Setiap hari kita menggunakan nombor dalam pelbagai aktiviti kita. Membeli belah, merujuk kalendar, menukar saluran televisyen dan bermacam lagi aktiviti memerlukan kita menggunakan sistem nombor, bagi memudahkan kita memahami serta mengawal aktiviti seharian kita.

Sejarah berkenaan nombor memang banyak diceritakan dengan pelbagai jenis sistem nombor telah wujud, sebelum sistem nombor yang kita gunapakai sekarang menjadi sistem standard masyarakat dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Nombor mempunyai sejarah yang agak istimewa. Pernahkah anda terfikir dari mana datangnya nombor yang kita gunakan sekarang?

Apa sebenarnya nama sistem nombor yang kita guna pakai sekarang?

kalkulator dan perakaunan

Sekiranya ada pihak yang bertanya kepada anda; apakah nama atau label sistem nombor yang digunapakai kita sekarang, mewakili nombor 0 sehingga 9 - apakah jawapan anda? Pasti ramai tidak mengetahui apa sebenarnya nama sistem nombor ini.

Sistem nombor 0-9 yang kita guna pakai sekarang, dinamakan sebagai 'sistem numerik Hindu-Arab-Barat' kerana asal-usulnya datang daripada perubahan serta penambahbaikan yang telah dilakukan oleh sarjana di Timur Tengah dan juga kawasan India, berdasarkan sistem tulisan mereka.

Nombor yang kita kenal ini sebenarnya diambil daripada sistem tulisan Brahmi dan Sanskrit, sebelum diperkenalkan kepada masyarakat-masyarakat lain di dunia. Sumbangan masyarakat Arab pada dunia matematik ini juga sangat besar sehinggakan asal perkataan 'kosong' dalam bahasa Inggeris, iaitu 'zero' turut sama diambil daripada perkataan Arab 'zephiru' atau 'zephirum'

Kekeliruan berkenaan asal-usul sistem numerik ini pernah wujud, apabila banyak pakar sejarah sebelum ini percaya sistem numerik yang ada sekarang, sebenarnya berpunca daripada orang Eropah zaman pertengahan. Bagaimanapun, tanggapan ini telah dibuktikan salah.

Sejarah 'sistem numerik Hindu-Arab'

orang orang vedic india

Walaupun banyak pandangan bercanggah berkenaan tamadun mana mencipta nombor yang kita kenali sekarang, apa yang dapat dipersetujui kesemua pihak adalah nombor yang ada sekarang berasal dari India. Ini kerana nombor-nombor ini telah dijumpai dalam teks dan literatur Hindu sejak dahulu lagi.

Masyarakat India pada zaman Vedic sekitar tahun 1500-500BC menggunakan angka mereka sendiri untuk melakukan perkiraan dalam sistem pembinaan mereka. Pengenalan nilai pula pada ketika itu menggunakan perkataan dengan perkataan dasa, shatha, sahasra, ayuta dan beberapa perkataan lain membawa nilai tertentu.

Sistem ini dtambah baik dari tahun ke tahun sebelum simbol yang kita kenali mula dicipta mereka. Simbol nombor 1,4 dan 6 telah pun digunakan dalam Inskripsi Ashoka, teks peraturan yang dipahat pada tiang yang telah pun wujud sejak tahun 3BC. Satu abad kemudiannya, pada anggaran tahun 2BC ke 1BC, nombor 2,4,6,7 dan 9 ditemui dalam tulisan di dinding laluan di Nanaghat.

Kesemua nombor yang ditulis itu mempunyai tulisan yang sama dengan sistem nombor yang kita kenali sekarang, bagaimanapun pada ketika itu simbol itu tidak membawa nilai serupa seperti nombor.

Penambahbaikan oleh ahli matematik India

aryabhata tokoh matematik

Individu pertama yang memperkenalkan beberapa penambahbaikan pada sistem nombor dan turutan nombor, adalah seorang ahli matematik India bernama Aryabatha pada tahun 499.

