Gambar asal : ExpatGo

Lutfullah Ahmad Hussain mengalirkan air mata, tatkala berdiri di sebelah katil hospital yang menempatkan anaknya.

Ayah berusia 38 tahun itu serta anaknya hanyalah sebahagian kecil daripada 175,000 orang pelarian yang berada di Malaysia - menunggu janji-janji yang disebutkan berlaku selepas kerajaan Malaysia bertukar tangan dalam pilihanraya bersejarah tahun 2018.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun proses perubahan dan penambahbaikan yang diperkatakan bakal berlaku, tidak nampak sebarang usaha permulaan selepas kerajaan Malaysia (ketika itu pembangkang) menjanjikan untuk membuka peluang pekerjaan pada kumpulan pelarian.

Hidup tanpa negara

pelarian di malaysia tiada bantuan kesihatan

Bagi individu seperti Lutfullah, mereka tidak lagi berharapkan apa-apa. Tiada pekerjaan, tiada pendapatan dan yang lebih penting - tiada kewarganegaraan, keluarganya yang berjaya melarikan diri daripada tragedi yang berlaku di Kabul, Afghanistan pada tahun 2017 seakan sudah berputus asa.

Anak beliau, Mahdya disahkan mengidap penyakit leukimia - menyebabkan anak kecil berusia 2 tahun itu memerlukan pembedahan perpindahan organ tetapi kos yang disebutkan, melebihi RM250,000 di luar kemampuan dirinya yang tidak bekerja.

Pihak pakar perubatan dikatakan memberitahu Lutfullah supaya cuba mendapatkan suaka di Australia yang dipercayai lebih baik berbanding Malaysia - tetapi Lutfullah tidak nampak sebarang jalan dibuka untuk ke sana. Kisah seperti apa yang menimpa keluarga Lutfullah bukanlah satu perkara asing apabila melibatkan kumpulan pelarian.

Tiada tempat di dunia

guru syria mengajar pelarian

Mereka perlu berdepan dengan tekanan mental dan fizikal tanpa ada jalan penyelesaian, menunggu bertahun lamanya hanya untuk mendapatkan bantuan asas sehingga memaksa ramai di antara mereka terpaksa memilih jalan lain - bekerja tanpa permit yang sah sehinggakan mereka mudah diperdayakan dan diambil kesempatan.

Ulasan menteri tentang isu ini sudah kedengaran, tetapi kelambatan agensi-agensi kerajaan dalam menangani isu-isu berkaitan pelarian menyebabkan kumpulan ini sering dijadikan mangsa eksploitasi yang sangat mudah dimangsakan; ekoran ketiadaan undang-undang yang benar-benar melindungi mereka.

Lebih separuh daripada keseluruhan jumlah pelarian di Malaysia datangnya daripada etnik Rohingya, mangsa kekejaman kerajaan Myanmar di bawah pentadbiran Aung Sann Suu Kyi. Selebihnya pula datang daripada negara seperti Pakistan, Yaman dan Syria.

Berikutan pilihan Malaysia untuk tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian Antarabangsa 1951, kumpulan-kumpulan pelarian yang hadir ke negara kita dianggap sebagai pendatang tanpa izin, menunggu untuk dipindahkan ke negara lain tanpa dibenarkan menyertai program pendidikan atau pencarian pekerjaan sebagai sumber rezeki.

Ini membuatkan ramai golongan pelarian terpaksa bekerja sebagai tukang cuci, pelayan dan pekerja pembinaan tanpa kelayakan dan permit sah - sehingga ada yang menjadi mangsa kepada sindiket-sindiket penyeludupan manusia. Bagi mereka yang diterima bekerja, pelarian akan dibayar gaji lebih rendah, dipaksa bekerja lebih masa dan ada juga yang tidak dibayar gaji walaupun sudah bekerja.

Menteri Sumber Manusia Malaysia dilaporkan berkata sudah bersetuju secara lisan untuk membenarkan pelarian mencari peluang pekerjaan. Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara pula menyifatkan kebenaran itu akan membawa pula risiko keselamatan dan kesihatan yang lebih besar pada masyarakat Malaysia, kerana isu itu sebenarnya lebih kompleks berbanding apa yang kita jangka.

Perusahaan kecil-kecilan pelarian

kraf hasil pelarian di malaysia

Walaupun berdepan kekangan, beberapa individu yang berani mula menyatukan kumpulan pelarian bagi membuka perusahaan kecil menjual produk-produk hasil kraf komuniti mereka. Antaranya adalah beberapa perushaan kecil yang beroperasi melibatkan pelarian dari Pakistan membuka pusat-pusat jahitan, menghasilkan beg serta dompet untuk dijual bagi menampung hidup.

Dengan peralatan sebanyak 10 buah mesin jahit, pekerja yang bekerja menghasilkan produk-produk ini mampu menjana pendapatan hampir RM500 sebulan untuk digunakan membiayai keluarga.

Pelarian yang terpilih, kebiasaannya wanita akan diberikan latihan sebelum dibenarkan berkhidmat dan akan dibayar gaji bulanan, berdasarkan kepada kuota jahitan yang perlu dipenuhi. Bagi mereka yang menyara kehidupan dengan cara ini, walaupun pendapatannya kecil serta selalunya tidak mencukupi - amaun itu adalah lebih baik berbanding dengan perlu berhadapan dengan risiko ditipu atau dimalukan, hanya kerana bergelar pendatang di negara orang.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel No country and no work: refugees despair at slow pace of Malaysia's reforms yang diterbitkan pada 15 Ogos 2019.




Hakcipta iluminasi.com (2017)