Majoriti sukan tidak membenarkan pemain bertumbuk satu sama lain, kecuali sukan yang memerlukan sentuhan fizikal seperti tinju, gusti dan sukan lain dalam kategori sama.

Bagaimanapun hoki ais atau ice hockey menjadi pengecualian yang unik; membenarkan malah menggalakkan pemain yang sedang bertanding bertumbuk satu lawan satu semasa perlawanan.

Siapa yang menang atau kalah bertumbuk juga dijadikan faktor kepada pertandingan yang berlangsung.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya, kenapa sukan yang popular di Amerika Syarikat dan Kanada ini membenarkan pemain berlawan?

Membuktikan siapa anak jantan demi hiburan

insiden pergaduhan hoki ais

Sejarah sukan hoki ais terpalit dengan pergaduhan fizikal. Ini kerana dalam sejarah sukan ini, perlawanan pertama hoki ais dunia yang dianjurkan di Montreal, Kanada pada 13 Mac 1875 - menjadi punca pemain yang cuba bermain dan peluncur yang hadir bertumbuk, kerana berebut ruang untuk digunakan.

Pada permulaan hoki ais ketika era permulaan liga yang dinamakan Ontario Hockey League atau OHL yang bermula pada tahun 1890 belum ada peraturan yang khusus melarang pergaduhan.

Bagaimanapun permainan kasar dibenarkan, sehinggakan ada pasukan sengaja bermain di gelanggang yang kecil dan menggajikan pemain-pemain bersaiz besar. Ekoran daripada corak permainan yang mengutamakan kaedah kasar dan fizikal, majoriti permainan dimenangi oleh pasukan yang mampu bermain lebih keras berbanding lawan.

Apabila hoki ais semakin popular dan penubuhan liga NHL atau National Hockey League dimulakan sekitar tahun 1917, pergaduhan menjadi sebahagian budaya permainan itu, terutamanya di Amerika Utara disebabkan oleh ketiadaan undang-undang yang benar-benar melarangnya.

Sebaliknya, keputusan terserah kepada pengadil sama ada untuk menghukum atau mengenakan penalti. Pergaduhan pula dianggap sebahagian daripada adat permainan.

Berdepan kritikan kerana membenarkan sesuatu yang dianggap barbarik, NHL secara rasmi menidakkan tuduhan tetapi tidak ada sebarang perubahan besar diperkenalkan.

Situasi ini kekal walaupun sudah ada beberapa kes kematian pemain berlaku di atas gelanggang, sehinggakan ada kes yang dibawa kepada siasatan dan dianggap kes jenayah. NHL terus menganggap apa yang berlaku adalah satu ketentuan yang tidak boleh dielakkan.

Hanya pada sekitar tahun 1922, untuk 'menghukum' pemain yang bertumbuk NHL mula memperkenalkan penalti 5 minit kepada pemain yang terlibat dalam insiden tumbuk-menumbuk.

Walaupun demikian, pengenalan hukuman itu tidak menghalang pemain daripada melepaskan geram.

Sehinggakan semua pemain yang terkenal dalam liga popular bukan saja kerana kemahiran bermain hoki, bahkan kerana lasak bertumbuk dan tahan dibelasah atas gelanggang.

Pergaduhan akhirnya terus kekal menjadi budaya sukan tersebut, dengan pengenalan pengawasan dan batasan yang lebih ketat berbanding zaman awalnya.

Masyarakat yang sakit jiwa?

kenapa sukan hoki ais benarkan pergaduhan

Budaya pergaduhan ini kekal walaupun pemahaman kita terhadap kesannya kepada pemain, semakin baik. Banyak kajian membuktikan berlaku kesan buruk jangka panjang kepada otak dan tubuh pemain, akibat keperluan bergasak dalam gelanggang.

Namun popularitinya tidak mengizinkan pergaduhan diharamkan terus, atas banyak faktor. Antaranya adalah kerana faktor hiburan itu sendiri.

Pergaduhan dilihat satu tradisi lama dalam hoki ais dilihat peminat sebagai elemen pertandingan yang unik dan mengujakan, menambahkan ketegangan serta mencetuskan emosi. 

Selain itu mereka yang menyokong pergaduhan percaya pergaduhan mampu menyelia dan menjaga apa yang berlaku atas gelanggang. Pemain yang melakukan tindakan kotor atau menyerang lawan sedar dan tahu tindakannya boleh membawa kepada pergaduhan sebagai akibatnya, mengakibatkan mereka lebih berhati-hati.

Dengan membenarkan pemain berhadapan secara fizikal, penganjur sukan ini juga percaya kadar agresif berlebihan yang boleh berlaku menjadi lebih terkawal dan melindungi integriti permainan.

Ada juga pihak percaya pergaduhan memberi pemain satu saluran melepaskan tekanan dan mengurangkan ketegangan yang boleh mendorong kepada situasi yang lebih berbahaya.

Walaupun banyak pihak yang menyokong pergaduhan dikekalkan, kini semakin banyak suara mahu tumbuk-menumbuk secara ganas ini diharamkan terus bagi melindungi masa depan dan kerjaya pemain.

Pengkritik juga percaya sistem taktikal yang diamalkan oleh banyak pasukan dalam NHL yang berorientasikan fizikal serta corak permainan cari gaduh, harus diubah kepada kaedah yang lebih mengutamakan kemahiran permainan, taktikal dan juga kemampuan pemain.

Harus kami perjelaskan, undang-undang bergaduh dalam sukan hoki ais ini hanya terpakai di liga Amerika Syarikat dan Kanada. Di Eropah, sistem sama tidak dibenarkan dan sebarang bentuk pergaduhan adalah dilarang.

Jangan ingat hanya hoki ais membenarkan pergaduhan

sukan lacrosse membenarkan pergaduhan

Selain hoki ais, satu lagi jenis sukan yang membenarkan pemain bergasak sesama sendiri adalah sukan lacrosse dalam dewan.

Sesi pergaduhan yang dibenarkan hampir mirip dengan kaedah yang diamalkan dalam NHL tetapi jika dibandingkan dengan hoki ais, tumbuk-menumbuk dalam lacrosse jarang berlaku walaupun dibolehkan.

Semasa bertumbuk, kedua-dua pemain yang terbabit harus membuka topi keledar yang menutup kepala dan berhenti setelah salah seorang jatuh.

Mana-mana pemain yang terus menyerang lawan selepas jatuh, akan dikenakan penalti tambahan atau dalam keadaan tidak terkawal, berhadapan hukuman gantung perlawanan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)