Sukan adalah sesuatu yang menjadi budaya manusia pada hari ini dan ia telah bermula sejak beribu tahun dahulu. Ia menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia di seluruh dunia.
Jika dihitungkan, tidak terkira betapa banyaknya sukan yang wujud pada hari ini, itu belum termasuk dengan permainan. Setiap negara dan budaya mempunyai sukan tersendiri, dan iluminasi.com ingin kongsikan 5 sukan yang paling tua di dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Sukan gusti
Gusti dianggap sebagai sukan tertua di dunia. Perkara ini diketahui melalui bukti lukisan gua yang terkenal di Lascaux, Perancis yang telah wujud sejak 15,300 tahun yang lalu menggambarkan para penggusti.
Ia bukan sahaja di Perancis, malah lukisan ilustrasi ahli gusti telah ditemui di gua di seluruh dunia, dari tahun 7000 SM di Mongolia, dari tahun 6000 SM di Libya dan di gua-gua prasejarah di Jepun.
Serpihan papirus ditemui dengan arahan sukan gusti tertera di atasnya, berasal dari antara tahun 100 dan 200 AD. Dan walaupun sudah terlalu lama, ia masih kekal sebagai salah satu sukan paling popular di dunia.
2. Sukan lumba lari
Adalah tidak mengejutkan untuk melihat sukan lumba lari termasuk dalam senarai 5 sukan tertua di dunia oleh kerana ia adalah sukan yang paling mudah untuk dilakukan.
Berlari adalah ekspresi universal manusia dan akan terus kekal sedemikian. Ia merupakan satu-satunya sukan yang dicatatkan dalam sukan Olimpik pertama pada tahun 776 SM. Dalam sukan tersebut, terdapat 4 jenis pertandingan lumba lari yang berlainan.
3. Merejam lembing
Merejam adalah satu lagi sukan yang merupakan sebahagian daripada Olimpik awal dahulu dan ia masih merupakan sebahagian daripada sukan dalam Olimpik moden.
Ia adalah sukan trek dan padang di mana lembing direjam atau dilontarkan sejauh mungkin. Merejam lembing yang pertama dimasukkan ke dalam Olimpik adalah pada tahun 708 SM, tetapi hanya diperkenalkan pada Olimpik moden pada tahun 1906.
Pada zaman dahulu, lembing yang dilontarkan adalah jauh lebih ringan daripada sekarang.
4. Sukan Polo
Pertama kali sukan polo dimainkan adalah semasa Empayar Parsi di Asia Tengah, oleh para maharaja.
Polo adalah sukan pasukan yang dimainkan di atas kuda, di mana kedua-dua pasukan cuba menjaringkan gol dengan memukul bola kayu yang kecil ke dalam gawang seperti bola sepak.
Bukti pertama yang didokumentasikan dari sukan ini bermula seawal 316 AD. Permainan polo moden dikembangkan di India semasa Empayar Britania, dengan kelab polo yang pertama ditubuhkan adalah pada tahun 1833.
5. Sukan hoki
Permainan hoki boleh dijejaki kembali sehingga ke Yunani purba. Imej-imej orang yang bermain dengan kayu berbentun melengkung dan bola telah dijumpai, sejak tahun 600 SM.
Sukan ini pada asalnya dikenali sebagai "Shinty". Kali pertama perkataan 'Hoki' digunakan adalah pada tahun 1363 oleh Edward III dari England.
Apabila Empayar British berkembang ke luar negara pada tahun 1800-an, mereka memperkenalkan sukan ini dan menjadikannya sangat popular di seluruh dunia.