Secara idealnya, FBI wujud untuk membantu melindungi rakyat Amerika Syarikat. Mereka berada di lapangan setiap hari untuk menghentikan pengganas dan penjenayah daripada mencederakan orang awam yang tidak bersalah.
Walaupun tugas mereka mencabar, kebanyakan daripadanya berjaya dilakukan dengan baik. Ini kerana mereka diberi kuasa dan dana yang banyak daripada kutipan cukai untuk membantu misi mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Begitu juga dengan pihak FBI. Sebelum ini, kami pernah menulis mengenai 4 perkara bodoh yang dilakukan ejen FBI. Kali ini kami kongsikan lagi beberapa antara kesilapan amatur yang dilakukan mereka.
1. Tersalah tembak mangsa culik
Ulises Valladares
Fungsi FBI adalah untuk menjadikan sesuatu masalah sulit itu lebih baik. Namun, kali ini mereka menjadikan kes yang berlaku pada tahun 2018 di Texas ini menjadi lebih buruk.
Kisah ini bermula apabila dua lelaki bersenjata muncul di rumah Ulises Valladares dan menuntut sejumlah wang RM 33,000 (USD 8,000) yang dihutangnya. Apabila Valladares tidak mampu membayarnya, dia dan anaknya berusia 12 tahun diikat sementara dua lelaki tadi menggeledah rumahnya.
Mereka gagal menemui apa-apa dan memutuskan untuk menculik Valladares sebagai jalan terbaik untuk memperolehi wang tunai. Mereka kemudian mengubungi abang kepada Valladares bahawa adiknya diculik kumpulan kartel dan meminta wang tebusan bernilai RM 83,500 (USD 20,000) sekiranya ingin adiknya selamat.
Abangnya kemudian mengubungi pihak FBI kerana menyangka ia adalah jalan terbaik. FBI kemudian berjaya menjejaki lokasi penculik dan mangsa. Ketika operasi dijalankan, sesuatu yang buruk berlaku. FBI yang sepatutnya menyelamatkan mangsa telah tersalah tembak mangsa. Apa yang lebih pelik ialah, mangsa masih dalam keadaan terikat ketika dia ditembak mati. (sumber)
2. Tidak sengaja mendedahkan perisik sendiri
Everitt Jameson
Apabila berhadapan dengan pengganas, adalah penting untuk operasi itu berjalan dengan lancar kerana nyawa orang ramai bergantung padanya. Namun, seorang perisik FBI ini telah membuat kesilapan bodoh pada waktu yang salah.
Menurut dokumen-dokumen yang didedahkan, FBI telah memantau seorang pengganas yang pro-ISIS bernama Everitt Jameson. Mereka kemudian mengarahkan seorang perisik untuk mendekati Jameson di media sosial dengan berkongsi ideologi mengenai kumpulan pengganas.
Jameson yang merasakan perisik itu berfahaman sama dengannya kemudian mendedahkan bagaimana dia sudah bersedia untuk mati dan mempunyai idea untuk meletupkan bom di San Franscisco. Seminggu sebelum rancangan itu dijalankan, semuanya menjadi pincang.
Salah seorang kakitangan FBI secara tidak sengaja mendail telefon bimbit Jameson. Mereka malah menghubunginya dengan kod kawasan Washington D.C. Apabila Jameson menjawab panggilan itu, pemanggilnya sudahpun memutuskan talian. Apabila Jameson mengubungi semula nombor itu, dia terdengar rakaman mel suara dengan nama kakitangan FBI itu.
FBI kemudian memutuskan untuk terus menangkap Jameson lebih awal daripada masa yang ditetapkan kerana lelaki itu seperti sudah mengetahui intipan yang dilakukan ke atasnya. Kesalahan bodoh itu hampir mendedahkan keseluruhan operasi yang dilakukan FBI. (sumber)
3. Pasangan tidak bersalah dianggap sebagai orang buruan
Whitney Bulger
Whitney Bulger adalah seorang ketua kumpulan penjenayah Boston yang melarikan diri daripada pihak berkuasa selama bertahun-tahun. Dia dikehendaki atas 18 tuduhan membunuh dan pihak berkuasa menawarkan ganjaran RM 4.16 juta sekiranya dia berjaya diberkas.
FBI memberi amaran bahawa Bulger adalah seorang yang bersenjata dan berbahaya. Dia juga dipercayai sedang mengembara bersama-sama pasangannya. Ketika pelancong Jerman dan isterinya bercuti di Sicily, FBI telah menyangka bahawa mereka adalah pasangan Bulger yang diburu.
FBI berjaya memperolehi gambar dan video pasangan dari Jerman itu dan teruja kerana mempunyai perkembangan baru dalam kes mereka. Mereka kemudian memuat naik "bukti" baru yang disangka sebagai Bulger ini dalam laman web untuk orang dikehendaki FBI.
Seorang blogger untuk Boston Magazine kemudian menyedari kesilapan itu tetapi pasangan Jerman itu tidak dapat dikesan untuk beberapa bulan sehinggalah mereka berjumpa dengan pihak berkuasa. Ketika itulah baru FBI menyedari kesilapan mereka. (sumber)
4. Tertinggal dokumen rahsia di rumah suspek
Mick Kelly
Pada tahun 2010, FBI telah melakukan serbuan ke atas beberapa buah pemilik aktivis anti perang di Minneapolis namun tidak menemui apa yang dicari. Beberapa bulan kemudian, pasangan Mick Kelly dan Linden Gawboy yang merupakan antara suspek yang digeledah rumahnya telah menemui beberapa fail rahsia yang ditinggalkan oleh FBI.
Dokumen yang ditinggalkan itu bukan sahaja mengandungi maklumat mengenai operasi yang sedang dijalankan tetapi juga maklumat yang begitu sensitif sehingga peguam pasangan itu menasihatkan agar mereka tidak mendedahkannya.
Namun, beberapa maklumat sudahpun tersebar dan ia menunjukkan betapa besar kesilapan yang telah dilakukan FBI. Antara maklumat yang tersebar ialah lima halaman muka surat yang mengandungi 102 soalan soal siasat ke atas pasangan itu, maklumat mengenai kumpulan, pemimpin, struktur dan tujuan penubuhan mereka.
Selain itu terdapat juga gambar rumah dan suspek lain yang disiasat oleh pihak FBI. Ini merupakan satu kecuaian yang amat memalukan bagi pihak FBI. (sumber)
5. Terlupa membayar bil telefon
FBI sememangnya mempunyai banyak wang tetapi bagaimana wang itu dikendalikan sekitar agensi itu agak rumit. Untuk menyembunyikan identiti dan aktiviti, mereka menggunakan dana rahsia. Hakikatnya, ia menjadikannya sukar untuk memantau aliran tunai mereka sendiri.
Salah satunya ialah pembayaran bil telefon. Bukan sahaja talian pejabat biro yang dipotong, malah lebih bermasalah apabila talian yang mereka intip untuk pengumpulan risikan juga terjejas.
Pada 2008, ABC News mendedahkan bahawa 990 talian adalah bertujuan untuk pengawasan dan hampir separuh daripadanya tidak dibayar tepat pada waktunya. Ini bermakna mereka terlepas banyak peluang untuk mengumpul maklumat penting. Pada suatu masa, mereka pernah berhutang dengan satu syarikat telekomunikasi sebanyak RM 275,500.
Sebahagian daripada masalah itu ialah FBI tidak memperbaharui sistem pengurusan kewangannya sejak 1980-an. Ditambah pula dengan kes pecah amanah oleh kakitangan kewangan apabila dana telekomunikasi mereka hilang sebanyak RM 104,000. (sumber)