Jika 10 tahun dahulu, sangat sukar untuk kita melihat lelaki-lelaki 'sado' di mana-mana sama ada di shopping mall atau media sosial. Memang ada, tetapi tidak lah seramai seperti sekarang. Industri kesihatan di Malaysia boleh dikatakan masih sedang berkembang, jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan Australia. Namun, sejak kebelakangan ini, kita boleh nampak, ramai yang sudah berbadan sasa dan tegap lebih-lebih lagi di Facebook dan Instagram. Mungkin disebabkan oleh pertambahan pusat senaman dan gym di serata Malaysia menyumbang kepada ramai jejaka sasa Malaya.
BESARKAN TEKS A- A+
Semua jejaka sasa yang ada sekarang ini pasti bermula sebagai jejaka biasa, sama ada kurus atau gemuk. Mesti ada titik permulaannya. Dan boleh dikatakan hampir kesemua daripada mereka pernah melakukan kesilapan ketika masih baru berjinak-jinak di dalam sukan ini. Ya memang bagus jika kita membuat kesilapan, kerana dari situlah kita akan belajar dan menjadi lebih baik.
Namun, terdapat beberapa kesilapan yang boleh dielakkan, cukup dengan mempelajari daripada kesilapan orang lain yang terdahulu.
Iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda beberapa kesilapan amatur yang dilakukan oleh orang baru di dalam sukan bina badan yang boleh mempengaruhi hasil senaman.
#1 - Mengangkat menggunakan EGO
Antara semua, boleh dikatakan ini antara kesilapan yang paling besar dilakukan. Mengangkat besi dengan menggunakan ego adalah tindakan yang sangat salah. Anda mungkin cuba ingin menunjuk-nunjuk kepada rakan anda, gadi-gadis atau orang lain di gym dengan mengangkat beban yang lebih dari kemampuan anda. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Tak ada apa yang lebih kelakar daripada melihat budak baru yang mengangkat berat berlebihan dengan teknik yang salah semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Rakan-rakan anda mungkin kagum dengan anda, tetapi realitinya adalah anda meletakkan diri anda dalam keadaan bahaya kerana anda sangat terdedah kepada kecederaan.
2. Teknik yang salah
Mengangkat berat menggunakan teknik yang salah hanya akan menyebabkan kecederaan, dan juga tidak akan memberi kesan kepada badan anda. Ramai yang mungkin telah berbulan menghabiskan masa berhempas pulas di dalam gym namun tidak mendapat hasil yang diinginkan. Ini mungkin kerana menggunakan teknik yang salah.
Bagi senaman yang lebih advanced, seperti squat atau lunges, ia amatlah berbahaya jika dilakukan tanpa mengetahui teknik yang betul, kerana boleh membahayakan lutut dan tulang belakang ada. Dan sebagai contoh, kesilapan melakukan regangan di permulaan senaman, yang sepatutnya dilakukan selepas tamat senaman. Solusinya, jika anda kurang tahu, rajin-rajinlah bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman. Dengan cara ini anda akan lebih cepat mempelajari teknik yang betul.
3. Bersenam terlalu kerap
Lebih kurang sama dengan point di atas, disebabkan menginginkan hasil yang cepat dan ketara, anda cenderung untuk bersenam secara kerap. Rationalnya adalah jika kita kerap bersenam, makan badan kita juga akan cepat menampakkan hasil. Namun, fakta itu sangatlah meleset. Bagi yang masih baru, untuk menghasilkan otot, badan kita memerlukan rehat yang secukupnya, kerana ketika badan kita sedang berehatlah bermulanya pembaikkan otot yang aktif. Melainkan anda sudah mempunyai pengalaman, itu tiada masalah.
Jika anda bersenam setiap hari tanpa rehat yang secukupnya, anda seolah-olah mendera badan anda tanpa memberikan masa untuk membina otot. Sebagai contoh, jika anda hari ini anda bersenam pada bahagian dada, anda mungkin akan berasa sakit di bahagian tersebut keesokan harinya. Pastikan otot dada sembuh sepenuhnya sebelum mengulanginya. Jika badan anda terlalu sakit atau letih, rehat dahulu dan ambil cuti dari bersenam. Dan ingat, otot anda dibina ketika anda tidur, bukan ketika anda bersenam.
4. Bersosial terlalu lama
Ini salah satu kesilapan yang sangat ketara. Tujuan utama anda pergi ke gym adalah untuk mendapatkan senaman yang berkesan. Ya gym adalah tempat yang bukan sahaja untuk bersenam tetapi juga untuk bersosial. Tetapi perlu diingat, jangan biarkan masa anda lebih banyak digunakan untuk bersosial daripada bersenam. Terlalu ramai yang berborak di antara set, dan akhirnya menghabiskan banyak masa dengan berborak daripada bersenam. Ini juga tidak sihat untuk orang lain yang sedang menunggu giliran untuk menggunakan peralatan yang anda gunakan.
