yang berada di sebelahnya dan bertanya, "Kamu siapa?". Lelaki itu kemudiannya menjawab persoalan itu dan dengan ini, Huzaifah terselamat daripada disoal siasat.
Huzaifah merupakan seorang panglima perang yang tersangat hebat. Malah, beliau adalah panglima yang berjaya membebaskan Kota Nahwand, Dainawar dan Raj yang sebelumnya diperintah oleh Parsi.
Dalam pertembungan di Nihawand melawan tentera Parsi, Huzaifah ditugaskan sebagai panglima kedua tertinggi oleh Saidina Umar yang mengetuai tentera Islam sekitar 30,000 orang.
Ketika itu, kekuatan tentera Parsi jauh melebihi tentera Islam iaitu seramai 150,000 orang. Panglima tertinggi Islam dalam perang ini iaitu an-Numan ibn Maqran gugur di awal pertempuran, menjadikan Huzaifah bertanggungjawab menggalas tugas tersebut.
Beliau segera mengambil alih dan mengarahkan agar kematian an-Numan tidak dihebohkan. Di bawah kepimpinan beliau, tentera Islam beroleh kemenangan walaupun dengan kekuatan tentera yang kecil.
Sangat takutkan Allah S.W.T
Huzaifah sangat takutkan azab di hari pembalasan walaupun beliau sangat hebat di dunia.
Antara buktinya adalah beliau berpesan sebelum meninggal dunia, agar menggunakan kain kafan untuk mengkafankan jasadnya dengan berpada-pada dan selebihnya didermakan kepada orang lain.
Ini kerana beliau takut perkara itu akan dipersoalkan di hari perhitungan.
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha mengetahui bahawa aku lebih cintakan kemiskinan dari kekayaan, kehinaan dari kemuliaan dan kematian dari kehidupan".
Ini adalah kata-kata yang diucapkan oleh Huzaifah ketika beliau sedang dalam keadaan nazak.
Dan sejurus sebelum sahabat Rasulullah S.A.W ini menghembuskan nafas terakhir beliau, Huzaifah sempat berkata: "Kekasihmu sedang tiba dengan penuh kerinduan".
Wallahualam.
Rujukan:
2. Beritapas
3. Republika