Bertempat di dewan opera yang dipenuhi penonton di Chicago pada tahun 1866, seorang lelaki yang merupakan seorang pakar pemain piano sedang mendendangkan lagu ciptaannya berjudul, The Battle of Manassas di atas pentas. Para penonton kemudiannya bangun bersorak dan menepuk tangan sebaik sahaja dia selesai bermain lagunya.
Dia adalah Thomas Wiggins iaitu seorang pemain piano paling mahal bayarannya pada kurun ke-19. Kisah Wiggins ini sememangnya menarik kerana dia adalah berasal daripada keluarga hamba dan juga seorang yang buta seumur hidupnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Permulaan hidup yang menyedihkan
Anak kepada pasangan hamba Charity dan Domingo "Mingo" Wiggins ini dilahirkan pada tahun 1849 di Columbus, Georgia. Pemiliknya iaitu Wiley Jones tidak mahu menanggung bayi yang dilahirkan buta ini bahkan mahukan dia mati.
James Bethune dan Thomas "Blind" Wiggins
Akan tetapi setelah dirayu oleh ibunya, Jones telah meletakkan Thomas yang berusia 9 bulan, dua kakaknya serta ibu dan bapanya dalam lelongan untuk dijual. Mereka malah ditetapkan untuk dijual berasingan. Peluang untuk sesiapa membeli Thomas adalah amat tipis pada ketika itu.
Namun akhirnya ibu Thomas iaitu Charity telah meminta seorang lelaki membeli keluarga mereka dan akhirnya dia bersetuju. Pemilik baru mereka iaitu James Neul Bethune adalah seorang peguam dan juga editor di sebuah syarikat akhbar.
Bethune kemudian menyedari bahawa terdapat sesuatu yang istimewa mengenai bayi ini. Thomas yang juga dikenali sebagai "Blind Tom" mempunyai reaksi dan tindak balas yang lebih terhadap bunyi. Para pengkaji sejarah juga berpendapat Blind Tom juga mungkin mengalami sejenis autisma kerana tindak balas emosinya seperti tidak sempurna.
Kehebatan luar biasa walaupun tidak sempurna
Namun, di sebalik kecacatan fizikal dan kekangan emosinya, Blind Tom mempunyai kebolehan untuk mengingati bunyi dengan cepat. Dia akan meniru bunyi piano yang dimainkan oleh anak perempuan Bethune dan mengulanginya menggunakan daya ingatannya sahaja. Dia juga mempunyai kemahiran bermain piano seakan Beethoven dan boleh memainkan semula sesuatu lagu itu dengan hanya sekali dengar.
Selepas itu Blind Tom mula mengasah kemahirannya lagi dengan mempelajari beberapa genre seperti waltz, polka dan beberapa lagi lagu yang sukar dimainkan. Disebabkan hal ini, tuannya iaitu Bethune menyedari akan peluang yang ada selepas menyaksikan Blind Tom menghiburkan keluarganya sendiri.
Ketika Blind Tom hanya berusia 8 tahun, iaitu 3 tahun sebelum tercetusnya Perang Saudara di Amerika, Bethune telah meminjamkan Blind Tom kepada Perry Oliver iaitu seorang penganjur muzik. Oliver kemudiannya telah mengaturkan beberapa jelajah persembahan untuk budak buta yang berbakat besar itu.
Blind Tom telah bermain sebanyak empat kali di beberapa tempat di sekitar Amerika Syarikat. Apa yang lebih memeranjatkan ialah budak semuda itu mendapat bayaran sebanyak USD 100,000 (RM 412,840) untuk persembahannya, iaitu sebanyak USD 2.7 juta (RM 11,146,680) jika dikirakan inflasinya pada tahun 2018.
Poster persembahan piano Blind Tom
Ini membuatkan Blind Tom adalah pemain piano dengan bayaran paling mahal pada abad ke-19. Ia adalah sesuatu yang amat mengagumkan apatah lagi sekiranya ia berjaya dilakukan oleh seorang hamba abdi yang pada masa sama memiliki kecacatan fizikal dan emosi.
Disebabkan sifat tamak
Malangnya, ada orang yang mengambil kesempatan di atas kelebihan dan kekurangan yang dimiliki oleh Blind Tom ini. Disebabkan masalah perkembangan emosinya, dia kelihatan seakan tidak faham apa yang berlaku ketika membuat persembahan. Semasa membuat jelajah persembahannya, Bethune telah mengupah seorang guru piano untuk mengajar Thomas bagaimana untuk beraksi dengan baik.
Selepas itu Bethune telah menyerahkan pula Blind Tom kepada anaknya iaitu John untuk menjadi pengurus karier artis itu selepas Perang Saudara di Amerika tamat. Pada 1868 ketika berumur 18 tahun, Blind Tom memperolehi pendapatan purata sebanyak USD 50,000 setahun tetapi kesemua wangnya itu masuk ke dalam poket "pengurusnya" itu.
Bethune dan anaknya tidak berkongsi kekayaan yang diperolehi itu dengan Blind Tom sebaliknya membelanjakan wang itu dan meneruskan gaya hidup mewah mereka. Walaupun Blind Tom sudah terkenal dan bukan lagi merupakan seorang hamba, namun dia tetap dikawal dan bergantung hidup sepenuhnya kepada keluarga Bethune kerana kecacatannya. Bahkan, Blind Tom tidak pernah menikmati hasil dari bakat dan kerjayanya itu.
Jelajah persembahan piano Blind Tom diteruskan sehinggalah John Bethune meninggal dunia pada tahun 1884. Selepas itu, bekas isteri John iaitu Eliza Stutzbach telah memfailkan satu tuntutan mahkamah dan cuba mendapatkan hak penjagaan Blind Tom.
Setelah selama 3 tahun perbicaraan berlangsung, Stutzbach telah berjaya memenangi kes itu. Blind Tom kemudian berpindah dan tinggal bersama-sama pemilik barunya di sebuah pangsapuri yang baru dibeli oleh Stutzbach di Hoboken, New Jersey menggunakan duit hasil persembahan piano lelaki berbakat itu sendiri.
Hamba abdi terakhir
Kubur Blind Tom
Konsert terakhir Blind Tom telah diadakan pada tahun 1905. Pada penghujung hayatnya, Thomas Wiggins menghabiskan hidupnya dalam keadaan sederhana bersama Stutzbach di Hoboken dan New York.
Sesetengah orang menggelar Thomas Wiggins sebagai "hamba abdi terakhir" kerana dia seperti tidak mendapat kebebasan dan kemerdekaan sepenuhnya walaupun terkenal dan dianggap sebagai pemain piano dengan bayaran paling mahal pada kurun ke-19.
Rujukan :
1. Blackpast
2, Blinc Tom