Semua orang pernah melakukan kesilapan kerana ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Namun, anda mungkin tidak pernah melakukan kesilapan seburuk seperti dalam senarai ini.
Kesilapan dalam senarai ini telah menyebabkan kerugian sehingga berbilion-bilion ringgit. Berikut adalah senarai kesilapan paling mahal dalam abad ke-21.
1. Kereta api "gemuk"
BESARKAN TEKS A- A+
Pada tahun 2014, sebuah syarikat Perancis iaitu SNCF telah membeli sebanyak 2,000 kereta api yang berharga RM 100 bilion. Malangnya, kereta api baru itu terlalu besar untuk digunakan pada platform sedia ada yang dibina 50 tahun yang lalu.
Untuk memperbetulkan kesilapan ini, pihak pengendali terpaksa membelanjakan wang tambahan sebanyak RM 250 juta untuk meluaskan 1,300 platform dan ia mengambil masa selama dua tahun untuk siap.
2. Bangunan "Walkie Talkie"
Bangunan unik berbentuk seperti sebuah walkie-talkie ini merupakan bangunan termahal di United Kingdom yang dijual pada harga RM 7 bilion. Namun, bangunan ini dikritik teruk sejurus selepas dirasmikan pada 2014.
Reka bentuk "uniknya" membuatkan pantulan cahaya matahari terus ke bawah sehingga menyebabkan haba yang sangat panas. Haba panas ini boleh mencairkan kereta dan membahayakan bangunan berhampiran.
Seorang pemilik kereta Jaguar, Martin Lindsay, mendapati cermin sisi, logo dan beberapa bahagian lain kenderaannya mulai cair apabila parkir di hadapan bangunan Walkie Talkie selama dua jam.
3. Sistem metrik vs sistem imperial
Kejadian ini berlaku setahun sebelum dunia memasuki abad ke-21. Pada tahun 1999, NASA kehilangan satelit bernilai RM 514 juta kerana sedikit salah faham pengiraan.
Jurutera di Lockheed Martin menggunakan kordinasi kiraan sistem imperial (US) manakala NASA pula menggunakan kiraan sistem metrik (UK). Ini menyebabkan satelit yang sepatutnya mengorbit planet Marikh itu terlepas sasarannya sehingga kehabisan bahan bakar dan hilang.
4. Harry Potter
Anda mungkin pernah mendengar nama Harry Potter walaupun tidak pernah membaca bukunya atau menonton filemnya. Siri buku yang popular di seluruh dunia itu ditulis oleh J.K. Rowling.
J.K. Rowling mula mencari syarikat penerbitan buku untuk hasil karyanya malangnya dia ditolak oleh 12 syarikat sebelum diterima Bloomsbury Publishing. Dia pernah berkongsi di Twitter mengenai surat beberapa syarikat yang menolak untuk menerbitkan bukunya.
Salah seorang penerbit mengatakan bahawa dia menyesal kerana tidak menerbitkan Harry Potter. Ia merupakan satu kesilapan yang mahal kerana hanya melalui penjualan buku sahaja, siri Harry Potter menjana lebih daripada RM 31.7 bilion.
5. Kapal selam "menyelam" selamanya
Kerajaan Sepanyol melaburkan sebanyak RM 9 bilion bagi pembinaan sebuah kapal selam yang diberi nama The Isaac Peral pada 2013. Sebelum pembinaanya siap, para jurutera menyedari bahawa terdapat masalah dengan reka bentuk kapal selam itu.
Beban kapal selam itu sendiri terlalu berat dan berhadapan risiko tidak boleh timbul semula jika diturunkan ke dalam laut. Mereka akhirnya menyedari bahawa titik perpuluhan dalam pelan reka bentuk kapal selam diletakkan di tempat yang salah. Kesilapan itu menelan belanja sebanyak RM 37 juta dan mengambil masa selama tiga tahun untuk dibetulkan.
