Jika anda gemar menonton filem Barat, sudah tentu anda biasa mendengar tentang hari 'istimewa' Friday the 13th. Apabila setiap kali Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan itu bakal menjelma, kaca televisyen pasti disajikan dengan kisah-kisah seram Freddie Krueger dan seumpamanya. Orang Barat begitu gerun dengan nombor 13 dan mereka percaya setiap sesuatu yang mengandungi nombor ini akan membawa malang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini agak berlainan pula dengan masyarakat di Asia di mana angka 4 sering ditakuti di China, Hong Kong, Jepun, Korea, Vietnam, Taiwan, Singapura dan tidak ketinggalan juga Malaysia. Nombor ini kebiasaannya dikaitkan dengan kematian dan nasib malang. Selain itu, jika dibandingkan antara fobia dengan nombor 13 di Barat, perkara ini biasanya lebih dipandang serius di Asia. 

Apa itu tetrafobia?

Tetrafobia (juga dikenali sebagai quadrofobia) adalah sejenis fobia atau ketakutan terhadap nombor empat yang biasanya wujud dalam budaya Asia. Hal ini demikian kerana kepercayaan numerologi dalam budaya masyarakat di China yang menganggap sesuatu nombor itu membawa tuah atau malang bergantung kepada konotasi dan cara sebutannya.

Nombor empat dalam bahasa Mandarin misalnya adalah 四 ("sì") yang mempunyai bunyi seakan-akan "mati" iaitu 死 ("sǐ"). Perkara yang sama ini dapat dilihat di negara-negara lain yang menggunakan bahasa pertuturan Cina, China-Jepun dan China-Korea. Kesemuanya mempunyai sejarah dan ikatan kebudayaan yang terkait dengan latar belakang China. Disebabkan itulah mana-mana nombor atau objek yang merupakan homofon kepada perkataan "mati" dan "penderitaan" sentiasa ingin dijauhkan dalam kehidupan seharian.

sebutan bunyi mati dan empat dalam bahasa cina seakan akan sama

Masyarakat di Hong Kong, misalnya, akan sedaya upaya mengelakkan penggunaan angka tersebut terutama sekali semasa musim perayaan atau apabila ada ahli keluarga terdekat yang jatuh sakit. Mereka tidak akan sesekali memberikan hadiah dalam bilangan empat. Malah, nombor telefon, alamat dan nombor plat kereta juga seboleh-bolehnya dielakkan daripada mengandungi angka empat.

Bagi penutur bahasa Kantonis, terdapat juga nombor selain daripada empat yang perlu dijauhi kerana dikatakan ia bersifat lebih malang. Contohnya sebutan nombor 14 mempunyai bunyi seakan-akan "mesti akan mati" manakala nombor 24 pula kedengaran seperti "senang mati."

orang china mempunyai banyak kepercayaan nasib baik dan nasib malang

Bukan fobia biasa-biasa

Mungkin anda juga pernah menaiki lif yang tidak mempunyai butang bernombor 4 dan 14. Kebiasaannya kita dapat perhatikan yang butang-butang ini digantikan dengan tingkat 3A dan 13A.

Di Hong Kong, majoriti bangunan di sana akan melangkau tingkat dengan nombor-nombor malang ini. Malah, ada sesetengah bangunan  pencakar langit melangkau terus kesemua tingkat 40 hingga ke 49. Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan alasannya bukan sekadar berlandaskan kepercayaan numerologi. Ia juga sebenarnya salah satu cara mudah untuk pemaju menjadikan sesebuah bangunan 'kelihatan lebih tinggi' kerana kediaman di tingkat atas biasanya mempunyai harga yang lebih melambung di pasaran.

lif di china dan hong kong tidak mempunyai nombor empat 297

Situasi tetrafobia ini begitu serius di China sehingga terbawa-bawa ke peringkat lebih tinggi. Terdapat banyak spekulasi mengatakan kerajaan negara itu sebenarnya tidak meneruskan bidaan untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik pada tahun 2004 disebabkan angka malang tersebut. Mereka sanggup menunggu empat tahun berikutnya apabila Beijing akhirnya menjadi hos acara sukan tersohor dunia itu pada tahun yang dipercayai lebih 'ong' iaitu 2008.

Penyakit mental

Walau bagaimanapun, situasi di mana seseorang terlampau fobia dengan nombor 4 sehingga mengganggu kehidupan seharian juga boleh menyebabkan penyakit mental. Tetrafobia yang keterlaluan mungkin memerlukan rawatan kaunseling dan bantuan psikiatri.

Jadi, sekiranya jantung anda berdegup kencang, badan menggeletar, rasa terlalu takut atau seperti hendak mengamuk setiap kali terlihat nombor 4, sila dapatkan nasihat dan rawatan segera daripada pakar yang bertauliah.

Rujukan:

1. China Daily - Symbols, superstition and playing the numbers game

2. Science Direct - Superstition and “lucky” apartments: Evidence from transaction-level data

3. Bloomberg - Chinese Superstition About the Unlucky Number Four Makes Beijing Traffic Congestion Worse

4. All About Counseling - Tetraphobia




Hakcipta iluminasi.com (2017)