Dunia komik Jepun memang lebih dikenali dengan komik-komik atau 'manga' yang bersifat pertarungan, yang sangat popular seperti Dragonball, Naruto, Bleach, One Piece dan bermacam lagi judul siri komik lain.
Selain daripada komik-komik pertarungan, satu lagi tema komik yang kerap kali diangkat penulis dan pelukis Jepun adalah komik bertema sukan. Banyak judul komik bertema sukan yang sudah diterbitkan dengan beberapa judul dikatakan layak diletakkan sebagai komik-komik berstatus elit yang mengubah bagaimana masyarakat melihat sukan.
BESARKAN TEKS A- A+
Pernahkah anda baca siri komik yang kami senaraikan di bawah? Berikut adalah lima judul komik sukan yang kami rasakan terbaik setakat ini.
1. Hajime no Ippo (Tinju)
Seorang remaja bernama Makunouchi Ippo kerap kali menjadi mangsa buli di sekolahnya. Mempunyai perangai yang pemalu tidak membantu Ippo sehinggalah dalam satu kejadian, Ippo pengsan selepas dibuli sebelum diselamatkan oleh seorang lelaki bernama Takamura Mamoru, seorang ahli tinju yang sebenarnya seorang atlit tinju bertaraf dunia. Perkenalan mereka berdua mengubah hidup Ippo untuk mendapatkan keyakinan, membina semua dirinya dengan identiti baru.
Sesuatu yang mengagumkan berkenaan judul manga ini adalah penerbitannya sudah berjalan selama lebih 25 tahun, melibatkan 1200++ episod (setakat artikel ditulis) dan 125 isu penerbitan terkumpul.
Dilukis oleh seorang artis bernama Morikawa Jouji atau George Morikawa, Jouji merupakan seorang pemilik gimnasium tinju yang terletak di Tokyo. Memulakan karier sebagai pembantu penerbitan dengan komik-komik sukan bola sepak dan perlumbaan, Jouji dicabar oleh ketuanya untuk melukis komik tinju yang berkaitan dengan minat sebenarnya. Siri komik ini menjadi salah satu judul paling besar di Jepun, masih menjadi kegilaan ramai serta kerap dipuji kerana berjaya membawakan pergerakan dan taktikal sebenar sukan tinju dalam kisahnya.
2. Haikyuu!!
Siri manga yang mempamerkan salah satu sukan kurang popular iaitu bola tampar, 'Haikyuu!!' merupakan siri garapan seorang pelukis bernama Haruichi Furudate, berusia 35 tahun yang memulakan kariernya sejak tahun 2008. Berbeza dengan pelukis lain, Haruichi tidak menampilkan dirinya yang sebenar sehinggakan peminat manga Jepun juga tidak mengetahui apa jantina sebenar beliau.
Oleh kerana itu, tidak banyak yang dapat kita ketahui tentang inspirasi sebenar bagaimana manga ini dilahirkan - melainkan dia bekas seorang pemain bola tampar semasa zaman sekolahnya. Inspirasi daripada zaman tersebut melahirkan siri komik 'Haikyuu!!' (maknanya bola tampar) yang diterbitkan sejak tahun 2012 dan masih berlangsung sehingga kini.
Kisah Haikyuu menceritakan tentang seorang budak lelaki bernama Shoyo Hinata yang agak kekurangan dari segi ketinggian namun mempunyai kuasa lompatan yang hebat. Sehingga tahun 2018, lebih 28 juta unit cetakan telah habis dijual meletakkan 'Haikyuu!!' antara manga sukan paling popular dalam pasaran.
3. Eyeshield 21 (Ragbi Amerika)
Kisah yang mempopularkan sukan ragbi Amerika Syarikat kepada masyarakat Jepun, 'Eyeshield 21' merupakan karya dua orang sahabat iaitu Yusuke Murata yang bertindak sebagai artis dan Riichiro Inagaki yang menghasilkan jalan ceritanya. Diterbitkan selama 7 tahun dari bulan Jun 2002 hinggalan Jun 2009, 'Eyeshield 21' menceritakan tentang seorang remaja bernama Sena Kobayakawa yang mampu berlari pantas bagi mengelakkan dirinya dibuli.
Dalam satu kejadian, bakat lariannya dikesan oleh kapten pasukan ragbi, memberikan dia posisi yang memaksimakan bakatnya - walaupun Sena sebenarnya lebih berminat hendak menjadi pengurus pasukan itu. Takut bakatnya dikesan, Sena diminta bermain dengan nama samaran serta memakai topi yang melindungi identitinya, menjadikan dia senjata rahsia pasukan.
Diterbitkan sebanyak 333 episod dengan 37 koleksi kesemuanya, karya yang dipaparkan dalam siri ini dipuji ramai kerana cuba membawa sesuatu yang berbeza dengan selera biasa masyarakat Jepun. Atas popularitinya, 'Eyeshield 21' turut sama dikeluarkan dalam bentuk animasi dengan 145 episod kesemuanya, mendapat sambutan baik peminat anime dan manga Jepun.
4. Slam Dunk
Salah sebuah karya yang dianggap terbaik pernah dihasilkan pelukis komik Jepun, demam 'Slam Dunk' berjaya mencetuskan minat masyarakat Jepun seterusnya dunia terhadap sukan bola kerangjang di Jepun. Diterbitkan pada bulan September 1990 sehinggalah bulan Jun tahun 1996, karya 'Slam Dunk' agak padat paparannya serta mempunyai corak lukisan yang jauh berbeza berbanding manga-manga Jepun lain.
Karya pelukis Takehiko Inoue ini turut sama diterbitkan di Malaysia sekitar tahun 90-an, menyebabkan ramai remaja kita tiba-tiba nak bermain bola keranjang. Ada juga yang simpan impian nak berambut merah walaupun muka tempatan.
'Slam Dunk' menjadi antara koleksi manga paling laris dari segi jualan, mencatatkan jualan melebihi 120 juta unit sehinggakan Young Adult Library Services Association - salah satu cabang American Library Association menamakan buku volum pertama Slam Dunk sebagai salah satu buku terbaik untuk remaja pada tahun 2009.
5. Captain Tsubasa
Salah sebuah manga klasik yang memberikan inspirasi pada seluruh masyarakat dunia, 'Captain Tsubasa' mula diterbitkan pada tahun 1981 - mempopularkan di seluruh Jepun kejohanan bola sepak peringkat daerah. Idea untuk menerbitkan siri komik pula diperolehi oleh pelukisnya, Yoichi Takahashi selepas dia menonton siaran bola sepak Piala Dunia 1978 yang diadakan di Argentina.
Sangat meminati sukan bola sepak membolehkan Yoichi mula memasukkan elemen-elemen realiti ke dalam ceritanya, memaparkan watak utamanya Tsubasa Oozora mula memperkembangkan bakatnya menyertai pasukan-pasukan handalan dunia seperti FC Barcelona serta menjadikan kejohanan Piala Asia sebagai salah satu pertandingan yang dipaparkan.
Pembikinan jalan cerita dalam siri komik ini juga banyak diambil daripada dunia sebenar, dengan pemain terkenal Kazuyoshi Miura menjadi acuan kepada watak Tsubasa. Berikutan kesannya pada masyarakat, warga Jepun kerap kali menaikkan arca atau ukiran yang berkait dengan 'Captain Tsubasa.' Selain itu, video cubaan-cubaan pemain bola sepak melakonkan semula gaya tendangan dalam siri ini semakin kerap dimuat naik - menunjukkan kesan besar siri legenda ini pada dunia.