6. Typo saham
Satu kesilapan kecil telah menyebabkan sebuah syarikat Jepun, Mizuho Securities Co., kehilangan wang yang banyak pada Disember 2005.
Pada asalnya, seorang broker saham ingin menawarkan satu unit saham dengan harga 610,000 yen (RM 22,900) di Bursa Saham New York. Namun, dia tersalah taip apabila menawarkan 610,000 unit saham dengan harga 1 yen.
Para pelabur terkejut dan merebut peluang membeli saham itu. Kesalahan typo itu telah menyebabkan kerugian sebanyak RM 926 juta. Selepas kejadian itu, satu peraturan baru diwujudkan di mana stok saham hanya boleh dijual serendah 572,000 yen (RM 21,500) sahaja.
7. Kebakaran "terancang"
Kebakaran terancang adalah sejenis kebakaran yang dilakukan untuk memelihara kawasan hutan daripada kebakaran besar. Pokok lama yang lebih mudah terbakar dan berbahaya akan dibakar secara terkawal bagi mengelak api tersebar ke seluruh hutan sekiranya berlaku kebakaran sebenar.
Pada Mei 2000, pekerja di Cerro Grande, New Mexico telah melakukan kebakaran terancang ini. Malangnya, angin kuat telah menyebabkan api tersebar ke seluruh kawasan hutan dan terbakar selama sebulan sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Kesilapan mengenalpasti keadaan cuaca itu menyebabkan kerugian harta benda bernilai RM 4 bilion.
8. Sampah Bitcoin
Tidak ramai yang menyedari potensi Bitcoin ketika ia mula diperkenalkan pada 2009. Namun, seorang lelaki bernama James Howell adalah yang paling terkesan dengan kenaikan harga Bitcoin.
James Howell memiliki 7,500 Bitcoin ketika harganya masih terlalu rendah. Pada 2013, dia tidak sengaja menumpahkan secawan kopi ke atas komputernya. Dia membuka komputernya yang rosak tetapi menyimpan cakera keras (hard disk) untuk maklumat yang masih boleh diselamatkan.
Dia kemudian membuang cakera keras itu ketika berpindah. Apabila harga Bitcoin melambung naik, Howell menyedari kesilapannya dan mula mencari cakera kerasnya di tapak pelupusan sampah tetapi gagal. Pada hari ini, harga 1 Bitcoin adalah sekitar RM 150,000. Ini bermakna Howell membuang sampah bernilai RM 1.125 bilion.
9. Ketawakan Netflix
Sebelum adanya perkhidmatan streaming video, kita biasanya akan ke kedai video untuk menyewa filem. Blockbuster adalah rangkaian kedai video terbesar dunia yang terletak di Amerika Syarikat.
Pengasas Netflix, Reed Hastings, telah bertemu dengan CEO Blockbuster, John Antioco, untuk mencadangkan perkongsian perniagaan pada tahun 2000. Hastings menawarkan untuk mengiklankan Blockbuster dalam talian sementara meminta Blockbuster mengiklankan Netflix di kedai mereka.
Antioco dan pasukannya mentertawakan Hastings. 10 tahun kemudian, Blockbuster muflis sementara Netflix pada hari ini bernilai sekitar RM 65 bilion.
10. Pesawat termahal
Walaupun dibina agar tidak dikesan, jet tentera B-2 adalah salah satu jentera tentera paling dikenali ramai. Ia juga merupakan pesawat termahal dunia bernilai RM 4.9 bilion seunit. Namun, harga yang tinggi tidak menjamin kualiti.
Ketika dalam satu sesi penerbangan latihan di Guam pada 2008, sebuah pesawat B-2 telah terhempas ketika baru berlepas. Ia disebabkan kerosakan sensor yang menyebabkan salah kiraan dalam ketinggian, kelajuan udara dan lonjakan.
Siasatan mendapati hujan lebat telah menyebabkan kelembapan menyerap ke dalam sensor dan merosakkannya. Ia merupakan kemalangan udara termahal dalam sejarah.