Keluarga Ulas mula dijumpai pada tahun 2005 di sebuah lokasi terpencil yang tidak dinyatakan di selatan Turki. Ketika itu, keluarga ini menjadi subjek penyelidikan sebuah dokumentari BBC yang dinamakan "The Family That Walks on All Fours."

Para saintis dan pakar perubatan kemudian mula berdebat dan mengeluarkan hujah serta pandangan mengikut bidang masing-masing untuk menjelaskan keadaan yang dialami ahli keluarga Ulas. Walaupun pada mulanya spekulasi mengatakan yang lima beradik Ulas ini mungkin mempunyai sejarah masalah genetik disebabkan gerakloko berkaki empat seperti hominid, ternyata mereka sebenarnya mempunyai kecacatan otak yang membuatkan mereka tidak mampu berdiri tegak seperti orang lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini kami kongsikan sedikit latar belakang mengenai lima beradik ini, keluarga mereka dan juga penjelasan sains di sebalik pergerakan bersifat primat yang dialami mereka.

Pasangan Resit dan Hatice yang berketurunan Kurdish dikurniakan 19 orang anak dan lima daripadanya menonjolkan gaya jalan berkaki empat kerana bergerak menggunakan kedua-dua belah kaki serta tangan. Perkara seumpama ini belum pernah dilaporkan terjadi kepada mana-mana manusia yang mempunyai bahagian anatomi yang sempurna.

pasangan resit dan hatice ulas dari turki mempunyai lima anak dengan masalah berjalan empat kaki

12 daripada 19 orang adik-beradik itu adalah normal manakala tujuh orang anak pasangan Ulas itu mengalami masalah gaya berjalan. Salah seorangnya telahpun meninggal dunia dan seorang lagi, Gülin, boleh berjalan dalam keadaan tegak namun kelihatan seperti "mabuk" kerana masalah keseimbangan badan. Lima orang lagi terdiri daripada empat anak perempuan iaitu Safiye, Hacer, Senem dan Emine manakala seorang lagi anak lelaki bernama Hüseyin. Kelima-lima beradik ini berjalan menggunakan empat kaki seperti seekor beruang yang sedang merangkak.

Teori vs Fakta Saintifik

Antara teori yang diberikan oleh pakar-pakar yang telah menyaksikan dan mengkaji keadaan mereka ini menggambarkan situasi tersebut sebagai "evolusi mundur," "kehilangan gen," "kombinasi ataksia serebelum" dan ada juga yang mengatakan bahawa itulah "cara mereka dibesarkan."

lima beradik keluarga ulas berjalan seperti haiwan primitif empat kaki 2

Menurut Uner Tan, seorang pakar biologi evolusi dari Sekolah Perubatan Universiti Çukurova di Adana, Turki, adik-beradik ini mempunyai ciri-ciri nenek moyang primat sebelum mereka belajar untuk berjalan tegak. Dia mempercayai bahawa ia adalah suatu "evolusi mundur" dan menggelarnya "Sindrom Uner Tan." Walau bagaimanapun, dakwaan Tan telah menimbulkan banyak kontroversi dan akhirnya berjaya disangkal melalui fakta sains.

Profesor Stefan Mundlos iaitu seorang ahli genetik dari Berlin mengatakan adik-beradik ini kehilangan sejenis gen khusus yang bertanggungjawab terhadap kebolehan bipedalisme (dwikaki).

Apabila Profesor Nicholas Humphrey, seorang ahli psikologi dari England mendapat tahu mengenai kajian Uner Tan yang masih belum diterbitkan melalui rakannya, John Skoyles, seorang pakar psikologi dan neurosaintis, mereka percaya bahawa simptom-simptom yang ditunjukkan menjurus kepada kondisi yang dinamakan ataksia serebelum. Menurut mereka, serebelum bertanggungjawab terhadap orientasi keseimbangan dan ruang. Kerosakan di bahagian ini akan menyebabkan gangguan gerak jalan serta daya keseimbangan.

