Era awal teknologi angkasa lepas menyaksikan penguasaan dua buah kuasa besar ketika itu Soviet Union dan Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, antara kedua kuasa besar ini Soviet Union jauh lebih maju dan terkehadapan.
Ini dapat dilihat daripada langkah berani dan awal Soviet Union melancarkan satelit pertama di dunia, Sputnik 1 pada bulan Oktober 1957. Beberapa bulan kemudian, mereka melancarkan pula satelit kedua, Sputnik 2. Pelancaran Sputnik 2 turut telah mencetuskan kontroversi apabila mereka turut menghantar Laika, seekor anjing dan makhluk pertama yang dihantar ke angkasa lepas.
BESARKAN TEKS A- A+
Kejayaan demi kejayaan dan pelbagai teknologi baru yang dibangunkan Soviet Union ini telah menimbulkan kebimbangan Amerika Syarikat. Mereka sedar sudah jauh ketinggalan dan tidak mampu menyaingi teknologi angkasa lepas Soviet Union, maka satu perancangan yang drastik perlu dilakukan.
Pendedahan dokumen sulit CIA
Maka, wujudlah rancangan tidak masuk akan iaitu merompak satelit ciptaan Soviet Union untuk mengetahui segala rahsia dan teknologi penciptaannya. Menariknya, kejadian rompakan ini tidak diketahui pihak Soviet Union sehinggalah pihak CIA sendiri mendedahkan sebuah dokumen mengenainya pada tahun 1995.
Rancangan rompakan ini dilakukan secara teliti dan tersusun, seolah-olah apa yang dapat dilihat dalam filem Ocean’s 11. Secara umumnya, mereka merancang untuk merompakan trak yang membawa satelit ini, membawanya ke sebuah tempat rahsia, membuka keseluruhan bahagian satelit untuk mencuri segala info yang terdapat padanya, dan memulangkan kembali trak tersebut keesokan harinya tanpa diketahui pihak Soviet Union sendiri.
Pameran teknologi Soviet Union
Peluang terbaik untuk rompakan ini hadir pada tahun 1959. Pada ketika itu, Soviet Union gemar melakukan pameran di beberapa buah negara luar untuk mempersembahkan kejayaan-kejayaan mereka dalam bidang teknologi, industri dan ekonomi.
Dalam dokumen yang didedahkan oleh CIA itu, rompakan itu telah dilakukan pada satu malam dimana tarikhnya tidak didedahkan. Ketika itu, satelit Lunik milik Soviet Union sedang dipindahkan ke lokasi pameran seterusnya dan dimuatkan dalam sebuah peti kebal berukuran 20 kaki panjang, 11 kaki lebar dan 14 kaki tinggi.
Di satu jalan yang sunyi, ejen CIA telah mengambil alih trak tersebut dan menggantikan pemandunya dengan seorang pemandu lain. Trak tersebut kemudiannya telah dibawa ke sebuah gudang rahsia. Sebelum bahagian satelit itu diceraikan, pihak CIA terlebih dahulu mengambil langkah-langkah keselamatan bagi memastikan pihak Soviet Union mengetahui trak mereka telahpun diambil-alih.
Sekumpulan 4 orang individu telah ditugaskan untuk membuka dan menceraikan bahagian-bahagian satelit itu. Masalah seterusnya timbul apabila mereka menghadapi kesukaran mengeluarkan satelit yang diletakkan dalam peti kebal itu.
Setelah berjaya dibuka, keempat-empat ejen CIA tersebut telah ditugaskan mengambil bahagian-bahagian utama satelit tersebut seperti enjin, propellant tank, payload dan beberapa bahagian lain. Lukisan skematik satelit ini turut didedahkan oleh CIA seperti yang dapat dilihat daripada gambar di bawah.
Proses memasang kembali satelit
Selepas beberapa jam mengambil gambar, menjiplak dan mencuri info-info penting daripada satelit itu, keseluruhan bahagian satelit tersebut dipasang kembali seperti keadaan asalnya. Kumpulan ini terpaksa bekerja dalam masa yang sangat pantas memandangkan satelit tersebut mestilah berada di destinasi seterusnya menjelang esok pagi.
Selepas pemasangan bahagian satelit, pasukan ini juga perlu memasukkannya kembali ke dalam peti kebal asalnya. Segala kesan yang boleh menimbulkan kecurigian juga telah dibersihkan bagi memastikan pihak Soviet Union tidak mengesyaki satelit mereka telah dicuri.
Kira-kira pada pukul 5 pagi, seorang pemandu telah datang ke gudang rahsia tersebut dan membawa trak itu ke destinasi yang telah dirancang. Pemandu asalnya telah kembali mengambil alih trak tersebut dan membawanya ke destinasi yang seterusnya. Sekitar pukul 7, askar Soviet Union telah datang untuk membuat pemeriksaan terhadap trak tersebut dan mendapati tiada sebarang perkara yang mencurigakan mengenainya.
Perkara sebegini mungkin lebih sukar dilakukan pada masa kini memandangkan setiap kenderaan pengangkutan biasanya dilengkapi dengan sistem penjejak lokasi atau GPS. Walau bagaimanapun, bagi organisasi pakar seperti CIA, mereka kemungkinan besar mempunyai kepakaran untuk memanipulasi teknologi seperti ini.
Kredit: