Sukan bola sepak merupakan sukan paling popular di dunia, termasuklah di Malaysia. Pada ketika ini, setiap peminat bola sepak semestinya sedang menikmati persembahan pasukan kegemaran mereka dalam kejohanan Piala Dunia 2018. Kejohanan besar ini yang dilangsungkan setiap 4 tahun sememangnya sangat ditunggu-tunggu oleh setiap peminat bola sepak.

Seperti sukan lain, bola sepak juga tidak dapat lari daripada sebarang kontroversi. Bagi sesuatu perlawanan, ianya akan diadili oleh 4 orang pengadil - seorang pengadil utama, dua orang penjaga garisan dan seorang pembantu pengadil. Sebagai pengadil utama yang berada di atas padang, beliau akan mendapatkan bantuan daripada para pembantunya tetapi keputusan beliau adalah muktamad.

BESARKAN TEKS     A-  A+

pengadil bola sepak 866

Seorang pengadil juga manusia biasa. Maka, seseorang pengadil itu juga tidak lari daripada kesilapan membuat keputusan. Kedudukan dan jarak pengadil daripada pemain mengehadkan penglihatan mereka, maka keputusan yang diambil sememangnya bergantung kepada apa yang dapat dilihat oleh mereka semata-mata.

Sebagai contoh, apabila dua orang pemain berebut bola dan terjatuh, pengadil mungkin memberikan sepakan percuma walaupun seseorang pemain itu hanya berlakon terjatuh. Isu berlakon ini sememangnya isu hangat memandangkan terdapat segelintir pemain yang sengaja menjatuhkan badan dalam atau berdekatan kotak penalti semata-mata untuk mendapatkan sepakan penalti atau sepakan percuma.

Untuk mengatasi kesilapan pengadil dalam membuat keputusan dan mengelakkan kontroversi yang terjadi akibat kesilapan pengadil dalam membuat keputusan, maka teknologi Virtual Assistant Referee (VAR) telah digunakan secara rasminya buat pertama kali dalam kejohanan besar ini.

Apa itu Virtual Assistant Referee (VAR)?

bilik var 478

Apa itu Virtual Assistant Referee atau singkatannya VAR ini? Jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, VAR bermaksud Pembantu Pengadil Virtual. Dalam erti kata mudahnya, selain pengadil yang berada di atas padang, terdapat pengadil virtual yang turut sama mengadili perlawanan ini.

Pasukan yang menguruskan VAR ini biasanya terdiri daripada minimum 3 orang yang akan membuat penyemakan semula terhadap sesuatu keputusan pengadil setelah melihat video tayangan semula. 3 orang tersebut adalah seorang pengadil utama, pembantunya dan seorang operator yang menguruskan video tayangan semula.

Menariknya, pasukan VAR ini tidak perlu berada di stadium ketika sesuatu perlawanan berlangsung. Sebaliknya, mereka akan berada di satu pangkalan bilik operasi media dimana mereka akan melihat video melalui kamera-kamera yang dipasang pada stadium.

Fungsi VAR dalam perlawanan

teknologi virtual assistant referee 802

Dalam sesuatu perlawanan, terdapat banyak keputusan yang perlu dibuat oleh pengadil. Maka, fungsi VAR adalah membantu pengadil membuat keputusan dalam 4 perkara - pengesahan jaringan gol, pemberian sepakan penalti, layangan kad merah dan juga pengecaman pemain yang melakukan kesalahan dalam perlawanan.

Pengesahan jaringan gol - Terdapat beberapa sebab sesuatu gol itu boleh dibatalkan antaranya adalah disebabkan berada dalam kedudukan offside atau terdapat kekasaran yang dilakukan oleh pemain seperti menarik baju atau mengasari pihak lawan. Penggunaan VAR dapat mengenalpasti pihak yang menjaringkan gol tidak melakukan kesalahan-kesalahan ini yang boleh menyebabkan gol dibatalkan.

Pemberian sepakaan penalti - Kawasan kotak penalti adalah kawasan yang paling sensitif. Pasukan yang bertahan sebolehnya tidak mahu melakukan kekasaran di kotak penalti mereka agar pihak musuh tidak diberikan sepakan penalti. Satu lagi isu yang dapat diselesaikan adalah mengesan pemain penyerang pihak lawan yang sengaja berlakon menjatuhkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti.

Pemberian kad merah - Kebiasaannya kad kuning akan diberikan oleh pengadil untuk kesalahan pertama seseorang pemain sebagai tanda amaran. Bagi kekasaran yang benar-benar bahaya, pasukan VAR boleh memberi cadangan kepada pengadil untuk terus memberikan layangan kad merah kepada seseorang pemain.

Pengecaman pemain - Seseorang pengadil juga tidak terkecuali daripada memberikan kad kepada pemain yang salah. Sebagai contoh ketika perlawanan Arsenal dan Chelsea pada tahun 2014 dimana pengadil telah mengarahkan pemain pertahanan Arsenal Kieran Gibbs keluar padang sedangkan pemain lain, iaitu Alex Oxlade-Chamberlain yang melakukan kesalahan. Dengan VAR, kesilapan mudah seperti ini dapat diealakkan bagi memberikan keadilan kepada pemain.

Proses penyemakan keputusan pengadil

sistem virtual assistant referee 39

Proses untuk menyemak semula keputusan yang dibuat oleh pengadil boleh berlaku dengan dua cara, iaitu sama ada pengadil sendiri yang meminta semakan semula oleh VAR selepas membuat sesuatu keputusan atau pasukan VAR sendiri yang akan memberi rekomendasi kepada pengadil berdasarkan pemerhatian mereka melalui video yang dirakam.

Pasukan VAR boleh memaklumkan kepada pengadil jika mereka merasakan terdapat kesilapan yang jelas dibuat oleh pengadil. Dalam hal ini, seseorang pengadil itu mempunyai 3 pilihan - menukar keputusan mereka berdasarkan rekomendasi pihak VAR, menyemak semula video yang dirakam semula oleh sistem VAR atau mengekalkan sahaja keputusan awal mereka.

Percubaan teknologi VAR sebelum Piala Dunia

skrin var 76

Keputusan FIFA untuk menggunapakai teknologi VAR dalam Piala Dunia bukanlah sesuatu yang mudah. Sebagai sebuah teknologi baru, maka FIFA perlu memastikan sistem VAR ini benar-benar berkesan dalam mengurangkan risiko kesilapan yang dibuat oleh pengadil. Maka, percubaan teknologi VAR dalam perlawanan-perlawanan lain sebelum Piala Dunia perlu diadakan terselebih dahulu.

Dalam liga-liga utama dunia, VAR sebenarnya telahpun digunakan. Contohnya Seria A (Itali), Bundesliga (Jerman), Major League Soccer (Amerika Syarikat), Primera Liga (Portugal), K League (Korea Selatan) dan A-League (Australia). Selain itu, ianya juga pernah diguna dalam Piala Konfederasi di Russia dan Kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun.

Kredit:

  1. FIFA 
  2. The Guardian
  3. The Telegraph
  4. Goal



Hakcipta iluminasi.com (2017)