Ada dua sumbangan Aryabatha yang sangat penting pada dunia iaitu sistem kedudukan nilai dan juga konsep nilai '0' pada nilai sesuatu. Menyambung hasil kerja yang ditemui dalam manuskrip Bakhshali pada abad ke 3, Aryabatha memperkenalkan konsep nilai gandaan 10 untuk mewakili satu simbol sekiranya simbol itu disusun bersebelahan.

Bagaimanapun, sistem yang beliau bangunkan pada ketika itu kurang popular berikutan kesukaran pada mereka untuk menyebut nombor yang terhasil, kerana Aryabatha tidak menggunakan simbol tetapi huruf dalam hasil kerjanya. Apabila nilai yang terhasil ditulis dalam bentuk perkataan hasil daripada gabungan huruf-huruf tadi, perkataan yang terhasil sukar untuk difahami.

Diteruskan sarjana matematik Islam

al khwarizmi ahli matematik islam sarjana

Hasil kerja Aryabatha mula menjadi lebih terkenal semasa zaman kegemilangan Islam, apabila tokoh matematik al-Khwarizmi mula merujuk teks tulisan Aryabatha dan mencantikkan lagi hasil kerja beliau.

Pada tahun 825, buku beliau 'Kitab al Jabr wa'l-Muqabala,' diterbitkan selepas menjadikan hasil kerja Aryabatha sebagai rujukan dan kajian. Selain itu, 4 buah buku tulisan Al-Kindi, seorang lagi ahli matematik Arab pada tahun 830 turut sama memperkenalkan sistem kiraan orang India pada masyarakat sana.

Pada ketika inilah sistem turutan nombor yang kita kenali sekarang diperhalusi dan sistem perpuluhan diperkemaskan lagi, bagi membantu masyarakat Islam menyelesaikan beberapa isu baru yang timbul.

Karya-karya al-Khwarizmi tersebar luas. Teknik penulisan nombor, pengiraan serta penggunaan titik perpuluhan mula diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain dalam tempoh beberapa ratus kemudian. Sistem pengiraan beliau turut mula digunakan dalam urusan perniagaan seperti sukatan timbangan, jual beli dan juga urusan pembahagian harta pusaka.

Mula berkembang di Eropah

fibonacci ahli matematik itali

Pada abad ke 13, seorang ahli matematik dari Itali bernama Leonardo of Pisa atau lebih terkenal dengan nama Fibonacci menemui sistem tersebut semasa melawat Afrika Utara. Dia mempelajari sistem tersebut semasa di sana dan mengumpulkan apa yang dipelajarinya dalam satu jilid buku yang diterbitkan pada tahun 1202, berjudul 'Liber Abaci' atau 'Buku Kira-Kira.'

Dibuktikan lebih baik berbanding sistem kira-kira Roman ketika itu yang masih digunakan di Itali, yang menggunakan huruf sehingga memerlukan tulisan-tulisan panjang bagi menulis nilai - orang Eropah pada ketika itu tidak menyambut baik cadangan Fibonacci. Ini kerana tulisan beliau ditulis berdasarkan kepada hasil kerja orang India yang disempurnakan oleh orang Arab Muslim.

Ketika itu, wujud larangan penggunaan simbol Arab dalam sebarang dokumen disebabkan peristiwa perang salib, yang menyebabkan masyarakat Eropah mempunyai sentimen buruk terhadap apa saja elemen yang berkait Islam. Walau demikian, lama kelamaan penerimaan terhadap sistem cadangan Fibonacci mula merebak dan sistem numerik Hindu-Arab mula menggantikan sistem numerik Roman pada abad ke 15.

Ketika ini, sistem nombor yang digunakan di seluruh dunia adalah sistem 'Hindu-Arab-Barat', dengan nombor 0 hingga 9 digunakan dalam menyampaikan nilai. Bagaimanapun, wujud satu cabang lain tulisan nombor yang mirip dengan sistem serupa iaitu sistem numerik 'Hindu-Arab-Timur' di mana penggunaan nombor-nombor ini tidak menggunakan nombor 0-9, tetapi menggunakan angka ٠ hingga ٩.

Begitulah serba sedikit bagaimana kajian orang terdahulu berjaya mengembangkan sistem numerik daripada bentuk yang sukar kepada bentuk sedia ada yang mudah difahami sekarang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)