Untuk mendapatkan senaman yang efektif, hanyalah memerlukan masa minimum 60 hingga 90 minit maksima, mengikut tahap senaman. Jika anda perhatikan orang yang berbadan sado, mereka hanya mengambil masa lebih kurang 45-60 minit di dalam gym, dan mereka kurang berborak dengan orang lain, bukan kerana sombong, tetapi kerana pentingnya menjaga masa senaman.
5. Hanya bersenam otot-otot tertentu
Umumnya, jika dilihat, ramai yang hanya mengagumi mereka yang sado kerana mempunyai dada yang tebal serta lengan yang besar dan padat. Ini kerana tarikan dua kumpulan otot ini lebih dominan daripada otot-otot yang lain. Jadi perkara ini sudah tentulah memberikan idea yang salah kepada mereka yang baru. Ramai yang bersenam dengan hanya memberi tumpuan kepada otot dada (pectorals) dan tangan (biceps dan triceps).
Dengan ini, mereka mengabaikan otot-otot lain seperti belakang, bahu, dan juga kaki, yang memainkan peranan penting untuk membina otot secara keseluruhan. Sebagai contoh, ramai yang mengabaikan bersenam otot kaki, kerana bagi mereka tidak ada apa-apa kepentingan. Tetapi realitinya, jika anda bersenam otot kaki dengan melakukan squat sebagai contoh, ia akan membantu tumbersaran otot-otot yang lain juga kerana ketika anda melakukan squat, badan anda akan merembeskan hormon testorsterone yang penting untuk proses pertumbuhan otot.
6. Mengharapkan hasil yang cepat
Pastinya semua orang yang bersenam dan workout mahukan hasil yang secepat yang mungkin. Kalau diberi pilihan, semua mahu menjadi 'sado' selepas seminggu atau sebulan bersenam. Ini perkara yang sangat biasa di kalangan mereka yang baru . Apa yang perlu anda tahu adalah proses untuk membina otot adalah satu proses yang memakan masa yang agak lama. Ianya bukan seperti membina rumah, boleh siap dalam masa beberapa bulan.
Bergantung kepada sasaran anda, hasil yang akan dapat juga berbeza. Terlalu ramai di antara mereka yang bersenam untuk beberapa bulan, namun berputus asa kerana usaha yang dilakukan tidak menampakkan hasil. Kesabaran adalah salah satu cabaran di dalam sukan bina badan ini. Bak kata orang "benda yang baik itu datangnya secara perlahan"
7. Tidak mempunyai perancangan
Apabila anda menjejakkan kaki ke dalam gym, anda sepatutnya sudah mempunyai perancangan apa yang anda perlu lakukan. Seperti kata pepatah "If you fail to plan, then you plan to fail". Mereka yang baru perlu ada perancangan terlebih dahulu supaya semuanya berjalan dengan lancar. Mempunyai jurnal senaman atau nota adalah salah satu contoh bagus. Catatkan setiap senaman serta berat yang dilakukan bagi memudahkan anda melihat kemajuan anda. Dan dengan ini, ia juga dapat menjimatkan masa anda di dalam gym kerana anda mempunyai jadual apa yang perlu dilakukan. Ya mereka yang berpengalaman jarang dilihat membawa buku atau nota, ini kerana mereka sudah fasih dalam hal ini.
8. Tidak meletakkan peralatan di tempat asal
Ini tidak ada kena mengena dengan pertumbuhan otot, tapi perlu diingatkan. Ia bukan sahaja masalah mereka yang baru, tetapi juga mereka yang berpengalaman. Ia bukan sahaja tidak beretika dengan meninggalkan alatan yang anda gunakan begitu sahaja tanpa meletakkannya di tempat asal, malah boleh mengundang bahaya kepada orang lain jika terpijak atau tersadung. Jika anda mempunyai pembantu rumah tidak semestinya anda boleh sepahkan rumah sesuka hati. Jangan tinggalkan peralatan yang anda gunakan merata-rata. Ia adalah common sense. Dengan cara ini, orang akan lebih hormat kepada anda.
9. Pemakanan yang tidak betul
Salah satu antara sebab mereka yang baru untuk putus asa kerana tidak mendapat hasil yang diinginkan adalah kerana pemakanan yang tidak betul. Komponen yang penting untuk mendapatkan badan yang cantik adalah bersenam, pemakanan, dan rehat yang cukup. Jika ada di antara salah satu perkara ini yang anda abaikan, jangan hairan jika usaha anda tidak berbaloi. Anda sudah bersenam dengan betul dan cukup, rehat yang cukup namun jika pemakanan anda tidak betul, besar kemungkinan badan anda susah untuk menampakkan hasil yang baik. Lebihkan makanan yang sihat serta berprotein tinggi seperti ayam, daging, telur dan ikan. Serta vitamin, mineral dan fiber yang secukupnya.