lima beradik keluarga ulas berjalan seperti haiwan primitif empat kaki

Dakwaan ini turut dipersetujui oleh seorang saintis perubatan British bernama Roger Keynes yang mengatakan adik-beradik ini mempunyai kecacatan di bahagian serebelum vermis. Namun, kerosakan pada serebelum tidak menjelaskan bagaimana Gülin yang mewarisi kecacatan sama masih boleh berjalan dengan dua kaki. Akhirnya, Humphrey, Skoyles dan Keynes dapat menyimpulkan bahawa keadaan ini merupakan kombinasi mutasi genetik resesif yang diwarisi dan sangat jarang berlaku sehingga menyebabkan ataksia serebelum kongenital yang tidak progresif.

Pada tahun 2014, sains telah membuktikan yang adik-beradik ini sememangnya mengalami mutasi genetik khususnya pada kromosom 17 yang akhirnya memberikan impak pada serebelum sehingga mereka hilang imbangan badan dan terpaksa berjalan menggunakan empat kaki.

kondisi pelik membuatkan lima beradik berjalan menggunakan empat kaki keluarga ulas turki

Sering dipukul dan dihina

Walaupun kelima-lima beradik mengalami masalah menyeimbangkan badan di atas dua kaki, mereka tidak mempunyai sebarang tanda kelemahan koordinasi tangan, percakapan atau gerak mata. Malah, empat adik-beradik perempuan ini amat suka mengait dan menyulam menggunakan tangan.

Jari tangan mereka tidak mengalami sebarang kerosakan kerana mereka tidak menggunakan keseluruhan bahagian tangan apabila berjalan. Ini berbeza dengan cimpanzi dan gorila yang meletakkan buku jari ke tanah apabila berjalan. Menurut Resit yang memberitahu Prof. Humphrey, dia tidak pernah menganggap anak-anaknya itu sakit atau kurang upaya, jadi dia tidak pernah cuba mendapatkan sebarang nasihat atau bantuan untuk membetulkan gaya mereka berjalan.

keluarga ulas berjalan menggunakan empat kaki

Pasangan suami isteri itu juga menjelaskan, semasa kelima-lima anak mereka ini masih kecil, mereka bergerak dan merangkak normal seperti bayi-bayi lain iaitu menggunakan tangan dan lutut. Lama-kelamaan, pergerakan mereka berubah menjadi seperti gaya berjalan seekor beruang dan keadaan ini kekal sehinggalah mereka dewasa.

Resit dan Hatice sentiasa menyokong anak-anak mereka. Walau bagaimanapun, keluarga besar ini sentiasa menjadi mangsa pukul serta dicaci oleh penduduk kampung manakala Hüseyin pula sering menjadi bahan ejekan kanak-kanak. Mereka juga pernah terpaksa berpindah rumah kerana semua orang mempercayai rumah lama mereka telah disumpah sehinggakan tiada sesiapapun ingin membantu ketika mereka ketiadaan air.

Selepas dokumentari itu diterbitkan, ahli psikologi Turki yang terlibat dengan kajian dan jagaan keluarga ini selain menjadi jurubahasa semasa penggambaran itu telah menubuhkan Yayasan Ulas untuk merapatkan ketidaksamarataan sosial antara keluarga ini dengan masyarakat serta menawarkan pelbagai usaha bagi membantu adik-beradik Ulas.

adik beradik ulas menerima rawatan fisioterapi menggunakan palang sejajar

Rawatan fisioterapi diperkenalkan kepada mereka dan palang sejajar dibina di bahagian luar rumah untuk membantu mereka berlatih berjalan menggunakan dua kaki seperti orang lain. Selain itu, tongkat berjalan juga disediakan untuk membolehkan mereka bergerak sendiri.

Pada awal tahun 2018, Profesor Humphrey telah kembali ke perkampungan keluarga ini untuk memantau perkembangan mereka dan teruja melihat perubahan positif pada kelima-lima beradik ini terutama sekali Hüseyin yang berjaya berjalan sendiri dengan dua kaki seperti manusia normal.

Rujukan:

1. PBS.org

2. HuffPost

3. Live Science




Hakcipta iluminasi.com (2017)